Di acara Gamescom 2023 malam tadi, Zack Snyder telah mengumumkan perkembangan mengenai filem baharu beliau di Netflix iaitu Rebel Moon. Seperti yang dijangkakan, Rebel Moon akan mempunyai dua filem. Pertama adalah Part One: A Child of Fire yang akan disiarkan di Netflix pada 22 Disember 2023 dan kedua adalah Part Two: The Scargiver yang akan tiba pada 19 April 2024.
Dalam laporan Comicbook.com, Snyder berkongsi yang filem Rebel Moon akan mempunyai versi suntingan pengarah. Ini kerana saga Rebel Moon asalnya dihasilkan untuk rating PG-13 agar boleh ditonton oleh semua orang. Dengan mempunyai suntingan pengarah, filem akan mempunyai lebih kebebasan bercerita – mungkin sedikit lebih ganas. Selain itu versi Snyder Cut ini akan mempunyai durasi 6 jam.
Buat masa ini saga Rebel Moon akan fokus pada siaran di Netflix sahaja dengan versi suntingan pengarah akan tiba pada bila-bila masa di masa hadapan kelak.