Frozen adalah francais filem animasi muzikal Disney yang popular. Dalam carta Box Office Mojo sehingga hari ini kedua-dua filem Frozen berada dalam senarai lima teratas. Frozen (2013) di tempat keempat dan Frozen II (2019) di tempat kedua.
Tahun ini adalah ulang tahun kesepuluh filem pertama Frozen. Sempena menantikan Frozen 3 yang kini dalam pembangunan Disney telah hadir dengan kisah sambungan melalui podsiar iaitu Frozen: Forces of Nature. Kisah podsiar ini berlau selepas Frozen 2 dan sebelum Frozen 3.
Disney turut akan memperkenalkan dua watak baharu iaitu Queen Disa permaisuri Sankerhus dan Lord Wolfgang anak saudara Duke of Weselton. Elsa dan Anna sekali lagi akan menjadi watak utama. Podsiar ini akan mempunyai 12 episod, ia dihasilkan oleh Disney Publishing Worldwide, ABC Audio dan Walt Disney Animation Studios. Frozen: Forces of Nature akan tiba pada Oktober ini di mana-mana platform penstriman podsiar.
Berikut adalah sinopsis rasmi Frozen: Forces of Nature;
Queen Anna kini semakin sibuk, diganggu pula oleh Lord Wolfgang yang menjengkelkan dan Spirits of Nature sekali lagi “meragam”. Ketika Elsa dan Anna ke Enchanted Forest mereka bertemu dengan mesin-mesin tembaga misteri yang merosakkan alam. Misi mereka adalah mencari pencipta mesin ini, untuk apa mesin ini dan bagaimana untuk menghentikannya.
Sumber – ABC News