Skip to main content

Hercule Poirot lakonan Kenneth Branagh kembali lagi untuk filem ketiga selepas Murder on the Orient Express dan Death on the Nile yang dikeluarkan pada tahun lepas, saya boleh katakan kecewa dengan filem Death on the Nile yang tidak dapat mengulangi magis yang di bawa di dalam filem pertama, akan tetapi A Haunting in Venice dengan gembiranya saya ingin katakan adalah satu filem yang jauh lebih baik berbanding filem sebelum ini.

A Haunting in Venice bukan sahaja membawa penceritaan misteri pembunuhan yang menarik, tetapi juga menyertakan elemen seram dengan sangat baik. Filem ini berjaya untuk memastikan saya terus mengikuti misteri yang berlaku di dalamnya tetapi pada masa sama sentiasa terjaga-jaga dengan kejutan seperti menonton satu filem seram – gabungan yang baik ini menjadikan filem ini sentiasa diisi dengan adegan-adegan yang mendebarkan.

Filem bermula dengan memperlihatkan yang Hercule Poirot sudah bersara dan menetap di Venice dan tidak ingin terlibat dengan sebarang perihal penyiasatan. Sehinggalah, dia dikunjungi oleh Ariadne Oliver lakonan Tina Fey iaitu seorang penulis buku misteri pembunuhan yang juga rakan kepada Hercule Poirot. Dia telah meminta Hercule Poirot untuk menyiasat mengenai seorang yang dikatakan sebagai ahli sihir iaitu Joyce Reynolds lakonan Michelle Yeoh.

Joyce Reynolds telah diupah oleh Rowena Drake lakonan Kelly Reilly untuk membolehkan dia bercakap dengan roh anak perempuannya yang terbunuh beberapa tahun yang lepas. Séance yang dilakukan oleh Joyce Reynolds bertukar menjadi kes pembunuhan apabila salah seorang yang menghadiri séance telah terbunuh dan bermulalah siasatan oleh Hercule Poirot.

Misteri-misteri yang hadir di dalam filem ini dilakukan dengan sangat baik, dan terdapat beberapa yang setiap-nya dilakukan dengan kemas untuk tidak terlalu menjadikan mudah untuk diteka. Bahkan, ada misteri yang saya tidak sedar merupakan satu misteri sehingga ia diselesaikan. Bagi misteri utama pula, saya boleh menjangkakan pengakhiran akan tetapi filem ini tidak menjadikannya terlalu jelas, satu kesilapan yang dilakukan di dalam filem yang lepas.

Bagi bahagian seram pula, ia dilakukan dengan sedikit berlainan dengan filem-filem seram biasa, berbanding menggunakan kesunyian untuk membawa kejutan, filem ini melakukannya semasa dialog sedang berlaku dengan menggunakan teknik pergerakan kamera yang pantas dan bunyi. Ia mungkin terasa sedikit ‘cheap‘ tetapi bagi saya ia mencukupi untuk membawa elemen tambahan kepada filem ini.

Filem ini juga terasa jauh lebih baik berbanding sebelum ini kerana lakonan-lakonan yang mantap daripada senarai pelakon ternama di dalam filem ini. Kenneth Branagh terus membawa watak Hercule Poirot dengan baik dan memberikan lebih ruang untuk memperlihatkan sisi lain bagi watak ini, selain itu Tina Fey, Michelle Yeoh dan Kelly Reilly juga memberikan prestasi lakonan yang menjadikan watak-watak mereka sangat berkesan di dalam pergerakan plot.

Kelemahan utama bagi saya di dalam filem ini adalah ada masa filem ini memilih untuk menggunakan teknik kamera sama ada pergerakan pantas, ataupun meletakkan kamera berhampiran dengan watak, pengarah mungkin ingin memberi lebih impak tetapi saya terasa ia lebih mengganggu penceritaan. Selain itu, saya juga merasakan bagaimana Hercule Poirot menyelesaikan misteri utama di dalam filem ini terasa sedikit lemah dan circumstantial.

Akhir kata, A Haunting in Venice tidak dapat menandingi filem pertama Murder on the Orient akan tetapi ia juah lebih baik berbanding dengan Death on the Nile. Filem ini membuatkan saya kembali suka dengan bukan sahaja premis penceritaan tetapi juga dengan watak-watak yang hadir di dalamnya.

Setiap misteri juga dilakukan dengan baik dan tidak menjadikannya terlalu jelas, walaupun ada yang masih mudah untuk dijangka. Elemen seram yang disertakan bersama juga menjadikan filem ini lebih menarik yang membuatkan saya sentiasa berwaspada dengan adegan-adegan seterusnya. Ia bukanlah filem misteri pembunuhan yang terbaik, tetapi satu filem yang sangat seronok untuk ditonton terutama jika meminati genre ini dan juga genre seram.

A Haunting in Venice
A Haunting in Venice kembali membawa filem misteri pembunuhan Hercule Poirot yang menarik, dan kali ini digabungkan lagi dengan elemen seram menjadikan ia satu filem yang sentiasa mendebarkan.
Positif
Misteri Dilakukan Dengan Memuaskan
Lakonan Yang Baik
Negatif
Pemilihan Kamera Ada Masa Janggal
Penyelesaian Terasa Sedikit Lemah
8

Leave a Reply