Guy Ritchie adalah antara pencipta filem yang berbakat. Filem yang telah beliau hasilkan adalah seperti Sherlock Holmes (lakonan Robert Downey Jr.), The Man From UNCLE, The Gentlemen dan banyak lagi. Filem beliau yang aku paling minat adalah The Gentlemen dan terkini beliau hadir dengan filem Operation Fortune: Ruse de Guerre.
Filem ini adalah filem aksi komedi dengan penceritaan yang ringkas. Penyampaian kisah filem ini adalah secara terus tetapi caranya bijak. Komedi dalam filem ini juga ringan dan tidak terlampau berat. Apa yang berlaku dalam filem ini sebenarnya klise, tetapi Guy Ritchie mampu membuat aku dan aku yakin ramai penonton lain akan tonton dengan khusyuk.
Apa Kisahnya?
Filem hanyalah sebuah kisah mengenai pengganas yang telah merompak sejenis senjata yang digelar The Handle bernilai lebih $10 bilion. Jadi kerajaan telah memilih Nathan untuk mengendalikan operasi mendapatkan semula The Handle dari penyeludup senjata terkenal Greg Simmons. Untuk itu, Nathan merekrut Orson Fortune, Sarah Fidel, JJ Davies dan juga seorang pelakon Hollywood Danny Frencesco.
Dalam misi mendapatkan semula senjata ini, mereka perlu bersaing dengan kumpulan lain yang turut ingin mendapatkannya. Kumpulan ini diketuai oleh Mike, kawan tapi lawan kepada Orson dan Nathan sambil perlu bersemuka dengan beberapa gangster Ukrain.
Orson Fortune dilakonkan oleh Jason Statham, Sarah Fidel pula oleh Aubrey Plaza, JJ Davies dilakonkan oleh Bugsy Malone, Josh Hartnett menjadi pelakon Hollywood terkenal Danny Francesco, Nathan Jasmine pula dimainkan oleh Cary Elwes, Greg Simmons pula adalah dilakonkan oleh Hugh Grant dan Mike adalah Peter Ferdinando.
Pengalaman Menonton
Seperti yang aku katakan tadi, filem ini ringkas sahaja. Tetapi cara penyampaian adalah gaya Guy Ritchie. Bagi yang tiak mengenali beliau, dalam artikel ini aku beritahu terus yang Ritchie suka sampaikan cerita yang meleret untuk benda ringkas.
Dalam kes filem Operation Fortune: Ruse de Guerre, walaupun penceritaan agak meleret penyampaian adalah bijak. Sepanjang menonton aku tidak rasa bosan atau penat. Malah aku terhibur dan dapat tonton dengan penuh khusyuk. Di dalam pawagam tadi pun, ramai yang ketawa atas lawak jenaka yang berlaku dalam filem ini.
Filem ini terus bermula dengan senjata The Handle dirompak oleh gangster Ukrain. Tanpa membuang masa, Nathan terus muncul merekrut Orson Fortune. Seorang demi seorang direkrut untuk menjayakan misi “Operation Fortune” ini. Apa yang menjadikan filem ini meleret adalah setiap aksi yang ingin dilakukan dirancang satu demi satu dan penonton dapat menyaksikannya. Sejurus selepas itu setiap rancangan tadi terus dilakukan dengan lancar. Jika ada halangan, bermulalah aksi menarik yang hebat dan yang semua kenal apa Jason Statham boleh lakukan.
Apa yang menjayakan filem ini adalah elemen komedi dan skrip yang ditulis. Walaupun aku kata filem ini agak klise kerana boleh agak apa hero dan musuh akan lakukan di adegan seterusnya, tetapi apabila ada pengarah yang berbakat dan tahu untuk letak pelakon di mana semuanya akan menjadi.
Prestasi setiap pelakon juga hebat belaka. Misalnya Jason Statham, beliau adalah seperti mana kalau Dwayne Johnson berlakon. Semua akan kenal dan tahu apa dia boleh lakukan. Aubrey Plaza juga berseri dalam filem ini sebagai seorang perisik yang pakar dalam komunikasi dan godaman. Prestasi beliau sebagai seorang protagonis dibawakan dengan sangat baik membuatkan aku yakin dengan beliau dalam siri Agatha: Coven of Chaos nanti.
Sesetengah orang mungkin akan katakan yang filem ini ada sedikit persamaan dengan Mission Impossible. Aku setuju, tetapi apa yang membezakannya adalah Operation Fortune memberi peluang kepada watak sampingan untuk lebih menyerlah dan mempunyai masa skrin lebih kurang sama rata dengan pelakon utama. Watak ini adalah Nathan dan JJ Davies. Nathan lakonan Cary Elwes adalah apa yang orang kata seorang watak yang bersahaja, sementara JJ adalah perisik yang ada bakat dalam semua bahagian tidak kira senjata, komputer dan banyak lagi. Dua watak ini menjadikan filem lebih meriah dan seronok untuk ditonton.
Aku tidak tahu jika anda semua kenal Hugh Grtant ataupun tidak, tetapi watak beliau iaitu Greg Simmons sentiasa membuatkan aku tergelak. Dari gaya percakapan, tindakan yang beliau lakukan semuanya menghiburkan. Secara tidak langsung beliau berjaya membawakan watak seorang antagonis yang menggerunkan tetapi masih lucu.
Filem ini turut mempunyai keunikan tersendiri, kerana biasanya filem perisikan, rompakan dan yang seumpama dengannya hanya melibatkan orang yang benar-benar minat, sudah bekerja dalam bidang perisikan atau tentera. Tetapi filem ini merekrut seorang pelakon Hollywood iaitu Danny Francesco lakonan Josh Hartnett. Beliau adalah selebriti yang sangat popular dalam filem dan dipaksa menjadi salah seorang ahli untuk menjayakan misi ini. Danny adalah satu lagi watak menarik yang pasti akan buat semua penonton terhibur dan akan rasakan wang yang membeli tiket wayang tidak membazir.
Operation Fortune: Ruse de Guerre adalahj filem yang tidak banyak melibatkan CGI berat. Bajet filem juga adalah $50 juta sahaja, di mana biasanya filem Hollywood dengan ramai pelakon hebat memakan kos ratusan juta. Penggunaan kamera dan suntingan dalam filem ini semuanya baik sekali.
Filem ini LPF memberi rating untuk tontonan mereka yang berusia 16 tahun ke atas kerana banyak menggunakan bahasa kesat. Agak mengejutkan filem ini tidak banyak ditapis atau dipotong.
Kesimpulan
Operation Fortune: Ruse de Guerre sudah pun ditayangkan di Malaysia bermula hari ini. Filem ini adalah sebuah filem yang diedarkan oleh TGV Pictures. Bagi mereka yang mengenali Guy Ritchie, filem ini bukanlah filem terbaik beliau tetapi jika ditonton di pawagam anda pasti akan terhibur. Ini adalah contoh filem aksi komedi yang baik, kerana semuanya seimbang dan tidak ada yang melampaui batas. Aku galakkan anda semua tonton filem ini di pawagam.