Malam tadi satu video mengejutkan telah dikongsi oleh Legendary untuk filem Monsterverse seterusnya. Monsterverse bagi yang tidak tahu adalah dunia filem Godzilla, Kong dan raksasa lain yang turut akan mempunyai siri TV di Apple TV+ lakonan Kurt dan Wyatt Russell.
Video ini mendedahkan judul filem iaitu Godzilla x Kong: The New Empire.
Video turut memperlihatkan yang Kong seakan menjadi raja dan adalah yang paling berkuasa dengan ada tengkorak Godzilla dan Kong yang bercahaya. Kong dengan wajah yang ganas turut muncul di penghujung video.
Jalan cerita filem masih belum diketahui. Filem ini dilihat akan kekal diarahkan oleh Adam Wingard dengan Ben Seresin kekal sebagai pengarah sinematografi. Tahun lepas imej papan pengetap dikongsi dengan teks Origins memberi petanda filem ini mungkin adalah prekuel.
Apa-apa pun Legendary menyatakan yang Godzilla x Kong: The New Empire akan ke pawagam tahun 2024 nanti. Sama-sama kita nantikan.