Ulasan Guardians Of The Galaxy Vol. 3

Filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 adalah filem James Gunn terakhir untuk Marvel Cinematic Universe. Gunn kini akan berkhidmat untuk Warner Bros. Discovery untuk menjayakan DC Universe. Selepas sekian lama menanti iaitu 6 tahun sejak Vol. 2 ditayangkan filem ini akhirnya tiba untuk semua orang. Filem in juga akan menjadi penutup kepada trilogi Guardians of the Galaxy.

Banyak sudah berlaku sejak filem kedua di tayangkan. Dunia MCU yang kita kenal sudah tidak sama kerana sudah ada banyak siri TV, pelbagai dunia dan watak baharu diperkenalkan serta MCU kini sudah fasa ke-5.

Gamora yang kita kenal sudah mati dan yang di dalam MCU sekarang adalah versi masa silam. Peter Quill mempelajari yang Mantis adalah adik beliau, Groot entah macam mana kini berbadan sado, Nebula pula sudah dinaiktaraf dan banyak lagi.

Aneh sekali James Gunn memilih Rocket Raccoon sebagai titik fokus filem dan kisah si haiwan ini disampaikan dengan penuh emosi. Siapa sangka filem yang memfokuskan watak haiwan selama 2 jam 30 minit boleh buat aku menangis dan rasa belas kasihan terhadap haiwan rakun?


Apa Kisahnya?

Filem ini mengisahkan pasukan Guardians of the Galaxy kini menetap di Knowhere. Peter Quill masih sedih dan merana kerana kehilangan Gamora, tetapi terpaksa tabah kerana kawan baik beliau Rocket Raccoon dalam bahaya. Filem ini sepenuhnya memfokuskan kepada watak rakun yang boleh bercakap. Di mana akhirnya asal-usul Rocket yang sangat menyentuh jiwa didedahkan kepada orang ramai.

Tidak lupa juga yang filem ada musuh iaitu High Evolutionary yang sadis kerana psiko dan kejam terhadap haiwan dan makhluk yang pada mata beliau tidak sempurna. Beliau anggap diri sebagai “tuhan” kerana mencipta makhluk baharu. Adam Warlock yang menyebabkan situasi pasukan GotG terancam juga adalah hasil projek High Evolutionary.

Baca – Siapakah Adam Warlock Dalam Guardian Of The Galaxy Vol. 3?

Filem ini seperti biasa dibintangi oleh Chris Pratt, Zoe Saldana, Dave Bautista, Karen Gillan, Pom
Klementieff, Vin Diesel, Bradley Cooper, Sean Gunn dan turut menyertakan Chukwudi Iwuji, Will Poulter serta Maria Bakalova.

Pengalaman Menonton

Entah kenapa kalau filem James Gunn sahaja aku ada high expactations. Berita gembira aku ingin kongsi kepada pembaca Aksiz, selepas menonton filem ini tadi aku rasa puas hati. Filem ini menutup francais Guardians of the Galaxy dengan sangat baik. James Gunn telah lakukan sebaiknya sebagai projek terakhir beliau untuk MCU. Aku yakin orang lain yang tonton filem ini akan setuju dengan kata-kata aku. Rakan-rakan media yang keluar dewan sama dengan aku tadi pun semuanya gembira dan rasa lega terhadap filem ini.

Aku terkejut yang James Gunn boleh buat aku rasa simpati, kesian, sedih dan menangis terhadap seekor rakun. Filem ini adalah filem yang bermain dengan emosi. Baik kisah cinta mendukakan antara Peter Quill dan Gamora, kisah persahabatan Drax dan Mantis, bagaimana semua ahli Guardians of the Galaxy mengubah jiwa Nebula, Goot si kayu yang walaupun hanya menyebut I Am Goot semua orang boleh faham apa yang cuba disampaikan serta kisah watak sampingan yang menutup perjalanan Guradians of the Galaxy James Gunn yang cukup baik.

Dalam kisah yang menyentuh jiwa ini pasukan adiwira ini turut perlu melali cabaran yang mengejutkan iaitu kemunculan Adam Warlock. Sekali lagi satu kaedah terbaik untuk watak baharu diperkenalkan dalam MCU. Tidak perlu panjang lebar dan meleret pun aku boleh faham apa kaitan Adam Warlock dengan Sovereign dan apakah kaitan beliau dengan Ayesha yang muncul dalam Guardians of the Galaxy Vol. 2.

