Esok adalah hari Star Wars iaitu 4 Mei (May the fourth) bersamaan dengan May the force be with you. Hari di mana siri animasi Star Wars: Vision Volume 2 iaitu musim kedua kepada kisah alternatif dunia Star Wars.
Bagi yang tidak tahu, siri animasi ini dihasilkan oleh pelbagai studio animasi berbeza dari pelbagai negara. Setiap episod ada rekaan animasi tersendiri, penceritaan tersendiri, elemen budaya negara pencipta setiap episod dan banyak lagi.
Kali ini dalam musim kedua animasi dan penceritaan yang disampaikan adalah jauh lebih hebat dan memuaskan. Setiap episod sesuai untuk ditonton oleh pelbagai usia, banyak penceritaan dunia Star Wars yang menarik lebih-lebih lagi ke arah Kyber Crystal dan pertempuran Lightsaber.
Baca – Apa Kami Tonton Minggu Ini? #17 – Foundation, Trilogi The Matrix, Star Wars: Vision
Pengalaman Menonton
Dalam Star Wars: Vision Volume 1 atau musim pertama, setiap episod masih memberi peringatan yang ia berlaku dalam dunia Star Wars. Tetapi dalam musim kedua ini ia memberi pengalaman menonton yang sangat menarik. Elemen Star Wars yang jelas adalah Lightsaber dan Kyber Crystal sahaja. Lain-lain seakan dunia tersendiri. Apa yang aku rasakan adalah seakan menonton siri animasi What If…? yang bercampur dengan Love, Death & Robots.
Vision Volume 2 mempunyai 9 episod dengan setiap episod mempunyai durasi sekitar 15 minit ke 30 minit sahaja. Setiap episod dihasilkan dari 9 studio berbeza negara seperti Sepanyol, Korea Selatan, Chile, UK, Afrika Selatan, India, Jepun dan Perancis.
Episod 1: “Sith” | Studio: El Guiri (Sepanyol)
Episod ini ditulis oleh dan diarahkan oleh Rodrigo Blaas. Rekaan animasi adalah seakan cat yang hidup dan bergerak. Penceritaan memfokuskan kepada sejenis tenaga baharu dan pengalaman menonton episod ini lebih kepada menonton siri animasi di Netflix iaitu Love, Death & Robots tetapi dengan pertempuran Lightsaber yang memuaskan. Peminat Star Wars pasti akan menyukai episod ini.
Episod 2: “Screecher’s Reach” | Studio: Cartoon Saloon (Ireland)
Anda tahu yang Disney dan Lucasfilm sedang membangunkan siri Star Wars: Skeleton Crew? Siri yang dikatakan mengambil inspirasi Stranger Things. Ada sekumpulan kanak-kanak sesat di “dunia baharu” dan mencari jalan pulang dan di dalam pengembaraan akan bersemuka dengan pelbagai makhluk.
Episod kedua yang diarahkan oleh Paul Young ini adalah seakan Skeleton Crew. Episod ini turut ada elemen Stranger Things di mana seorang kanak-kanak terpilih menjadi hero “terpilih”. Turut disertakan dalam Screechher’s Reach adalah aksi ngeri yang mendebarkan.
Episod 3: “In the Stars” | Studio: Punkrobot (Chile)
Episod ini diarahkan dan ditulis oleh Gabriel Osorio. Episod ini mempunyai rekaan animasi yang cantik dan antara yang paling unik kerana menggunakan konsep gerak-henti (stop motion). Setiap rekaan watak adalah comel dan episod ini menceritakan mengenai seorang kanak-kanak yang mempunyai semangat tinggi dan sentiasa yakin pada Force. Dengan semangat ini si kecil ini berjaya mengawal Force dan menggunakannya untuk perlindungan diri dan yang tersayang.
Episod 4: “I Am Your Mother” | Studio: Aardman (United Kingdom)
Episod keempat diarahkan oleh Magdalena Osinska. Animasi kali ini menggunakan gaya anak patung. Semasa aku menonton aku terus teringat akan pergerakan animasi dalam filem Toy Story. Sebuah kisah kekeluargaan yang menarik yang seimbang dengan drama dan komedi. Ia juga adalah satu episod mengenai perlumbaan jet? ke podracer?
