Aku sudah lama tidak menonton filem bertemakan tentera, peperangan dan yang seangkatan dengannya. Malah filem Netflix All Quiet on the Western Front yang menerima maklum balas sangat baik pun aku masih tidak tonton kerana tidak ada rasa ingin tonton filem sebegini sehinggalah dijemput untuk menonton filem The Covenant.
Filem ini adalah filem oleh Guy Ritchie dengan Ivan Atkinson yang memfokuskan kepada emosi dan seorang bekas askar yang terhutang budi dengan jurubahasa Afghanistan. Filem ini turut memperlihatkan bagaimana seorang askar Amerika sanggup berkorban nyawa demi seorang jurubahasa.
Berbeza dengan filem Operation Fortune: Ruse de Guerre yang merupakan filem aksi komedi, The Covenant lebih ke arah serius dan ia adalah filem terbaik Ritchie yang pernah aku tonton setakat ini.
Filem ini mengisahkan John Kinley lakonan Jake Gyllenhaal seorang sarjan askar Amerika Syarikat ketika peperangan Afghanistan dengan jurubahasa Ahmed lakonan Dar Salim. Ahmed bersetuju membantu Kinley kerana ingin membalas dendam kepada Taliban yang membunuh anak beliau.
Dalam satu misi, mereka terperangkap dan menyebabkan Kinley cedera parah. Ahmed kemudiannya berkorban nyawa cuba menyelamatkan Kinley dan menyembunyikan beliau daripada Taliban. Pelbagai cabaran ditempuhi sambil menantikan pasukan penyelamat menyelamatkan Kinley.
Apabila sudah diselamatkan, Kinley yang kini tiba di Amerika Syarikat mendapati yang Ahmed kini diburu oleh Taliban. Kinley yang tidak berjaya mendapatkan bantuan tentera Amerika kemudiannya mengupah tentera upahan atas usaha sendiri menyelamatkan insan yang telah berkorban nyawa demi beliau.
Filem ini bukan untuk semua orang. Ini kerana penyampaian cerita dalam filem ini agak perlahan. Tetapi untuk aku The Covenant memberikan pengalaman menonton yang sangat memuaskan. Filem ini juga merupakan satu filem bertemakan tentera dan peperangan pertama Ritchie tetapi dengan pengalaman beliau dalam filem aksi, filem ini dihasilkan dengan cukup baik.
The Covenant turut memperlihatkan betapa dahsyatnya askar-askar Taliban yang tiada belas kasihan serta betapa ngeri dan menyeramkan peperangan Afghanistan sambil mempertontonkan elemen politik Amerika. Filem ini memberikan aku adrenalin sambil menantikan apakah nasib Kinley dan juga Ahmed. Ritchie dan Ivan Atkinson berjaya membawakan pengalaman menonton yang penuh emosi.
Turut menjadikan filem ini memuaskan adalah prestasi lakonan Gyllenhaal dan Dar Salim yang hebat. Mereka berdua memperlihatkan betapa eratnya persahabatan antara seorang bapa yang ingin membalas dendam dan seorang askar yang setia akan hubungan ini. Masing-masing membawakan watak yang realistik seakan satu filem kisah benar. Tidak lupa juga kepada aksi hebat yang mendebarkan antara tentera Amerika dan Taliban.
Filem ini pada sesetengah orang akan nampak seakan filem peperangan biasa tetapi sebenarnya Ritchie telah memuatkan banyak kejutan. Ada beberapa adegan yang aku ramalkan salah kerana aku sendiri terkejut apa yang berlaku dalam setiap adegan. Jika filem ini tidak menyertakan nama Gut Ritchie pada judul, kredit sebagai pengarah, penulis dan penerbit aku pasti tidak akan tahu ini adalah filem beliau.
Ini kerana Ritchie terkenal dengan menghasilkan filem dengan format dan konsep lebih kurang sama, Tetapi dalam filem ini beliau meninggalkan segala konsep yang semua orang kenal dan memberikan satu pengalaman menonton yang pasti akan membuatkan anda ingin terus tonton filem lain dengan tema yang sama.
Filem ini mempunyai durasi 2 jam 3 minit dan ketika menonton aku kerap melihat jam. Penyampaian cerita filem ini agak perlahan tetapi mendebarkan. Mereka yang tidak meminati filem seperti ini pasti akan rasa mengantuk. Tetapi jika anda sukakan filem Saving Private Ryan atau Dunkirk filem ini mungkin sesuai untuk anda. Anda mungkin akan nampak filem ini biasa sahaja tetapi yang menjadikan filem ini menarik adalah prestasi lakonan Jake Gyllenhaal dan Dar Salim.
Antony Starr iaitu pelakon Homelander dalam The Boys turut membintangi filem ini. Percayalah aku tidak perasan watak Eddie Parker itu adalah beliau sehingga nampak nama di kredit. Walaupun adegan beliau pendek, penglibatan Eddie dalam filem ini menambahkan lagi rasa suspens dan risau akan nasib Kinley serta Ahmed.
The Covenant adalah satu lagi filem peperangan yang tiba ke pawagam Malaysia. Anda mungkin tidak akan dapat pengalaman menonton sehebat Dukirk atau All Quiet on the Western Front tetapi jika anda adalah peminat setiap kepada filem bertemakan askar, peperangan dan yang serupa dengannya filem ini adalah sebuah filem yang baik.
Banyak yang nampak klise ada lagi kejutan di sebaliknya. Walaupun penceritaan perlahan, aku masih sukakan filem. Tanpa Dar Salim dan Jake Gyllenhaal filem ini mungkin tidak akan menjadi. Persahabatan mereka yang sanggup berkorban nyawa antara satu sama lain membuatkan mereka nampak seakan kawan baik atau adik beradik sedangkan mereka hanyalah dua orang asing.
Jika anda ingin tonton filem yang mendebarkan dan memberi adrenalin ketika menonton ini adalah filem untuk anda. Filem ini akan ditayangkan pada 27 April nanti dan aku sangat menggalakkan peminat filem Guy Ritchie dan filem-filem ketenteraan pergi menontonnya.