Pada masa yang sama kisah mereka ini turut menyempurnakan latar belakang antagonis paling ganas, dahsyat dan mengerikan dalam filem ini iaitu High Evolutionary disampaikan. Watak ini memang menggerunkan dan James Gunn yang memilih Chukwudi Iwuji menjadi watak ini adalah satu pilihan bijak. Iwuji membawa watak ini dengan penuh semangat, emosi dan berjaya membuat aku rasa takut dengan makhluk seperti ini jika bersemuka di dunia nyata.

Guardians of the Galaxy Vol. 3 adalah filem MCU terbaik pernah aku tonton selepas sekian lama tidak dapat menikmati filem MCU yang memuaskan. Kualiti produksi filem ini juga hebat sekali dengan elemen CGI semuanya realisitik, pergerakan kamera yang bagus, suntingan yang mantap dan koreografi aksi yang rancak, hebat serta pasti akan buat anda terbayang anda adalah watak utama dalam filem yang melakukan aksi tersebut. James Gunn turut menggabungkan kesan khas praktikal yang menjadikan pengalaman menonton filem ini lebih menarik. Filem ini adalah filem wajib tonton dalam dewan IMAX.

Bukan filem Guardians of the Galaxy kalau tidak mempunyai runut bunyi yang enak, merdu dan sentiasa sesuai dengan setiap adegan. Kali ini ia adalah Guardians of the Galaxy Vol. 3: Awesome Mix Vol. 3 yang telah pun dikongsi kepada umum senarai main penuhnya. Setiap muzik membuat aku lebih khusyuk menonton dan ingin berdiri menyanyi sekali. Antara lagu tersebut adalah Since You Been Gone – Rainbow, In The Meantime – Spacehog serta beberapa muzik dari filem sebelum Come and Get Your Love – Redhead dan Escape (The Pina Colada Song) – Rupert Holmes.

Kesimpulan

Jika anda adalah peminat filem pasukan adiwira dan peminat filem MCU, Guardians of the Galaxy Vol. 3 adalah filem yang anda wajib tonton di pawagam dan jangan terlepas. Jika anda peminat karya James Gunn pengalaman menonton filem anda akan menjadi berkali ganda kerana kita tahu beliau sentiasa inginkan yang terbaik. Apatah lagi ia adalah filem penutup dan terakhir untuk francais GotG dan beliau di Disney dan Marvel.

Semasa menonton air mata aku mengalir untuk beberapa kali kerana ia adalah satu filem yang sangat menyentuh jiwa. Ia adalah filem yang sesuai untuk mengucap selamat tinggal dan juga menyapa “Hai”, masa hadapan watak-watak GotG tidak akan tamat di sini terima kasih kepada Gunn yang telah membina dunia GotG dengan baik sekali.

Filem ini akan ditayangkan pada 4 Mei ini. Sementara tayangan awal adalah bermula esok 3 Mei. Jika anda tonton filem ini esok, jangan lupa ada dua adegan tambahan iaitu di pertengahan kredit dan di pasca-kredit. Sediakan tisu untuk menonton jika anda tidak ingin rosakkan baju baharu yang anda beli untuk raya hari itu.

Ulasan Guardians of the Galaxy Vol. 3
Tayangan bermula 3 Mei
Filem terakhir Guardians of the Galaxy James Gunn ini membawa penonton ke kisah mendukakan mengenai Rocket Raccoon. Filem ini akan menyentuh hati dan membuatkan air mata mengalir. Ia turut menyertakan musuh yang mengerikan. Filem ini padat dengan aksi, drama hebat, perkembangan watak yang baik, komedi menggelikan hati dan pasti sukar untuk melupakannya.
Positif
Gabungan kesan visual praktikal dan komputer yang gempak.
Kisah menyentuh hati yang sangat menjadi.
Penyampaian cerita yang sangat baik bagi sebuah penutup.
Negatif
Perlukan pertempuran bersama musuh yang lebih lama.
9

Sohor Kini