Episod 5: “Journey to the Dark Head” | Studio: Studio Mir (Korea Selatan)
Episod kelima adalah episod kegemaran aku. Ia mempunyai drama yang cukup hebat dan aksi yang mendebarkan sehingga jantung berdegup kencang. Episod ini diarahkan oleh Hyeong Geun Park yang menggunakan rekaan animasi klasik lukisan tangan Korea. Drama yang penuh emosi disampaika seakan satu dunia alternatif Star Wars ada versi Korea Selatan. Paling menarik ada aksi pertempuran Lightsaber yang dahsyat dan memuaskan.
Episod 6: “The Spy Dancer” | Studio: Studio La Cachette (Perancis)
Julien Chheng merupakan penulis dan pengarah bagi episod keenam. Animasi dalam episod ini membuatkan aku ingin tonton versi filem di pawagam. Ia sinematik, direka untuk aksi yang dahsyat serta menggunakan elemen droid yang bijak serta pertempuran antara Rebel dan Galactic Empire. The Spy Dancer turut adalah episod untuk watak utama menjadi wirawati sambil dalam pengembaraan untuk bertemu dengan ibu kandung.
Episod 7: “The Bandits of Golak” | Studio: 88 Pictures (India)
Bagaimana agaknya jika Star Wars berlaku di dunia Bollywood? Episod The Bandits of Golak yang merupakan episod ketujuh dan oleh Ishan Shukla ini cuba menjadi Star Wars versi Hindi. Rekaan animasi yang nampak aneh kerana cuba menjadi tersendiri. Mereka menggunakan animasi seakan filem Puss In Boots: The Last Wish yang menggabungkan 2D dan 3D. Episod ini akan memberi anda pengalaman menonton di luar jangkaan dan turut mempunyai pertempuran Lightsaber yang aku suka.
Episod 8: “The Pit” | Studios: D’art Shtajio (Jepun) dan Lucasfilm (Amerika Syarikat)
Untuk The Pit animasi ini adalah kolaborasi antara dua negara iaitu Jepun dan Amerika Syarikat. Mewakili Jepun adalah D’art Shtajio dan Lucasfilm adalah untuk AS. Diarahkan dan ditulis oleh LeAndre Thomas dengan Justin Ridge sebagai pengarah bersama. Rekaan animasi adalah jenis klasik dengan penceritaan politik seperti orang miskin ditindas, orang kaya tidak tahu sumber kekayaan sebenar dari mana dan golongan elit. The Pit turut mempertontonkan bagaimana di dunia Star Wars wujudnya pelombong Kyber Crystal. Episod ini penuh dengan emosi yang menyentuh jiwa yang pasti akan membuatkan anda sebak.
Episod 9: “Aau’s Song” | Studio: Triggerfish (Afrika Selatan)
Episod terakhir iaitu yang kesembilan ditulis dan diarahkan oleh Nadia Darries serta Daniel Clarke. Rekaan animasi adalah jenis patung fabrik 3D di dunia yang menggabungkan elemen 2D dan 3D. Memang cantik, dramatik dan memberi pengalaman menonton yang rasa ingin lagi.
Satu lagi kisah menekankan Kyber Crystal kali ini mengenai keluarga Abat iaitu pelombong yang turut menjual kristal yang memberi kuasa kepada lightsaber ini. Watak utama adalah Aau si anak kecil yang ada kuasa istimewa apabila berdekatan dengan Kristal. Kuasa ini adalah seakan Force tetapi muzikal dan hanya dengan kristal sahaja. Dalam dunia episod ini setiap kristal telah dicemari dengan Dark Force menjadikan ia berwarna merah. Aau menggunakan suara merdu beliau memulihkan semula kristal kepada warna semula jadi.
Kesimpulan
Star Wars: Vision Volume 2 memberikan pengalaman menonton yang lebih memuaskan. Ini adalah musim kegemaran aku setakat ini. Aku sukakan setiap rekaan animasi yang unik dan menarik pada setiap episod, aku juga suka banyak studio ingin mempertontonkan aksi pertempuran Lightsaber masing-masing dan aku suka setiap penceritaan yang disampaikan menyentuh jiwa, seronok dan memberikan perasaan rasa ingin lagi.
Star Wars: Vision Volume 2 akan tiba di Disney+ Hotstar Malaysia bermula esok 4 Mei 2023. May the force be with you.