Asus Republic of Gamers telah melancarkan ROG Phone 7 secara rasmi pada bulan Mei lepas dan ia hadir dengan dua pilihan spesifikasi iaitu 12GB RAM dan 256GB storan dan 16GB RAM dengan 512GB storan, iaitu model yang saya guna untuk beberapa minggu yang lepas bagi tujuan ulasan ini.

Spesifikasi lain untuk ROG Phone 7 ini adalah ia hadir dengan paparan 6.78-inci, menggunakan panel AMOLED dengan resolusi FHD+ atau 2448 x 1080 dan kadar kelancaran sehingga 165Hz. Bagi cip pemprosesan ia menggunakan Snapdragon 8 Gen 2. Bateri berkapasiti 6000mAh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 65W.
Paparan | 6.78-inch FHD+ AMOLED (2448 x 1080), 165Hz |
CPU | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 3.19GHz octa-core |
GPU | Adreno 740 |
RAM | 16GB |
Storan | 512GB, tanpa sokongan kad SD |
Batteri | 6,000mAh (pengecasan pantas) 65W |
Dimensions | 173 x 77 x 10.3 mm |
Weight | 239g |
Price | RM4,299 |
Prestasi
Sebelum saya bercakap mengenai prestasi bermain permainan mudah alih di ROG Phone 7, terlebih dahulu saya ingin kongsikan mod berbeza yang disertakan iaitu ‘X Mode’ yang akan mempertingkatkan pengalaman bermain permainan mudah alih tetapi lebih banyak menggunakan bateri, ‘Dynamic’ yang akan mengimbangkan prestasi dengan penggunaan bateri dan ‘Ultra Durable’ untuk menjimatkan bateri tetapi mengurangkan prestasi dan juga kadar segar semula.
Semasa percubaan saya, penggunaan bateri walaupun menggunakan ‘X Mode’ tidak menjadi masalah kepada saya, oleh itu, saya sentiasa menggunakan mod ini sahaja setiap masa, tetapi pilihan terbaik sudah semestinya menggunakan Dynamic kebanyakan masa dan menggunakan X Mode apabila bermain permainan mudah alih sahaja. Adakah perbezaan X Mode dan Dynamic sangat berbeza untuk prestasi? Saya boleh katakan tidak, tetapi perbezaannya boleh dirasa dengan memberikan kadar kelancaran yang lebih stabil.

Mengikut spesifikasi bagi telefon ini, tambahan lagi dengan ROG Phone 7 dipasarkan sebagai satu telefon pintar yang memfokuskan kepada permainan mudah alih, tidak mengejutkan yang saya boleh katakan prestasi bermain permainan mudah alih di telefon ini adalah memuaskan. Saya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan spesifikasi tertinggi bagi setiap permainan yang saya cuba, antaranya adalah Genshin Impact, Honkai: Star Rail, Marvel Snap, dan League of legends: Wild Rift.
Genshin Impact dan Honkai: Star Rail iaitu dua permainan oleh HoYoverse saya dapat menggunakan tetapan tertinggi termasuk juga kadar kelancaran iaitu 60FPS tanpa sebarang masalah. Genshin Impact ada masa ia tersangkut terutama apabila memasuki kawasan baharu dan juga kawasan yang ‘sibuk’ dengan pelbagai persekitaran. Namun, saya boleh katakan kekerapan ia berlaku adalah lebih rendah berbanding telefon-telefon Android lain yang saya pernah cuba sebelum ini.
Manakala bagi Honkai: Star Rail tiada sebarang masalah terhadap kelancaran permainan walaupun semasa keadaan yang sibuk, begitu juga dengan Marvel Snap, tiada masalah untuk menggunakan tetapan yang tertinggi.

Penggunaan bateri untuk Genshin Impact adalah lebih kurang 20% untuk sesi bermain selama sejam, manakala Honkai: Star Rail lebih kurang jumlah yang sama tetapi ada masa Honkai menggunakan bateri lebih banyak berbanding Genshin Impact semasa percubaan saya. Manakala Marvel Snap menggunakan lebih kurang 12% bagi sesi bermain selama sejam.
Bagi League of Legends: Wild Rift saya tidak mempunyai masalah untuk bermain dengan menggunakan kadar kelancaran 120FPS akan tetapi apabila memilih kadar kelancaran ini, permainan tidak membolehkan saya untuk memilih kualiti grafik ‘Super High’ dab resolusi dihadkan kepada ‘Medium’ sahaja. Ini sedikit mengecewakan kerana apabila saya bermain, penggunaan CPU dan GPU adalah lebih rendah berbanding 50% dengan kata lain, ROG Phone 7 boleh menggunakan tetapan yang lebih tinggi. Bagi penggunaan bateri, ia menggunakan lebih kurang 15% untuk satu jam sesi bermain.
Rekaan
Walaupun menggunakan saiz skrin 6.78-inci, ROG Phone 7 tidak terasa besar dan masih selesa untuk dipegang, terutama rekaan lebih kepada memanjang berbanding lebar yang sudah semestinya lebih baik untuk sesi bermain permainan mudah alih, ia juga satu peranti yang mudah untuk digunakan sebelah tangan.
Bercakap mengenai skrin, paparan ROG Phone 7 juga sangat baik dengan menggunakan AMOLED, dengan warna, kegelapan dan juga sudut tontonan yang memuaskan. Saya tidak mempunyai sebarang rungutan semasa bermain permainan mudah alih ataupun semasa menonton kandungan video seperti Youtube dan juga Netflix. Selain itu, dengan sokongan kadar segar semula sehingga 165Hz, ia adalah antara penawaran terbaik buat masa ini.


