Skip to main content

Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz Media akan berkongsi apa yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Foundation – Apple TV+

Akhirnya siri adaptasi Foundation dari buku Isaac Isimov ini boleh ditonton. Ketika diumumkan tahun lalu ia yang paling mendapat perhatian kerana kombinasi sebuah siri buku fiksyen sains yang ternama dan mempunyai showrunner yang sebelum ini menerbitkan siri Terminator : Sarah Connor Chronicle dan Snowpiercer. Dibantu pula oleh lakon layar David S Goyer yang terlibat dalam siri filem Blade yang menyebabkan Marvel Cinematic Universe wujud serta trilogi Batman oleh Christopher Nolan. Jelas sekali harapan untuk Foundation menjadi Game of Thrones untuk Apple TV+ adalah lebih tinggi daripada puncak Olympus Mons di Marikh.

Tiga episod sudah boleh ditonton setakat ini dengan 10 episod kesemuanya untuk musim pertama. So far so good. Foundation mempunyai production value yang amat tinggi sehingga tidak melampau untuk aku katakan ia adalah siri TV fiksyen sains yang paling cantik pernah dihasilkan setakat ini. Dengan mudah sekali memintas Lost In Space, Star Wars Discovery dan For All Mankind. Setiap bingkai gambar Foundation boleh ditangkap layar sebelum dicetak untuk dijadikan poster perhiasan di ruang tamu. Bagi mereka yang mementingkan estetik, ini ialah siri yang boleh digunakan untuk menunjukkan menguji kemampuan skrin TV QLED 4K 75″ yang mungkin dimiliki.

Aku tak ada TV QLED tetapi pada skrin TV 4K LED 65″ yang digunakan sekarang ia membuatkan retina aku terbakar lebih-lebih lagi jika mod Dolby Vision diaktifkan. Visual Foundation sangatlah cantik sehingga ditonton dengan TV dibisukanpun sekalipun ia masih lagi tidak membosankan. Babak awal watak utama Gaal Dornick tiba ke planet Trantor misalnya membuatkan kami tersenyum sama seperti kali pertama Coruscant diperlihatkan dalam filem The Phantom Manace.

Tetapi ini Apa Kami Tonton. Estetik sahaja bukan alasan yang cukup mantap untuk sesebuah siri atau filem disarankan kepada anda. Sekiranya tidak setiap minggu aku sarankan filem Tarsem Singh (The Promise dan Immortals misalnya wajib digunakan untuk mencuci mata). Baiklah Foundation menggabungkan plot yang menarik, worldbuilding yang tidak membosankan dan barisan pelakon yang mantap belaka.

Kita berada 12,000 ribu tahun di masa hadapan dan manusia kini hidup di bawah Galactic Empire. Bertrilion penduduk empayar duduk di bawah pemerintahan King Cleon (Lee Pace) yang diklon untuk memerintah selama-lamanya. Apabila King Cleon mati, versi beliau yang dewasa akan mengambil alih dengan klon yang lebih muda dibesarkan pula di dalam tangki oleh robot.

Dunia yang aman damai ini bergolak selepas Hari Seldon (Jared Harris) meramalkan Galactic Empire akan hancur musnah dengan zaman gelap akan berterusan selama 30,000 tahun. Ramalan diperolehi selepas menyelesaikan teorem matematik yang sukar difahami. Bagi mengelakkan ilmu yang dikumpul oleh manusia dan kesemua kehidupan di cakerawala dan terhapus, beliau menyarankan pembentukan Foundation sebagai tempat simpanan yang boleh digunakan untuk membina semula dunia selepas kemusnahan.

Adakah Foundation dapat dibentuk? Apakah cabaran yang akan berlaku untuk menyelamatkan ilmu duniawi? Siri ini aku akui sedikit berat kerana mana ada siri fiksyen sains yang ringan. Perbincangan mengenai sistem nombor apa yang perlu dipakai sebagai asas dan apa yang perlu diselamatkan terlebih dahulu adalah menarik. Worldbuilding sedikit berat dan kompleks tetapi dipermudahkan oleh lakonan Jared Harris dan Lee Pace yang setakat ini tidak pernah mengecewakan. Bagi mereka yang inginkan siri yang lebih serebral, Foundation ialah siri yang boleh ditonton sekarang di Apple TV+.

Izzat – Editor, Aksiz

Trilogi The Matrix – Netflix

Saya adalah salah seorang yang boleh dikatakan sebagai “one of those guy” yang tidak pernah menonton mana-mana filem The Matrix, saya sudah berhajat sekian lama tetapi ia tidak pernah menjadi realiti, sehinggalah minggu ini apabila saya mengambil pil merah dan menontonnya di Netflix.

Walaupun masih tersekat di rumah, dan mempunyai lebihan masa kerana tidak perlu untuk pergi dan balik dari pejabat akan tetapi saya masih lagi mendapati sukar untuk fokus menonton sesuatu filem. Sebelum-sebelum ini, satu filem 2 jam, saya memerlukan 3-4 hari untuk menghabiskannya.

Berbeza dengan The Matrix, di mana saya mengambil masa 3 hari sahaja untuk menonton 3 filem yang setiapnya melebihi 2 jam. Bagi anda yang juga “one of those guy”, 3 filem yang saya maksudkan adalah The Matrix yang dikeluarkan pada tahun 1999, The Matrix Reloaded dan The Matrix Revolutions yang dikeluarkan pada tahun 2003.

