SAG-AFTRA iaitu kesatuan yang mewakili pelakon-pelakon di Amerika Syarikat hari ini telah mengumumkan yang mereka akan melakukan undian untuk menentukan jika mereka akan melakukan mogok untuk kandungan interaktif atau permainan video.
Buat masa ini mogok yang berlaku sejak bulan Julai lepas hanya melibatkan filem dan juga siri TV. Jika mogok untuk permainan video ini berlaku ia akan melibatkan penerbit permainan video seperti Activision, EA, Epic Games, Insomniac Games, Take 2 dan WB Games.
Mereka mengatakan yang perjanjian sebelum ini telah dilanjutkan selama setahun akan tetapi masih tiada perjanjian baharu sehingga sekarang, dan mereka menyasarkan untuk melakukan mogok sebelum perbincangan dilakukan pada 26 September ini.
Antara fokus utama permintaan mereka adalah untuk mendapat peningkatan gaji sebanyak 11% secara retroaktif, dan penambahan sebanyak 4% untuk tahun kedua dan juga ketiga perjanjian. Selain itu, mereka juga inginkan perlindungan daripada penggunaan AI.
Jika mogok ini berlaku pelakon yang merupakan ahli SAG-AFTRA tidak boleh terlibat dengan lakonan suara ataupun motion capture untuk permainan video, mereka juga tidak boleh melakukan promosi bagi mana-mana permainan yang mereka terlibat.