Percaya atau tidak, sudah lima tahun bekerja di Aksiz saya tidak pernah menonton mana-mana filem Wes Anderson. Saya tahu pelakon dalam setiap filem beliau, saya tahu kisahnya, saya tonton semua treler dan kemudian saya lupa untuk tonton atau jika sudah sewa di Apple TV saya hanya tonton untuk beberapa minit sahaja.

Ini kerana filem Wes Anderson bukan untuk semua orang. Filem beliau mempunyai gaya penceritaan yang sedikit aneh dengan kualiti produksi yang unik. Dari set penggambaran, pergerakan kamera, kesan visual praktikal, runut bunyi dan banyak lagi berbeza dengan kebanyakan filem di Hollywood.

Sejak 27 September lepas sehingga 30 September, empat filem pendek beliau telah diterbit di Netflix. Setiap filem mempunyai durasi sekitar 17 minit ke 40 minit, menggunakan gred warna pastel Wes Anderson yang terkenal dan pernah tular serta menggabungkan sedikit elemen animasi gerak-henti seakan Fantastic Mr. Fox.

Filem-filem ini adalah The Wonderful Story of Henry Sugar, The Swan, The Rat Catcher dan Poison. Filem-filem pendek ini juga adalah sebuah filem yang menceritakan semula koleksi cerita pendek karya Roald Dahl. Ada karya yang popular dan ada juga yang ramai mungkin tidak tahu.


The Wonderful Story of Henry Sugar adalah filem pendek yang paling menarik dalam koleksi Roald Dahl oleh Wes Anderson di Netflix. Ia adalah filem di mana ada penyampai cerita lakonan Ralph Fiennes berkongsi kisah Henry Sugar lakonan Benedict Cumberbatch yang turut menyampaikan kisah dia sendiri. Kesan visual yang sangat memuaskan, muzik yang ringkas tetapi menenangkan serta mempunyai cerita yang cukup mendebarkan kerana dramanya yang menarik.

The Swan pula cukup pendek. Pada hemat saya ia adalah sebuah filem yang memberi kesedaran mengenai buli. Gaya penyampaian filem yang lebih kurang sama dengan Henry Sugar tetapi lebih pantas. Saya amat suka bagaimana pergerakan kamera yang dilakukan pada filem pendek ini dan prestasi Rupert Friend yang menyampaikan ceritanya. Kualiti produksi dari segi visual dan muzik sama dengan Henry Sugar.

The Rat Catcher pula adalah yang paling aneh bagi saya. Ia juga sedikit menjijikkan kerana melibatkan tikus liar. Filem ini seperti judulnya adalah mengenai penangkap tikus yang hebat. Kali ini cerita Roald Dahl ini disampaikan oleh Richard Ayoade. Filem ini memberikan pengalaman yang memuaskan kerana lakonan Ralph Fiennes sebagai penangkap tikus yang mukanya seakan tikus. Entah kenapa saya rasa filem ini cukup menghiburkan.

Yang terakhir adalah Poison dan sekali lagi memfokuskan Benedict Cumberbatch. Dev Patel dan Ben Kingsley turut terlibat dengan filem pendek yang mencemaskan ini. Penceritaan yang sangat ringkas, di mana watak Cumberbatch menyedari ada ular beracun di katil dia, watak Patel yang cuba membantu dengan memanggil doktor lakonan Kingsley. Filem ini sedikit huru-hara dan pada masa yang sama membuatkan jantung saya berdebar kerana tidak sabar untuk tahu apakah yang bakal berlaku.


Biasanya filem Wes Anderson lambat masuk ke pasaran Malaysia. Kalau masuk pun ia terus ke platform penstriman dan tidak pernah setahu saya tiba ke pawagam Malaysia. Beberapa filem beliau hanya boleh ditonton di Disney+ Hotstar dan kini empat filem pendek menjadi eksklusif di Netflix memberi peluang saya untuk menikmati karya beliau dengan kualiti yang lebih bagus.

Selepas menonton filem ini, ia cukup meyakinkan saya untuk menyewa atau mungkin membeli filem-filem beliau yang lain. Mungkin saya akan tonton terlebih dahulu The French Dispatch dan kemudian Asteroid City yang tayangannya dibatalkan di Malaysia baru-baru ini.

Jika anda tidak pernah menonton karya Wes Anderson, anda boleh cuba tonton sekarang. Kalau anda gemar menggunakan penuras warna pastel Wes Anderson di TikTok, menjana imej dengan generatif AI menggunakan prom tema sama Wes Anderson – anda patut tonton karya beliau bagi menghargai sinematografi ikonik yang hanya beliau sahaja lakukan.

Sohor Kini