Seingat kami francais filem Saw tidak pernah ditayangkan di Malaysia kerana kandungan ngeri yang menjijikkan. Satu-satunya filem Saw yang ditayangkan adalah Spiral: From The Book Of Saw dalam tempoh terhad oleh GSC Cinema.

Dalam semakan kami, Saw X telah dijadualkan untuk ditayangkan di Malaysia pada 27 Oktober akan datang. Filem ini dilihat akan diedarkan oleh Antenna Entertainments iaitu pengedar filem seram yang bertanggungjawab untuk filem KKN Di Desa Penari dan Qorin.

Sumber kami yang mengenali wakil Antenna Entertainments menyatakan mereka sudah pun menghantar filem ini ke Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) dan kini sedang menantikan pelepasan sahaja. Dengan LPF yang kini mempunyai sistem penapisan baharu dan beberapa filem seram-ngeri sudah pun mula ditayangkan, antaranya adalah Evil Dead Rise dan Cocaine Bear. Sebelum ini francais Evil Dead tidak pernah ditayangkan di pawagam tempatan dan ini memberikan harapan untuk Saw X pula.

Jika filem Saw X berjaya ditayangkan di Malaysia, beberapa kandungan ngeri mungkin boleh dikekalkan. Walau bagaimanapun jika terlampau ganas seperti melibatkan memancung kepala seperti dalam Evil Dead Rise ia mungkin akan dipotong atau akan terus dipangkas (crop).

Sohor Kini