Saya biasanya tidak menyukai rekaan yang terlalu “gaming”, tetapi ROG Phone 7 mempunyai rekaan peranti yang sangat menarik. Ia mempunyai dua kekemasan yang berbeza di bahagian atas dan juga bawah untuk belakang peranti, memberikan gaya yang futuristik. Terdapat logo Republic of Gamers di bahagian bawah kiri dan juga satu logo besar di bawah yang juga merupakan lampu RGB dan satu lagi RBG, ‘aura glow’ yang boleh ditetapkan warna dan cara ia dipamerkan. Ia adalah cantik walaupun saya secara peribadi tidak sangat menggunakannya.
Kamera juga dengan kemas disertakan dan tidak mempunyai sebarang bonggol kamera yang memudahkan semasa menggunakan telefon ini tanpa memegangnya. Kesemua butang berada di bahagian kanan, dengan butang kuasa mempunyai hiasan berwarna mereka untuk membezakan dengan butang volume.


Bagi I/O, ROG Phone 7 mempunyai dua USB-C yang terletak di bawah untuk pengecasan, dan di bahagian tepi kiri untuk penggunaan bersama dengan aksesori. Mengejutkan untuk telefon pintar yang dikeluarkan pada tahun 2023, tetapi sangat berguna untuk sesi bermain permainan mudah alih, ia masih menyertakan bicu audio 3.55.
Jika tidak menggunakan bicu audio, speaker yang disertakan di dalam ROG Phone 7 ini juga memberikan pengalaman yang baik. Saya sudah semestinya tidak mencadangkan untuk bermain menggunakan speaker semasa berada di tempat awam, akan tetapi semasa berada di rumah ataupun tempat bersendirian, prestasi speaker ROG Phone 7 membuatkan saya tidak terlalu ingin menggunakan set fon kepala sama ada semasa bermain permainan video ataupun menonton kandungan video, dengan bunyi yang disampaikan adalah kuat dan jelas.
Seperti biasa, antara tarikan utama untuk telefon ROG adalah termasuk juga ROG Phone 7 adalah ia menyertakan AirTriggers. Ia merupakan butang yang berada di bahagian tepi kanan, ataupun atas jika menggunakan telefon secara mendatar. Air Trigger ini bukanlah butang fizikal, tetapi menggunakan sensor sahaja, namun terdapat logo ROG untuk memperlihatkan kedudukan sensor AirTriggers tersebut.


Armoury Crate
Seperti yang saya katakan di atas, ROG Phone 7 menyediakan beberapa mod berbeza dan tetapan ini boleh diubah menggunakan perisian yang terpasang iaitu Armoury Crate. Selain itu, Armoury Crate ini juga akan menjadi launcher utama untuk kesemua permainan-permainan yang terpasang. Dengan setiap permainan ini juga boleh mempunyai profil tersendiri, termasuk juga untuk tetapan menggunakan Air Trigger. Tidak ingin menetapkan secara sendiri, saya juga boleh memuat turun sahaja tetapan yang sudah terbina khusus untuk permainan-permainan tertentu.



Armoury Crate ini juga berguna untuk memperlihatkan keadaan suhu semasa bagi CPU, GPU, sistem ataupun penggunaan storan dan juga RAM. Saya juga boleh menukar tetapan untuk sistem lampu melalui aplikasi yang sama. Selain itu, terdapat ROG Connect yang boleh dikatakan sebagai komuniti untuk ROG, saya juga boleh melihat permainan-permainan yang dicadangkan oleh ROG yang menyokong pelbagai kadar segar semula yang berbeza.
Manakala di dalam permainan terdapat juga Game Genie yang merupakan overlay yang berguna untuk memaparkan maklumat tertentu seperti penggunaan CPU, GPU, suhu, bateri, dan juga kadar kelancaran semasa bermain permainan mudah alih. Ia juga memudahkan saya untuk menukar sebarang tetapan seperti membuka atau menutup penggunaan AirTriggers.

Kesimpulan
Akhir kata, ROG Phone 7 bukan sekadar dipasarkan sebagai telefon pintar untuk ‘gaming’ akan tetapi ia juga benar-benar menyertakan pelbagai pilihan rekaan dan juga perisian yang mempertingkatkan pengalaman bermain permainan mudah alih. Prestasi yang diberikan adalah memuaskan, paparan yang digunakan juga berkualiti, dan hadirnya fungsi seperti AirTriggers dan aplikasi Armoury Crate dan juga Game Genie menjadikan ia adalah penawaran yang berbeza dan lebih baik berbanding dengan telefon-telefon lain di pasaran.
Fotografi oleh Khairunisa Aqilah untuk Aksiz