Apple hari ini telah mengumumkan secara rasmi generasi baharu untuk telefon pintar edisi ‘Pro’ mereka iaitu iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max yang menurut mereka adalah telefon terbaik untuk gaming terutama dengan penggunaan cip pemprosesan terbaru A17 Pro.
A17 Pro merupakan cip pemprosesan pertama di dalam industri yang menggunakan cip 3-nanometer, menurut Apple ia mempunyak kelajuan 10% lebih pantas berbanding cip sebelum ini dengan menyertakan GPU yang 20% lebih pantas.
Cip baharu ini juga menyokong pelbagai teknologi untuk mempertingkatkan kualiti kandungan seperti Ray Tracing. Dengan menggunakan A17 Pro ini, Apple juga telah mengumumkan yang iPhone 15 Pro akan menerima permainan PC dan konsol bermula dengan Resident Evil Village, Resident Evil 4, Death Stranding dan juga Assassin’s Creed Mirage.
Selain cip pemprosesan baharu, iPhone 15 Pro juga akan menggunakan bahan binaan baharu iaitu titanium, butang ‘Action’ dan juga port USB-C dan beralih daripada Lightning. iPhone Pro dan iPhone 15 Pro Max ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu black titanium, white titanium, blue titanium, dan natural titanium.
iPhone 15 Pro hadir dengan skrin bersaiz 6.1-inci ditawarkan dengan harga RM5499 (128GB), RM5999 (256GB), RM6999 (512GB) dan RM7999 (1TB). iPhone 15 Pro Max pula hadir dengan skrin bersaiz 6.7-inci ditawarkan dengan harga RM6499 (256GB), RM7499 (512GB) dan RM8499 (1TB). Kedua-dua iPhone ini akan mula ditawarkan di Malaysia pada 29 September 2023.