Selepas sesi percubaan sebelum ini, YES 5G telah melancarkan secara rasmi perkhidmatan NVIDIA GeForce Now di Malaysia dan anda tidak lagi memerlukan akaun YES untuk menggunakannya tetapi dengan harga langganan yang lebih mahal.

GeForce Now ditawarkan dengan dua pilihan langganan iaitu tahunan dan juga bulanan, dan mempunyai dua harga berbeza bagi pengguna YES dan juga bukan pengguna YES.

Bagi pengguna YES, harga langganan adalah RM30 sebulan atau RM300 setahun, manakala untuk bukan pengguna YES harga langganan adalah RM50 sebulan atau RM500 setahun dengan perbezaan harga RM20 sebulan.

Pengguna mempunyai satu jenis akaun langganan sahaja yang menyertakan 6 jam setiap sesi, sokongan RTX dan juga diberikan keutamaan yang lebih tinggi untuk menggunakan perkhidmatan ini.

Jika dibandingkan dengan tawaran oleh GameHub di Singapura, pakej ini adalah seperti Premium Pro yang ditawarkan dengan harga $14.99 (~RM50).

Bagi yang ingin melanggan perkhidmatan ini, harus diketahui yang GeForce Now tidak menyediakan permainan bersama dengan langganan, perkhidmatan ini hanya membolehkan anda untuk bermain permainan yang anda sudah miliki di Steam, Epic Games Store ataupun Uplay secara penstriman.

Tambahan pada itu, tidak kesemua permainan boleh dimainkan menggunakan perkhidmatan ini. Oleh itu, ada lebih baik untuk anda memuat turun terlebih dahulu aplikasi GeForce Now ataupun layari secara terus melalui pelayar dan lihat senarai permainan yang boleh dimainkan.

Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai GeForce Now melalui pautan ini.

Sohor Kini