Tahun ini hanya ada tiga siri TV MCU yang akan disiarkan di Disney+ Hotstar. Iaitu Secret Invasion, Loki musim kedua dan Echo. Pagi tadi saya diberikan peluang untuk menonton dua episod pertama bagi Secret Invasion iaitu siri mengenai makhluk asing boleh-tukar rupa yang ingin merampas bumi daripada manusia.
Disebabkan Skrull berkait dengan Nick Fury seperti yang dipertontonkan dalam filem Captain Marvel, bekas ketua S.H.I.E.L.D ini akan menjadi hero utama menyelamatkan bumi daripada jajahan makhluk asing ini. Persoalannya adakah ini siri TV MCU yang wajib ditonton atau tidak?
Sebelum menonton, saya tidak mengharapkan apa-apa yang mengejutkan pada Secret Invasion, akan tetapi siri ini mengambil masa 10 minit sahaja untuk menarik perhatian dan membuatkan saya khusyuk dan rasakan ini adalah siri TV MCU terbaik pernah saya tonton selepas WandaVision dan Moon Knight. Secret Invasion adalah drama yang serius, sedikit berat dan turut melibatkan elemen politik.
Siri TV ini telah mengingatkan saya kepada filem Black Widow dan juga siri The Falcon and the Winter Soldier. Sebuah siri seakan perisikan, penganiayaan, kerajaan yang tidak menghargai ejen-ejen rahsia mereka dan yang seumpama dengannya.
Beberapa aspek dalam dua episod pertama ini bukanlah sesuatu yang baru. Akan tetapi cara penulis dan pengarah cuba sampaikan kisahnya sangat baik dan lancar. Saya amat menyukai dinamik watak Nick Fury lakonan Samuel L. Jackson dengan Talos serta Maria Hill lakonan Ben Mendelsohn dan Cobie Smulders. Gandingan mereka bertiga amat baik dan setiap aksi yang dilakukan cukup mendebarkan.
Aksi daripada Emilia Clarke yang menjadi G’iah iaitu Skrull dan anak kepada Talos juga menarik. Cuma watak ini mudah dibaca dan saya sudah boleh membuat jangkaan apakah nasib watak ini di episod akan datang. Gravik iaitu ketua Skrull jahat lakonan Kingsley Ben-Adir adalah watak yang mengejutkan di dalam siri ini. Beliau menjiwai watak ini dengan sangat baik memberikan seorang antagonis yang mengerikan.
Siri TV ini turut melibatkan ramai watak yang saya sudah kenal daripada filem-filem MCU sebelum ini tetapi masih lagi mempunyai elemen yang membuatkan saya terkejut. Walaupun baru menonton dua episod, saya sudah disajikan dengan aksi yang menarik, ganas walaupun masih belum mencapai tahap siri Falcon lagi, sekurang-kurangnya untuk dua episod ini.
Secret Invasion turut menjelaskan lagi apa itu S.A.B.E.R yang kali pertama didedahkan dalam Spider-Man: Far From Home. Ia adalah stesen angkasa baharu yang diketuai oleh Nick Fury dan akan memainkan peranan penting dalam siri ini serta filem The Marvels nanti. Saya juga dapat rasakan dengan terlibatnya Colonel Rhodes lakonan Don Cheadle, penceritaan Secret Invasion juga akan berkait dengan Armor Wars.
Tidak banyak yang saya boleh kongsi mengenai siri ini selain pengalaman menonton untuk dua episod ini, namun ia sudah mencukupi untuk memberi harapan kepada saya yang Secret Invasion akan menjadi siri TV MCU kegemaran dan mungkin yang terbaik kerana elemen aksi, drama dan perkembangan watak yang telah dipertontonkan setakat ini. Oleh itu saya tidak sabar untuk menantikan episod-episod seterusnya bagi siri ini.
Penafian: Akses dua episod pertama Secret Invasion disediakan oleh Disney untuk ulasan. Secret Invasion akan tiba di Disney+ Hotstar Malaysia pada 21 Jun ini.