Siapakah Dar-Benn Dalam The Marvels?

Treler terbaru filem The Marvels baru-baru ini mendedahkan antagonis utama filem tersebut adalah Dar-Benn. Dar-Benn adalah jeneral kepada askar-askar Kree dan turut pernah menjadi maharaja kepada Kree Empire. Watak ini direka untuk komik Fantastic Four dan kini telah menjadi musuh untuk filem sekuel Captain Marvel.

Dalam artikel ini akan saya cuba jelaskan siapakah Dar-Benn secara ringkas dan kenapa masuk akal untuk watak Fantastic Four ini terlibat dalam The Marvels.

Siapakah Dar-Benn Sebenarnya?

Dar-Benn adalah maharaja Kree Empire dan antara yang bertanggungjawab mencipta Silver Surfer. Watak ini kemudiannya dibunuh oleh Deathbird iaitu Cal’syee Neramani sejenis mutant dari Shir’ar Empire. Selepas mati, minda watak ini diserap ke dalam Supreme Intelligence – sistem kecerdasan buatan berkuasa untuk Kree yang turut pernah muncul dalam filem Captain Marvel (2019) dalam bayangan Mar-Vell/Wendy Lawson lakonan Annette Bening.

Dalam treler The Marvels, Dar-Benn dilihat dibawakan oleh pelakon wanita iaitu Zawe Ashton (The Handmaid’s Tale). Penglibatan watak ini dengan Captain Marvel masih tidak jelas, tetapi disebabkan Dar-Benn adalah sejenis Kree – ia masuk akal dengan Kree yang berdendam terhadap Captain Marvel.

Treler turut memperlihatkan yang Dar-Benn menggunakan sejenis artifak gelang tangan mirip Kamala Khan yang memberikan kuasa berasaskan elemen cahaya. Dar-Benn mungkin menyerang Captain Marvel kerana dapat merasai kaitan dengan Ms. Marvel yang turut mempunai elemen kuasa ini.

Sejarah Dar-Benn dalam komik kurang jelas begitu juga dengan versi filem. Tetapi treler mencadangkan yang watak ini adalah pengganti kepada Ronan the Accuser yang ditewaskan oleh Peter Quill dalam Guardian of the Galaxy Vol. 1. Dar-Benn dilihat menggunakan tongkat kuasa yang sama dengan Ronan.

Terdapat teori mencadangkan Supreme Intelligence mungkin memberi arahan kepada Dar-Benn kerana sistem kecerdasan buatan ini sanggup melakukan apa sahaja untuk Kree selagi tidak mendatangkan bahaya kepada Kree.

Pada pendapat saya, ini adalah peluang terbaik untuk MCU memperkenalkan Silver Surfer sebelum filem Fantastic Four. Jika benar filem ini memfokuskan Dar-Benn, android ciptaan makhluk Kree ini patut disertakan.

Dar-Benn turut menggelar Captain Marvel sebagai the Annihilators yang mencadangkan watak ini mungkin telah menewaskan Kree jahat lain kerana Dar-Benn turut menuduh Captain Marvel telah merampas segalanya dan ingin membalas dendam dengan memusnahkan bumi.

Dalam komik the Annihilators adalah pasukan adiwira yang melindungi angkasa lepas dari pelbagai peperangan. Dengan kesibukan Captain Marvel dalam dunia MCU, ia mencadangkan yang watak ini mungkin menjadi ahli kepada pasukan ini. Dalam komik antara ahli pasukan ini adalah Beta Ray Bill, Silver Surfer, Ikon, Gladiator, Quasar dan Ronan the Accuser turut pernah menyertainya.

Apa Yang Anda Patut Tonton Sebelum Menonton The Marvels?

The Marvels adalah filem sekuel untuk tiga cerita. Pertama adalah filem Captain Marvel (2019), kedua adalah siri WandaVision (2021) dan kemudian siri Ms. Marvel (2022). Bagi yang tidak mengikuti siri TV MCU di Disney+ anda mungkin tidak akan faham siapakah watak Monica Rambeau dan Kamala Khan/Ms. Marvel.

