Jungle Cruise adalah satu filem yang merupakan adaptasi kepada permainan di taman tema Disney yang menggunakan nama sama. Di dalam permainan tersebut, semua pengunjung akan memasuki satu kapal dan akan melalui pelbagai kawasan hutan dengan pelbagai kejutan.

Filem ini cuba membawa pengalaman tersebut dan di kebanyakan bahagian ia berjaya akan tetapi ia masih terasa terlalu biasa dan tidak banyak pengalaman yang akan dibawa keluar pawagam. Menjadikan ia satu filem yang mengecewakan walaupun dengan gandingan pelakon yang baik.

Jungle Cruise memfokuskan mengenai watak Dr. Lily Houghton lakonan Emily Blunt yang cuba mencari pokok Tears of the Moon di Penghutanan Amazon, di mana ia dikatakan yang satu daun daripada pokok tersebut boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Untuk mencarinya, Lily bersama adiknya MacGregor Houghton lakonan Jack Whitehall telah mengupah seorang pengemudi kapal iaitu Frank Wolff lakonan Dwayne Johnson. Pengembaraan mereka adalah menyeronokkan dengan pelbagai kawasan yang menarik dan menemui pelbagai kehidupan.

Di samping itu, seperti mana-mana filem ia juga mempunyai penjahat dan di dalam filem ini, penjahat tersebut adalah Prince Joachim lakonan Jesse Plemons yang ingin mendapatkan pokok Tears of the Moon untuk memastikan Jerman berjaya di dalam Perang Dunia Kedua.

Setiap watak di bawa dengan baik, akan tetapi penulisan tidak membantu untuk mengembangkan watak dengan menarik. Watak Lili, Frank dan MacGregor terasa terlalu janggal, dan sebarang perkembangan watak di antara mereka terasa sangat memaksa dan tidak diperhalusi dengan baik.

Emily Blunt membawa satu watak yang berlainan dengan lakonan-lakonan beliau sebelum ini, akan tetapi masih lagi membawa perwatakan tersebut dengan berjaya. Manakala Dwayne Johnson masih lagi membawa watak yang sudah biasa untuknya dan terasa sedikit mendatar.

Namun, beliau masih lagi menjadi sumber utama untuk gelak tawa kerana watak yang lucu. Gabungan lakonan untuk Dwayne Johnson dan Emily Blunt juga adalah baik akan tetapi seperti saya katakan di atas perkembangan watak tidak dilakukan dengan baik.

Bagi Prince Joachim pula, Jesse Plemons melakukan dengan baik, akan tetapi ia terasa seperti watak jahat yang telah hadir berpuluh-puluh jika tidak ratus kali di dalam filem-filem yang lain. Pembawaannya terasa terlalu biasa dan tidak membawa sesuatu yang baharu. Ia tidak memberi tambah nilai kepada keseluruhan penceritaan selain menjadi antagonis utama.

Jungle Cruise juga ada menyertakan beberapa watak lain, termasuk juga antagonis yang berbeza akan tetapi ia akan saya tidak akan beberkan, namun watak-watak tersebut memberi nilai tambah kepada filem ini, mereka lebih menarik berbanding Prince Joachim akan tetapi penglibatan terlalu terhad untuk membantu filem ini.

Sebagai satu filem pengembaraan, Jaume Collet-Serra sebagai pengarah mempunyai pengalaman untuk membawa perasaan cemas, seperti mana dilakukan olehnya melalui filem The Shallows dan The Commuter menjadi ia satu perkara menarik di dalam filem ini.

Akan tetapi aksi cemas sahaja tidak akan menjadikan filem pengembaraan menarik, bagi saya ia juga memerlukan misteri dan di dalam filem ini ia tidak sangat menjadi fokus.

Kekurangan misteri ini menjadikan filem ini sekadar memfokuskan kepada apa yang berlaku sekarang sahaja, dan ia juga menjadikan filem ini mudah untuk dijangka. Ada beberapa misteri tetapi ia tidak dikembangankan dengan lebih mendalam menjadikan ia sedikit mengecewakan.

Filem ini juga menggunakan sesuatu yang sesuatu yang “tidak masuk akal” untuk menjadi kejutan kepada penonton, ia adalah perkara biasa bagi filem-filem pengembaraan. Ia juga berjaya dilakukan dengan baik di dalam Jungle Cruise, melihat perkara-perkara ini sama ada membuatkan penonton terkejut ataupun juga menjadi satu gelak tawa.

Sebagai filem yang berlaku di kawasan hutan dan sungai, ia adalah filem yang cantik walaupun ada beberapa penggunaan CGI yang bagi saya sedikit murahan, terutama ini adalah filem Disney, saya merasakan ia boleh dilakukan dengan lebih baik.

Secara keseluruhannya, Jungle Cruise boleh dikatakan sebagai satu filem yang menarik jika tiada filem-filem lain yang pernah membawa genre serta konsep yang sama, namun oleh kerana ia adalah tidak, filem ini terasa terlalu biasa dan tidak akan menjadi satu perbualan selepas kredit berakhir.

Ia bagaikan jika permainan Jungle Cruise adalah satu-satunya permainan yang anda main di taman tema, ia akan menjadi satu memori yang baik, akan tetapi jika anda juga bermain pelbagai permainan lain yang lebih menarik anda mungkin terlupa sudah mencuba Jungle Cruise apabila keluar daripada taman tema.

Penafian: Tiket untuk filem Jungle Cruise disediakan oleh Disney Malaysia.

Jungle Cruise
Jungle Cruise adalah satu filem yang baik, akan tetapi ia terasa satu filem yang tidak membawa satu perkara yang baharu. Gabungan Emily Blunt dan Dwayne Johnson juga tidak dapat membantu.
Positif
Lakonan Yang Baik
Kawasan Dan Rekaan Pemandangan Yang Cantik
Negatif
Penceritaan Terlalu Biasa
Watak Kurang Dikembangkan
7

Sohor Kini