Filem Monsterverse Seterusnya Mungkin Adalah Filem Prekuel

Kali terakhir kita saksikan filem Monsterverse adalah pada tahun lepas, iaitu Godzilla vs Kong. Di mana dua raksasa ini bertempur dan turut terpaksa berhadapan dengan Mechagodzilla ciptaan Apex Cybernetics iaitu organisasi anti-titan yang kononnya ingin mengembalikan hak dan keselamatan manusia.

Monsterverse akan diteruskan dengan siri sampingan di Apple TV+, menceritakan kisah satu keluarga yang cuba meneruskan kehidupan sambil merungkai rahsia di sebalik Monarch yang dikatakan melakukan sesuatu yang kejam.

Terkini Murphy’s Universe melaporkan yang akan terdapat satu filem baharu Monsterverse dalam proses penggambaran. Filem ini dilihat akan kekal diarahkan oleh Adam Wingard dengan Ben Seresin kekal sebagai pengarah sinematografi. Masih tiada butiran mengenai filem ini, tetapi di set penggambaran terdapat imej papan pengetap dengan teks Origins memberi petanda ia adalah sebuah filem asal-usul.

Ia mungkin adalah filem asal-usul untuk raksasa baharu atau boleh jadi juga sebuah filem prekuel. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai filem ini nanti.

Baca: Ulasan Godzilla vs Kong – Benda Boleh Gaduh

Sohor Kini