Seperti yang aku katakan dalam beberapa ulasan dan berita di Aksiz sebelum ini, sejak ke belakangan ini kita telah ditawarkan dengan banyak kandungan bertemakan whodunnit? atau pembunuhan misteri. Siri TV atau filem akan fokus kepada pembangunan watak, kisah latar belakang dan memberi kita pelbagai suspek untuk kelirukan kita siapakah pembunuh sebenar?

Apple TV+ ada The Afterparty, Netflix pula baru sahaja menyiarkan Murderville, bulan lepas filem sekuel Scream ditayangkan, tahun lepas Disney+ pula ada siri TV Only Murders in the Building dan terkini 20th Century Studios telah hadir dengan Death on the Nile, sebagai sekuel kepada Murder on the Orient Express.

Filem ini adalah adaptasi kepada novel dengan judul yang sama oleh Agatha Christie, skrip ditulis oleh Michael Green dan Kenneth Branagh kembali sebagai pengarah dan juga watak utama Hercule Poirot. Namun adakah misteri pembunuhan ini memeningkan dan mencabar untuk penonton? Penglibatan ramai pelakon baru yang tiada dalam filem pertama pula bagaimana?


Kes Apa Pula Yang Poirot Patut Selesaikan?

Sebelum aku teruskan ulasan, anda patut tahu terlebih dahulu sinopsis filem ini. Apa kisah sebenarnya dan bagaimana Poirot boleh terlibat? Secara asasnya, ia masih lagi kisah pembunuhan misteri. Tetapi filem pertama dan kedua ini mempunyai penyiasatan yang lebih mendalam dan penuh butiran. Ia juga adalah sebuah filem yang serius, yang banyak bercakap berbanding aksi.

Kali ini, Poirot yang kononnya sedang bercuti dijemput untuk hadir ke majlis perkahwinan serta percutian pasangan Boyle iaitu Simon dan Linnet lakonan Armie Hammer dan Gal Gadot. Poirot turut ditemani dengan Bouc, sekali lagi lakonan oleh Tom Bateman.

Sedang bercuti, kita boleh lihat yang minda Poirot sentiasa mencari-cari petunjuk dan mencari sesuatu kerana perwatakan beliau yang aneh dan genius. Tiba-tiba satu pagi, Linnet ditemui mati dan setiap orang di kapal layar S.S. Karnak ini disyaki ada motif dan mungkin suspek utama. Tetapi persoalannya siapa? Adalah sama seperti filem pertama semua orang terlibat, atau kali ini berbeza?

Daripada Cinta Tiga Segi Kepada Pembunuhan Misteri

Konsep yang masih sama digunakan, iaitu dendam, cemburu, dengki dan cinta. Cuma premis filem ini berpegang kuat kepada drama cinta tiga segi dan kerana cinta seseorang sanggup melakukan apa sahaja. Filem ini walaupun mempunyai penceritaan yang menarik dan penyampaian yang lancar, ia ada satu masalah – iaitu filem ini seolah mendedahkan suspek utama pada awal filem. Tidak dinafikan, banyak sahaja filem whodunnit? melalukan perkara yang sama. Namun dalam Death on the Nile ini ia terlampau jelas dan penonton akan rasa bangga yang tekaan pada awal filem adalah tepat.

Apabila fokus filem adalah kepada drama cinta dan dengan jelas memperlihatkan cinta tiga segi dalam filem ini ada masalah, penonton boleh susun plot dengan begitu mudah dan boleh yakin dengan konklusi. Ia juga lebih mengikuti konsep filem pembunuhan bersiri kerana ada lebih ramai mangsa yang mati dalam filem ini. Ia seolah menjadi filem Scream, Halloween dan yang seangkatan dengannya, cuma pembunuh itu tidak kelihatan.

Disebabkan ia terlampau jelas, filem ini cuba mengalih perhatian penonton ke petunjuk-petunjuk yang sepatutnya mengejutkan tetapi sayang sekali tidak. Filem yang dulunya lebih serius juga terasa lebih ringan (walaupun masih banyak bercakap) dengan beberapa komedi diselitkan.

Menonton filem pembunuhan misteri yang memerlukan banyak penyiasatan dan deduksi yang mengelirukan adalah satu perkara yang menarik. Namun disebabkan ia berlaku dalam drama cinta, pada hemat aku ia kurang memuaskan dan tidak memberi satu pengalaman menonton yang mengasyikkan.

