Ulasan The Flash

Selepas bertahun-tahun menanti, filem solo The Flash akhirnya akan ditayangkan di pawagam minggu hadapan. The Flash adalah antara watak komik DC kegemaran aku dan selama ini dalam bentuk aksi nyata hanya dapat disaksikan melalui siri TV tahun 1990 lakonan John Wesley Shipp, siri Arrowverse lakonan Grant Gustin dan Ezra Miller dalam beberapa filem DCEU.

The Flash ataupun Barry Allen dalam filem ini dilakonkan oleh Ezra Miller. Beliau mempunyai kuasa lari adi-laju, boleh merentas masa dan juga merentas antara multimesta. Filem baharu ini menurut James Gunn akan menamatkan DCEU dan memulakan DC Universe.

Dalam banyak-banyak filem DCEU, pada pendapat aku The Flash adalah paling menarik pernah aku saksikan. Adakah filem ini akan dapat menarik perhatian orang ramai atau hanya aku seorang yang rasa menarik?


Apa Kisahnya?

Filem The Flash ini diadaptasi berdasarkan kisah dalam komik Flashpoint yang turut mempunyai filem animasi DC yang terbaik pernah aku saksikan iaitu Justice League: The Flashpoint Paradox. Kisahnya adalah penting kerana melibatkan pengembaraan rentas masa, rentas multi-mesta, dunia di mana setiap adiwira berbeza serta pertempuran dengan Reverse Flash.

Seperti komik dan animasi, filem ini juga memfokuskan kepada Barry Allen yang kini sudah hebat menjadi The Flash dan berganding bahu bersama-sama dengan Batman lakonan Ben Affleck. Suatu hari menyedari dia boleh berlari ke dalam Speed Force untuk merentas masa, dia telah mengubah masa silam dengan menyelamatkan ibunya daripada dibunuh yang sekaligus menghalang bapanya dituduh.

Perubahan ini juga menyebabkan dunia sekarang tiada Justice League, Batman adalah versi Michael Keaton, Superman digantikan dengan Supergirl dan tragedi dalam filem Man Of Steel baru sahaja berlaku dengan kemunculan semula General Zod.

Jadi Barry terpaksa bekerjasama dengan diri beliau yang lebih menjengkelkan dan muda untuk memulihkan garis masa agar perubahan drastik yang mengerikan ini tidak berlaku.

Pengalaman Menonton

Filem ini adalah apa yang aku harapkan untuk Flashpoint versi aksi nyata. Banyak elemen The Flash yang dilakukan dengan baik, mudah faham dan terus menjadikan watak ini lebih menarik. Filem ini cuba bawakan penceritaan multimesta rumit yang tidak mengelirukan dan ia berjaya melakukannya.

Aku menjadi teruja apabila melihat elemen Speed Force yang nampak cool. Berbeza dengan siri TV The Flash, penyampaian dalam filem lebih bijak dan masuk akal. Malah watak The Flash turut ditulis untuk mempunyai kemahiran mengawal dunia multimesta mana dia ingin pergi, untuk memastikan penceritaan tidak terlalu rumit.

Menjadikan filem ini lebih menarik adalah prestasi lakonan oleh Ezra Miller, Michael Keaton dan Sasha Calle. Tiga watak penting yang menjayakan filem ini. Aku akan mulakan dengan Ezra Miller yang mana aku akan tolak tepi semua isu pelakon ini di dunia nyata.

Ezra Miller adalah Barry Allen. Jika sebelum ini aku rasakan Grant Gustin paling bagus membawakan watak ini tetapi dalam filem ini, Ezra Miller mengambil takhta tersebut. Malah gaya The Flash lari dalam filem ini juga berbeza dengan filem-filem Snyderverse. Prestasi Ezra Miller di dalam filem ini membuatkan aku tidak terkejut apabila pengarah The Flash ingin Ezra Miller terus membawa watak ini.

