Di acara IFA 2023 hari ini, Lenovo telah mengumumkan Lenovo Legin Go iaitu konsol mudah alih yang menjalankan Windows 11. Legion Go dilihat akan menjadi pesaing kepada ASUS ROG Ally yang telah dilancarkan beberapa bulan lepas.

Skrin Legion Go adalah 8.8″ Lenovo PureSight Gaming Display berasaskan IPS, kadar segar semula 144Hz dan nisbah paparan 16:10. Untuk cip ia mempunyai pilihan cip sehingga AMD Ryzen Z1 Extreme dengan GPU AMD RDNA. Memori adalah 16GB RAM LPDDR5X dengan storan dalaman mencapai 1TB NVMe. Bateri adalah 49.2WHr dengan pengecasan Super Rapid Charge 65W. Port USB-C terdapat, satu di bahagian atas dan satu di bawah. Kedua-duanya menyokong PD 3.0, USB 4.0 dan DisplayPort 1.4.

untuk alat kawalan, ia menggunakan sistem seakan Joy-Con pada Nintendo Switch. Bateri adalah 900mAh, sistem haptik HD, kayu analog jenis HAL-effect, terdapat butang ABXY, D-Pad, pelbagai butang yang boleh diubahsuai sendiri, sensor giroskop terbina dan turut boleh berubah menjadi tetikus. Speaker terbina adalah 2x 2W dan turut terdapat perisian gaming khas terbina iaitu Legion Space.

Lenovo turut menawarkan beberapa aksesori untuk melengkapkan ekosistem permainan. Pertama adalah Legion Glasses, kaca mata AR dengan skrin FHD untuk setiap satu bahagian daripada panel mikro OLED. Speaker terbina, USB-C untuk pengecasan dan sambungan. Kedua adalah Legion E510 7.1 iaitu set fon telinga gaming USB-C dengan dwi-pemacu audio 10mm dinamik dan Balance Armature.

Harga jualan adalah bermula €799 iaitu sekitar RM4023. Legion Glasses pada harga sekitar RM2500 dan set fon telinga pada harga sekitar RM250. Wakil Lenovo Malaysia menyatakan kepada kami, jualan di Malaysia masih dalam perbincangan lagi buat masa ini. Sama-sama kita nantikan.