Captain Marvel

Filem MCU tahun 2019 yang memperlihatkan bagaimana Vers (Carol Danvers) menjadi pahlawan untuk Kree serta penglibatan dengan Skrulls. Carol Danvers dalam filem ini turut berjaya menewaskan salah seorang komander Kree iaitu Malah Supreme Yon-Rogg lakonan Jude Law. Supreme Intelligence iaitu sistem kecerdasan buatan yang melindungi Kree yang turut muncul dalam filem ini.

Captain Marvel berlaku pada tahun 1990-an turut menceritakan bagaimana hubungan watak ini dengan Nick Fury bermula. Nama Air Force Danvers dalam filem ini adalah Avenger yang memberi inspirasi kepada Fury untuk memulakan Avengers Initiative.

WandaVision

Siri TV pertama MCU di Disney+ yang berlaku tiga minggu selepas Avengers: Endgame. Dalam filem ini, anak Maria Rambeau (kawan baik Captain Marvel dalam filem 2019) iaitu Monica Rambeau terlibat serta menerima kuasa luar biasa seakan Captain Marvel. Siri ini turut memperlihatkan konsep multimesta dan sihir yang bersambung dalam filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness.

Ms. Marvel

Sebuah siri yang sedikit meta, di mana watak utama Kamala Khan amat meminati Avengers lebih-lebih lagi Captain Marvel. Kamala adalah gadis 16 tahun yang dikatakan mungkin adalah mutant dalam MCU yang menerima kuasa melalui artifak gelang waris keluarga. Kuasa ini mengubah Kamala menjadi adiwira Ms. Marvel.

Baca – Ulasan Ms. Marvel – Menarik Perhatian, Tapi Tak Memikat Hati

Guardians of the Galaxy Vol. 1 dan Secret Invasion

Kemunculan Kree kali pertama dalam MCU dipertontonkan dalam filem Guardians of the Galaxy Vol. 1. Lee Pace dan Djimon Hounsou menjadi makhluk Kree yang digelar sebagai Ronan the Accuser dan Korath. Korath turut muncul dalam filem Captain Marvel.

Dalam Secret Invasion ia menjelaskan lebih lanjut nasib makhluk-makhluk Skrulls selepas menjadi mangsa kepada Kree dan bagaimana mereka mula tinggal di bumi. Filem dan siri TV ini adalah hanya sebagai tambahan pengetahuan jika anda ingin fahami lebih lanjut siapa Kree dan siapa Srulls.

Baca – Selepas Dua Episod, Secret Invasion Berpotensi Menjadi Siri MCU Yang Terbaik

Kesimpulan

The Marvels akan ditayangkan pada 10 November 2023. Filem ini akan memperlihatkan gandingan Captain Marvel, Monica Rambeau dan Kamala Khan menjadi wirawati menghentikan Dar-Benn yang ingin memusnahkan bumi kerana berdendam dengan Captain Marvel.

Hanya dalam filem ini sahaja nanti kita akan tahu siapakah Dar-Benn versi MCU yang sebenar dan adakah Marvel Studios akan melibatkan Silver Surfer mengaitkan elemen Fantastic Four. Tidak lupa juga yang ramai menantikan penjelasan Kamala Khan mempunyai DNA mutant dan mengharapkan kaitan dengan X-Men akan dijelaskan.

Dengan episod akhir Secret Invasion akan disiarkan pada 26 Julai, filem ini turut diharapkan akan mempunyai hubungan rapat dengan siri TV ini kerana penglibatan Nick Fury dan Skrulls. Saya tidak mewajibkan anda menonton filem-filem dan siri TV yang saya sebutkan sebelum ini, tetapi alangkah baiknya anda tonton untuk lebih faham akan watak-watak yang terlibat.

Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini