Skip to main content

Sudah jarang menonton siri TV Jepun. Di Netflix yang aku tonton hanyalah Alice in Borderland. Tetapi baru-baru ini, aku cuba menonton J-drama baharu di Disney+ Hotstar – Gannibal. Aku rasakan ini adalah siri TV ngeri yang menarik dan memberikan aku pengalaman menonton yang memuaskan. Ia nampak seakan klise dan aku mula meramal itu dan ini, tetapi akhirnya aku salah kerana penyampaian cerita Gannibal yang memuaskan.

Aku tidak mengenali pun mana-mana pelakon dalam siri ini. Apa yang aku tahu, ia adalah adaptasi dari sebuah manga. Dengan menonton siri ini, aku lebih semangat untuk menonton kandungan Jepun lain dengan genre ngeri, seram atau misteri kerana ingin tahu corak penceritaan drama-drama Jepun.

Aku mula menonton Gannibal apabila sudah ada enam episod, kerana aku sangka itu jumlah episod bagi siri ini. Tetapi selepas maratonton kesemuanya aku menjadi gelabah untuk tahu bagaimana siri ini akan berakhir, kerana Gannibal mempunyai tujuh episod. Jadi adakah anda patut tonton siri ini atau langkau?


Plot Gannibal

Seperti judul, anda mungkin sudah boleh agak apakah kisah siri ini? Jika anda fikir mengenai kanibal, anda tidak salah kerana perkara ini adalah elemen paling penting. Tetapi premis cerita adalah mengenai seorang polis bermasalah Agawa Daigo lakonan Yagira Yuwa yang dipindahkan ke kampung fiksyen Jepun, Kuge. Agawa turut menggantikan Kano Osamu polis asal yang ditugaskan di Kuge yang dilaporkan hilang melarikan diri.

Hari demi hari di Kuge, Agawa mula berkenalan dengan keluarga Goto dan menyedari keluarga ini ada banyak rahsia dan mungkin terlibat dalam kehilangan Kano. Bukan itu sahaja, kampung ini juga penuh misteri sehingga beliau mula suspek, kampung ini dipenuhi dengan kanibal.

Pengalaman Menonton

Aku menjadi tidak cukup tidur sejak minggu lepas kerana maratonton Gannibal. Aku hanya maratonton cerita yang sukar untuk aku berhenti kerana mempunyai kisah menarik dan detik cemas yang membuatkan aku tidak boleh duduk diam. Jadi Gannibal adalah salah satu cerita pada aku menarik. Episod terakhir baru sahaja tamat disiarkan semalam, 1 Februari dan cerita ini membuatkan aku semakin marah dengan Goto serta Agawa. Aku mula tonton kesemua 6 episod, di mana tidak rasa penat pun dalam satu duduk tonton dan hanya selesai menonton semalam.

Gannibal turut ada elemen whodunit, misteri pembunuhan kerana walaupun sebagai penonton aku sudah tahu siapa – tetapi penyiasatan yang dilakukan oleh watak menjadikan aku keliru dan turut ingin tonton kerana ingin memahami kebenaran dan hasil penyiasatan. Siri ini nampak ringkas dengan kualiti produksi yang cantik, sedap mata memandang di persekitaran kampung yang penuh dengan tumbuhan hijau, rumah-rumah lama yang nampak memenangkan – tetapi di sebalik keindahan ini ada kegelapan tersembunyi.

Pergerakan kamera, arahan pengarah dan produksi Gannibal adalah bijak. Aku rasakan tidak banyak CGI pun, kerana banyak di dalam siri ini adalah praktikal – memberikan pengalaman menonton seakan drama lama. Disebabkan ia di kampung, teknologi juga kurang dilihat dan semua bergantung kepada komuniti dan kepercayaan kejiranan.

Apa yang membuatkan aku terhibur dengan siri ini adalah prestasi lakonan watak. Agawa oleh Yagira dan Goto Keisuke oleh Kasamatsu Sho adalah dua watak penting yang menjayakan siri ini. Mereka berdua adalah lebih serius berbanding watak lain, dengan kedua-duanya penuh semangat yang sanggup melakukan apa sahaja, boleh menahan sabar, boleh menyimpan rahsia – cuma beza adalah seorang mempunyai perasaan dan seorang lagi seakan tiada perasaan dan jiwa kental.

Elemen ngeri dalam Gannibal juga baik, kerana ia tidak terlampau ngeri. Aku tidak setuju dengan cara ini, kerana aku lebih suka segala organ terdedah dan melibatkan banyak darah dan pembunuhan ngeri. Tetapi, aku perlu terima kerana pengarah dan penulis Katayama Shinzo dan Oe Takamasa ada menyatakan walaupun Gannibal adalah siri psiko-ngeri ia masih sesuai untuk ditonton bersama keluarga menjadikannya sebuah siri seram yang “ringan”.

Aktiviti kanibal dalam Gannibal, turut melibatkan kultus yang mana di sini mula nampak klise – tetapi dengan penulisan yang baik dan penyampaian skrip mantap oleh pelakon yang hebat, siri ini boleh dikatakan mampu memberikan pengalaman menonton yang cukup mendebarkan.

Cuma satu sahaja aku paling benci dengan Gannibal, siri ini tamat dengan episod ketujuh yang tergantung yang mengejutkan. Pencipta cuba memancing yang siri ini akan diteruskan dengan musim kedua, yang mana aku berharap sangat akan diteruskan. Tiada sebab untuk mereka terus tamatkan Gannibal.

Kesimpulan

Untuk mereka yang sukakan cerita misteri pembunuhan, elemen kultus, kanibal, ngeri dan psiko, Gannbial ini adalah untuk anda. Tidak perlu harapkan cerita ini adalah yang paling baik dan terbaik untuk anda, tetapi untuk sebuah kisah ngeri yang tidak begitu ngeri – seimbang antara semua aku yakin cerita yang cuba disampaikan oleh penulis dan pengarah siri ini akan memuaskan hati anda.

Turut sebagai peringatan, untuk jangan bandingkan siri ini dengan Hannibal. Ya benar, tajuk lebih kurang sama hanya beza satu abjad sebelum sahaja. Hannibal pada aku mempunyai cerita yang lebih menarik dan mendalam. Sementara Gannibal lebih ringan dan ke arah yang berbeza walaupun ada elemen kanibal. Ini adalah kisah ketiga kanibal aku tonton sejak tahun lepas, selepas Bones and All serta filem Fresh (di Disney+ Hotstar). Setakat ini, Fresh pada aku adalah yang terbaik dalam kategori kandungan kanibal fiksyen.

Gannibal Musim 1
Kini di Disney+ Hotstar
Agawa seorang polis bermasalah, dipindahkan ke kampung Kuge dan bertemu dengan keluarga Goto yang penuh misteri. Hari demi hari beliau sedari kampung ini melibatkan diri dengan kultus kanibal. Gannibal mempunyai penceritaan yang mantap, yang ngeri tetapi masih seimbang dengan drama dan penyiasatan. Prestasi lakonan juga cukup memuaskan dan sesuai untuk maratonton kesemua 7 episod.
Positif
Prestasi lakonan yang mantap
Penceritaan yang seimbang antara ngeri, penyiasatan dan drama
Kualiti produksi yang ringkas tetapi sedap mata memandang
Negatif
Episdo akhir yang tergantung
Terlampau banyak watak sehingga sukar ingat yang mana satu
8

Leave a Reply

Final Score