Monarch: Legacy of Monsters adalah siri TV MonsterVerse iaitu dunia di mana berlakunya filem Godzilla, Kong: Skull Island, Godzilla vs. Kong dan akan datang Godzilla X Kong: The New Empire. Siri ini masih dihasilkan oleh Legendary tetapi eksklusif untuk Apple TV+ sahaja.
Hari ini selepas sekian lama menantikan ketibaan siri ini, Apple telah berkongsi treler pertama. Monarch: Legacy of Monsters akan mula disiarkan pada 17 November tidak lama lagi. Anda boleh tonton treler di bawah;
Berdasarkan treler, Monarch masih lagi dianggap sebagai satu organisasi yang terlibat dengan segala raksasa yang telah memusnahkan bandar San Francisco. Mangsa serangan ini iaitu dua beradik kemudiannya memulakan siasatan mencari kebenaran dan ingin menghentikan Monarch. Mereka bertemu dengan Lee Shaw yang mengetahui rahsia Monarch.

Siri ini mempunyai 10 episod dan disampaikan melalui kisah tiga generasi termasuk pada tahun 1950-an dan masa kini. Legacy of Monsters dibintangi oleh Kurt Russell, Wyatt Russell, Anna Sawai, Kiersey Clemons, Ren Watabe, Mari Yamamoto, Anders Holm, Joe Tippett dan Elisa Lasowski. Dua episod akan tiba pada 17 November dan kemudian diteruskan secara mingguan sehingga 12 Januari.


Siri ini dicipta oleh Chris Black dan Matt Fraction, dua episod diarahkan oleh Matt Shakman (WandaVision) yang turut menjadi penerbit eksekutif bersama-sama dengan Hiro Matsuoka dan Takemasa Arita wakil Toho.