Sony hari ini mengumumkan bahawa mereka telah memperkenalkan satu kemaskini terbaru mereka, yang memperlihatkan penambahan sokongan untuk sejumlah teknologi baru dan juga sokongan tambahan yang diperkenalkan sewaktu ujian beta yang kini diperkenalkan untuk semua.

Pertama ialah sokongan audio 3D melalui Tempest 3D AudioTech yang kini boleh dimanfaatkan apabila konsol anda disambungkan kepada peranti dengan sokongan Dolby Atmos. Ciri ini diperkenalkan melalui ujian beta pada bulan lalu, dan kini hadir untuk semua pengguna konsol Sony PlayStation 5.

PS Remote Play ialah sebuah ciri dimana anda boleh menggunakan komputer ataupun peranti pintar untuk memainkan permainan-permainan konsol kegemaran anda dari mana sahaja melalui sambungan internet.

Dengan kemaskini ini, Sony mengatakan bahawa televisyen dan peranti yang menggunakan sistem operasi Android TV OS 12 kini disokong oleh ciri yang tersebut. Dua peranti yang kini boleh digunakan untuk PS Remote Play termasuklah Chromecast with Google TV 4K dan televisyen pintar Sony BRAVIA XR A95L.

Satu lagi ciri yang diperkenalkan dengan kemaskini ini ialah penggunaan alat kawalan DualSense kedua sebagai bantuan. Ciri ini berguna khususnya apabila sesiapa memerlukan bantuan dalam permainan untuk babak-babak yang sukar.

Ciri ini membolehkan sebuah alat kawalan kedua digunakan untuk mengawal permainan atau watak yang sama, tanpa anda perlu memberi alat kawalan anda kepada orang lain. Tetapan ini boleh diaktifkan melalui menu [Settings] > [Accessibility] > [Controllers] > [Use Second Controller for Assistance], dan kemudiannya mengatifkan ciri [Use Assist Controller].

Bukan itu sahaja, kemaskini terbaru ini juga membolehkan pengguna untuk menaiktarafkan storan SSD konsol ini, dimana anda kini boleh memasang storan SSD M.2 PCie 4.0 dengan jumlah storan sebesar 8TB jika dimahukan, yang merupakan peningkatan sokongan storan dua kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini.

Sumber: PlayStation Blog

Sohor Kini