The Matrix adalah satu nama yang dikenali ramai, tetapi semasa saya masih ‘muda’, saya hanya mengetahui mengenainya kerana aksi yang diperlihatkan, mengelak peluru dengan kamera 360 darjah, ia adalah sesuatu yang cool pada waktu itu, dan saya boleh katakan walaupun saya menonton filem ini pada tahun 2021, ia masih tampak cool.

Namun, perkara sebenar yang membuatkan saya tertarik dengan filem ini adalah premis penceritaan dan bagaiman setiapnya disampaikan. Filem pertama bagi saya adalah filem terbaik dengan setiap dialog, setiap interaksi dengan watak adalah penting dan dilakukan dengan kemas.

Setiap dialog memfokuskan kepada misteri di sebalik Matrix, simulasi dan kehidupan, menjadikan ia sesuatu yang tidak boleh terlepas, walaupun aksi masih ada, dan ini adalah filem aksi akan tetapi bagi saya ia sekadar hiasan sahaja, penceritaan adalah perkara utama.

Manakala untuk filem kedua Reloaded, ia bagaikan memberi aksi sebagai pemandu utama, dengan penceritaan menjadi sampingan. Ia masih mempunyai penceritaan serta penyampaian yang penting tetapi terasa telah dibayangan dengan aksi yang terlalu banyak.

Bagi filem ketiga pula ia mula mengembalikan magis dari filem pertama, walaupun tidak sebaik tetapi ia satu peningkatan berbanding filem kedua. Sebagai penceritaan yang sepatutnya menjadi “penutup”, ia mempunyai pengakhiran yang memuaskan tetapi membuka pintu kepada yang kita ketahui sekarang sebagai The Matrix Resurrections.

Perkara utama yang menjadikan penceritaan di dalam trilogi The Matrix sangat baik adalah ia rumit, tetapi pada masa sama senang untuk difahami, ini dibantu dengan dialog-dialog yang baik. Tambahan daripada itu, misteri mengenainya juga dilakukan dengan sangat baik.

The Wachowskis berjaya untuk menyampaikan misteri The Matrix dengan baik, adalah kerana mereka menjadikan setiap watak di dalam filem ini sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Neo walaupun watak utama, masih mempunyai persoalan yang sama dengan penonton, ini yang menjadikan apabila misteri tersebut diuraikan, ia memberi impak yang sangat baik.

Setelah selesai menghayati trilogi untuk The Matrix, saya sudah beralih daripada menjadi “one of those guy” yang tidak pernah menonton kepada “one of those guy” yang sangat mengilai siri filem ini. Dengan kata lain, ia adalah satu trilogi yang perlu ditonton oleh semua.

Fahim – Penulis, Amanz/Aksiz

Star Wars: Vision – Disney+

Siri animasi Star Wars 2D bermula daripada tahun 2003 oleh pasukan yang sama di sebalik animasi Samurai Jack – Star Wars: Clone Wars. Disebabkan animasi ini ia dikembangkan menjadi siri animadi 3D dengan judul yang sama dan turut ada siri sampingan Bad Batch. Disney dan Lucasfilm kembali dengan animasi 2D ala anime, iaitu Star Wars: Vision di Disney+ selepas 18 tahun.

Siri animasi Star Wars ini adalah antologi dan memfokuskan apa jadi jika budaya Jepun ada dalam dunia Star Wars. Setiap episod adalah berbeza dan tersendiri, serta mempunyai cerita yang unik yang memuaskan. Setiap episod hanya mempunyai durasi sekitar 10 ke 15 minit sahaja kecuali dalam dua episod yang ada durasi 20 minit begitu. Studio yang terlibat adalah seperti berikut;

  1. Kamikaze Douga
    • The Duel
  2. Geno Studio (Twin Engine)
    • Lop and Ochō
  3. Studio Colorido (Twin Engine)
    • Tatooine Rhapsody
  4. Trigger 
    • The Twins
    • The Elder
  5. Kinema Citrus
    • The Village Bride
  6. Science Saru
    • Akakiri
    • ST0-B1
  7. Production IG
    • The Ninth Jedi

Star Wars: Vision adalah animasi antologi yang penuh dengan aksi. Walaupun ada yang sedikit perlahan dan seakan bosan, tetapi setiap episod tetap akan ada satu klimaks yang menjadikan ia seronok dan puas. Rekaan animasi, bentuk, pergerakan, sinematografi dan audio semuanya adalah cukup unik dan memberikan satu pengalaman menonton Star Wars yang lain daripada lain.

Ada juga episod yang memberi harapan seakan ia ada kaitan dengan filem-filem Star Wars yang tersedia. Tetapi sayang sekali ia tidak – walaupun ada satu episod itu seakan olahan semula kepada satu filem terkini Star Wars.

Episod dengan aksi perlawanan Light Saber juga mendebarkan kerana ia mempunyai nilai cerita yang penuh emosi, penceritaan yang rasa amat berlainan. Suara juga jika tonton yang asli, iaitu Jepun akan mempunyai perasaan seakan tonton anime – malangnya walaupun untuk alih-suara bahasa Inggeris daripada pelakon hebat ia masih ada rasa aneh secara majoritinya.

Adalah beberapa episod yang sukar untuk saya terima, itu pun kerana ia aneh seperti yang mempunyai elemen J-Pop dan perwatakan yang terlampau comel. Secara keseluruhan ia adalah sesuatu yang baru dan patut cuba ditonton oleh semua orang dan bukan sahaja kepada peminat Star Wars.

Artikel Lepas Untuk – Apa Kami Tonton Minggu Ini

Leave a Reply