Ezra Miller membawakan dua watak berbeza dalam filem ini, satu Barry Allen masa sekarang yang sudah hampir matang dan memahami kuasa beliau dan satu lagi sebagai Barry Allen yang masih muda. Versi kedua ini adalah berkali ganda menjengkelkan dan gandingan dua watak ini seakan melihat kembar yang mempunyai personaliti jauh berbeza.

Watak Sasha Calle sebagai Supergirl juga pada aku dilakukan dengan menarik. Ia seakan cuba memuatkan jalan cerita Man Of Steel dalam filem ini tetapi tanpa penglibatan Superman. Walaupun pendek dan ringkas aku suka bagaimana watak ini disampaikan. Prestasi Calle sebagai Supergirl juga menarik dan membuatkan aku tertanya mengapa watak ini baru diperkenalkan.

Michael Shannon turut kembali sebagai General Zod. Aku tiada sebarang komen mengenai kemunculan semula watak ini, tetapi aku cukup suka melihat perlawanan antara dua warga Krypton. Beliau membawakan watak Zod dengan baik sahaja sama seperti Man Of Steel.

Paling menarik pada aku adalah kembalinya Michael Keaton sebagai Bruce Wayne/Batman. Dalam filem ini beliau sudah tua dan bersara sebagai detektif terhebat ini, tetapi terpaksa kembali untuk membantu Barry Allen menyelamatkan dunia. Aksi Keaton dalam filem ini membuatkan aku inginkan filem Batman Keaton baharu yang memfokuskan kehidupan ketika beliau sudah bersara.

Filem The Flash bukanlah filem komik terbaik pernah aku saksikan. Tetapi ia adalah filem DC terbaik dan satu filem multimesta yang bagus. Filem ini juga bijak menceritakan konsep Speed Force, multimesta dan rentas masa dengan cara yang unik yang aku pasti akan membuatkan ramai orang tertawa tetapi pada masa sama memahami apa yang cuba disampaikan.

Kesimpulan

The Flash adalah contoh filem DC yang baik dan bagaimana filem DC di masa akan datang boleh menjadi lebih baik. Ini adalah permulaan baharu untuk menyampaikan kisah rumit dan memperkenalkan dunia The Flash kepada umum. Walaupun aku seronok menonton, teruja dan turut menjerit dalam wayang kerana terkejut kerana pelbagai watak yang membuat penampilan khas tetapi aku masih tidak puas hati dengan filem ini.

Dua perkara utama yang aku tidak puas hati adalah pertama aku mahukan lagi aksi The Flash. 2 jam 35 minit durasi filem ini pada aku tidak cukup dan aku mahukan lagi pertempuran The Flash, aku mahukan lebih lagi interaksi antara The Flash dengan watak cameo lain dan aku mahukan lagi elemen-elemen Speed Force. Kedua adalah kualiti CGI yang pada aku boleh diperbaiki, ada satu adegan hujan bayi dalam filem ini yang mana kelihatan seakan Renesmee Cullen dalam filem The Twilight Saga: Breaking Dawn. Kemudian ada beberapa elemen kesan visual khas lain yang kelihatan hanya sedikit lebih baik berbanding siri TV The Flash.

Penafian: Tayangan The Flash disediakan oleh Warner Bros untuk tujuan ulasan ini. The Flash akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 14 Jun.

The Flash
Filem solo pertama The Flash ini adalah filem DCEU (ke sudah DCU?) terbaik pernah aku saksikan. Ia menyampaikan kisah Flashpoint yang rumit dalam penceritaan yang mudah dihadam. Konsep merentas masa, multimesta dan elemen-elemen The Flash turut diperlihatkan dengan bagus. Ini adalah filem khusus untuk peminat DC dan The Flash.
Positif
Penyampaian kisah Flashpoint yang baik sekali.
Prestasi lakonan Ezra Miller yang mantap.
Adegan aksi The Flash, Supergirl, Batman yang gempak.
Negatif
Penceritaan yang tidak memuaskan dengan kualiti VFX yang tidak menarik.
9

Sohor Kini