Gandingan Poirot dan Bouc juga memberi penonton seakan menyaksikan Sherlock Holmes dan Dr. Watson. Mereka saling membantu dan cuba menyelesaikan misteri ini dengan bertemu dengan seorang demi seorang untuk soal siasat dan dengan cara yang sama pada filem Muder on the Orient Express. Gandingan mereka ini pada hemat aku lebih menarik, kerana jika Poirot seorang sahaja – beliau seakan terlalu berlagak dan akan menjadikan “lawak” berlagak beliau menjengkelkan. Cara mereka akan cuba membuat penonton tidak yakin dengan teori awal dan terus akan fokus.

Namun pada aku, untuk yang gemarkan tekaria yang hampir setiap hari tonton orang selesaikan tekaria, mencuba sendiri beberapa permainan papan yang mencabar – filem ini tidak mempunyai kejutan yang cukup mengejutkan.

Sinematografi Yang Tidak Begitu Hebat

Masalah yang agak serius pada aku dalam filem ini adalah, pergerakan kamera yang tidak begitu kreatif dan hebat. Fokus kamera dalam filem inilah yang mendedahkan suspek utama pada awal filem dan cara kamera ini bergerak juga terlampau berlebihan pada aku tidak perlu pun. Faham, macam aku katakan tadi mereka cuba alihkan fokus penonton. Namun apabila banyak kali berlaku, secara tidak langsung aku sendiri boleh tahu yang kononnya adalah petunjuk tidak masuk akal dan terus mengesahkan teori awal aku semasa sekitar 10-15 minit pertama filem.

Filem ini juga tidak mempunyai visual yang memuaskan. Pada hemat aku, filem pertama yang ditayangkan pada 2017 adalah lebih baik. Filem pertama menggunakan tema warna yang lebih gelap dan memberikan satu aura misteri yang lebih menarik dan mudah membuat penonton khusyuk dan tertanya-tanya.

Death on the Nile menggunakan tema warna yang lebih terang untuk pemandangan di Sungai Nil di Mesir. Jadi visual yang terlampau terang dan ke arah warna jingga ini terlampau mudah untuk penonton bezakan sama ada ia adalah praktikal atau mereka semua hanya berada di dalam studio. Ia juga tidak memberikan satu suasana yang realistik dan menampakkan kualiti suntingan seakan sebuah filem gred-B.

Kesimpulan

Aku tidak letak harapan yang tinggi pun pada filem ini. Tetapi aku tidak sangka ia mempunyai jalan cerita yang begitu mudah dan ringkas. Siri TV seperti The Afterparty atau Only Murders in the Building pun pada aku adalah lebih baik dari segi penulisan dan kejutan.

Penulis seakan ambil secara terus karya Agatha Christie yang menggunakan formula sama pada Murder on the Orient Express dan juga Death on the Nile. Konsep yang sudah baik, tetapi jika dirumitkan lagi dan perbaiki pergerakan kamera dan kurangkan pendedahan petunjuk yang terlalu jelas – filem ini mungkin boleh berikan satu impak yang pasti buat penonton teruja.

Namun kerana drama ini masih lagi ada klise drama cinta, jadi elemen seperti dendam, cemburu dan dengki masih ada. Kerana drama inilah menjadikan filem ini lebih ringan. Walaupun begitu, prestasi pelakon pada aku masih baik dan merekan yang sukakan filem whodunnit? yang banyak penyampaian daripada dialog – ini sesuai untuk anda. Tetapi jika anda ingin penyiasatan yang ringan, ini mungkin bukan untuk anda.

Filem Death on the Nile akan ditayangkan pada 12 Februari ini. Ulasan ini dilakukan berdasarkan akses awal yang Disney berikan kepada kami.

Death On The Nile
Di pawagam 12 Februari ini
Hercule Poroit kembali bersama Bouc untuk menyelesaikan misteri pembunuhan yang berpunca daripada cinta tiga segi. Namun, bolehkah misteri kali ini diselesaikan kerana ia kelihatan seakan lebih rumit.
Positif
Konsep penceritaan yang menarik
Prestasi lakonan yang memuaskan
Negatif
Drama yang klise
Kejutan yang tidak mengejutkan
Mudah diramal siapakah suspek utama
6.5
Skor Ulasan

Sohor Kini