Haunted Mansion adalah satu lagi filem berdasarkan tarikan di taman tema Disney Park, seperti Jungle Cruise yang dikeluarkan pada tahun 2021. Ini juga bukan adaptasi yang pertama, pada tahun 2003, The Haunted Mansion yang dibintangi oleh Eddie Murphy telah dikeluarkan. Saya tidak akan membandingkan dengan filem tersebut kerana saya tidak menontonnya, tambahan pada itu ini juga adalah pembawaan yang baharu.
Filem ini jika ingin dikategorikan adalah filem Seram Komedi, malangnya ia gagal untuk menjadi mana-mana daripadanya. Ia bukanlah filem yang seram, tambahan pada itu komedi yang disertakan juga bukanlah terbaik cuma ada beberapa bahagian sahaja yang mencetus untuk saya ketawa. Namun, ia masih satu filem yang mudah untuk diikuti dan mungkin menarik bagi tontonan seisi keluarga.
Haunted Mansion adalah mengenai ibu tunggal iaitu Gabbie lakonan Rosario Dawson bersama dengan anaknya Travis lakonan Chase W. Dillon yang telah berpindah ke satu rumah agam, tidak lama selepas memasuki rumah tersebut, mereka menyedari yang rumah tersebut mempunyai hantu ataupun roh. Walaupun sudah melarikan diri, hantu terus mengikut mereka yang membuatkan mereka kembali ke rumah tersebut dan meminta bantuan daripada seorang paderi iaitu Father Kent lakonan Owen Wilson.
Father Kent kemudiannya meminta bantuan Ben lakonan LaKeith Stanfield iaitu seorang saintis yang mencipta kamera yang boleh menangkap gambar hantu tetapi berubah menjadi pemandu pelancong. Pada awalnya Ben sekadar ingin berpura-pura untuk membantu kerana inginkan upah, akan tetapi mula menyedari yang hantu benar-benar ada yang membuatkan mereka meminta bantuan daripada Harriet lakonan Tiffany Haddish iaitu bomoh dan juga Professor Bruce Davis lakonan Danny DeVito serang pensyarah dalam bidang sejarah.
Bersama mereka cuba untuk menyiasat mengenai apa yang berlaku di dalam rumah ini, di mana mereka dapati yang ia dihantui oleh roh-roh yang kembali ke dunia tetapi mereka juga takut kepada satu roh jahat iaitu Hatbox Ghost yang disuarakan oleh Jared Leto. Sepanjang filem ini adalah mereka berusaha untuk melawan Hatbox Ghost tersebut untuk membebaskan diri mereka dan juga menghantar semula roh ke alam barzakh.
Walaupun menyertakan pelbagai jenis hantu berbeza, filem ini tidaklah seram. Saya yang secara peribadinya tidak menyukai filem seram kerana senang terkejut, tidak langsung terperanjat dengan mana-mana adegan di dalam filem ini. Perkara ini juga menjadi kurang menjadi kerana suntingan yang pelik. Ada masa adegan, terutama yang sepatutnya menjadi seram, berakhir dengan tiba-tiba tanpa menjadi seram.
Mereka menyiasat mengenai rumah agam tersebut, mengetahui mengenai misteri yang berlaku di situ adalah menarik, tetapi terasa dilakukan dengan kurang kemas dan pacing penceritaan terasa terlalu perlahan. Filem ini juga cuba untuk membawa beberapa elemen drama ataupun kekeluargaan, terutama melalui watak Ben akan tetapi cara mereka melakukannya adalah janggal dan seperti elemen seram, ia kurang menjadi.
Seperti saya nyatakan di atas, satu lagi elemen penting di dalam filem ini iaitu komedi yang sepatutnya menjadi perkara yang menjadikan filem ini lebih menarik juga tidak dilakukan dengan jayanya. Ada beberapa bahagian yang kelakar, tetapi kebanyakannya sekadar membuat saya tersenyum sahaja. Saya boleh katakan masalah utama adalah interaksi di antara pelbagai watak kurang berkesan terutama di bahagian awal penceritaan, satu perkara positif yang saya boleh katakan adalah ia menjadi lebih baik di bahagian akhir.
Selain perhubungan watak dan komedi menjadi lebih baik di bahagian akhir, saya juga boleh katakan yang filem ini berada di bahagian terbaik semasa klimaks penceritaan yang pada awalnya sedikit membosankan, menjadikan lebih menarik walaupun ia bukanlah bahagian yang lama di dalam filem ini. Kualiti lakonan juga adalah baik yang membawa perwatakan masing-masing dengan baik sekali walaupun ada masa dialog terasa janggal tetapi lebih kepada penulisan dan bukan penyampaian.
Akhir kata, Haunted Mansion gagal untuk menjadi yang baik bagi mana-mana genre untuknya iaitu sama ada Seram ataupun Komedi. Walaupun pelbagai hantu yang hadir, bahagian seram kurang menjadi ataupun bertukar menjadi elemen komedi yang secara sendirinya juga kurang membuatkan saya ketawa. Bahagian yang saya boleh katakan positif adalah apabila filem ini mencapai bahagian klimaks, akan tetapi ia juga tidak lama kerana sudah di bahagian akhir filem, selain itu lakonan daripada semua pelakon juga adalah baik.
Sama ada filem ini berbaloi untuk ditonton di pawagam, saya boleh katakan yang ia mungkin tontonan yang baik untuk seisi keluarga, bersama kanak-kanak akan tetapi secara peribadinya saya lebih menganggap ia adalah filem yang anda boleh tonton semasa berehat-rehat di rumah.
Penafian: Tayangan untuk Haunted Mansion disediakan oleh Disney Malaysia. Filem ini akan ditayangkan pada 27 Julai 2023.