Pada bulan Mei lepas, satu permainan telefon pintar “Slavery Simulator” yang menjadikan penjualan hamba sebagai mekanik telah dibuang daripada Google Play Store, bahkan kerajaan Brazil juga telah membuka siasatan mengenai bagaimana permainan tersebut boleh dilancarkan.
Pembangun untuk permainan ini adalah MagnusGames iaitu pembangun permainan berasal dari Brazil yang juga berkongsi nama dengan pembangun dari Malaysia iaitu Magnus Games Studios.
Perkara ini telah membawa kesan negatif kepada Magnus Games Studios yang memaksa mereka untuk mengeluarkan kenyataan menegaskan yang mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pembangunan permainan tersebut.
“Di Magnus Games Studio, kami sangat berpegang teguh mengenai tanggungjawab sosial sebagai pembangun permainan video. Kami menetapkan tanggungjawab standard etika yang tinggi, bagi memastikan permainan kami sejajar dengan visi, nilai dan juga kesejahteraan pemain kami. Tiada ahli pembangun kami akan membenarkan ataupun bersetuju untuk membangunkan permainan yang mempromosikan latar belakang atau pengalaman tatamain yang bertentangan dengan arahan dan tumpuan kami.” kata DC Gan, Pengarah Magnus Games Studios di dalam kenyataan tersebut.
Magnus Games Studio merupakan pembangun untuk Re:Legend yang sudah dikeluarkan dan sedang membangunkan permainan RPG ketahanan hidup bersama dengan Shuieisha Games dengan judul awal “Project Survival”.