Ulasan Bones And All – Kisah Cinta Kanibal Yang Berakal

Pernah atau tidak terlintas di fikiran anda jika ada di kalangan ahli keluarga anda atau kawan-kawan seorang kanibal? Aku, setakat ini tidak pernah. Tetapi aku sentiasa terbayang, seorang kanibal itu perlu makan yang segar atau tidak kisah dan boleh sahaja makan mayat? Bagaimana jika ada iterasi Beyond Meat atau daging Impossible khusus untuk mereka adakah ia boleh diterima masyarakat umum?

Filem terbaru yang aku saksikan di pawagam adalah Bones And All, sebuah kisah cinta antara dua orang kanibal atau mereka menggelar spesis mereka ini adalah eater. Dalam filem ini mereka memperlihatkan eater wujud di kalangan umum dan dalam keluarga dan perlu makan manusia untuk meneruskan kehidupan. Adakah ia satu filem yang baik? Sayang sekali pada aku, tidak.


Plot Filem

Filem ini diadaptasi daripada novel karya Camille DeAngelis dengan judul yang sama. Ia mengisarkan Maren lakonan Taylor Russell (Escape Room, Lost in Space) dan juga Lee lakonan Timothée Chalamet (Dune, Little Woman) yang jatuh cinta. Mereka berdua adalah kanibal sejak kecil, di mana tidak boleh mengawal nafsu untuk makan daging manusia.

Maren bermula sejak kecil dan isu kanibal ini diketahui bapanya sehingga terpaksa berpindah-randah untuk mengelak daripada polis. Tetapi suatu hari, bapa Maren terpaksa meninggalkan beliau bersendirian kerana tidak sanggup lagi bertanggungjawab. Sementara Lee adalah seorang yang hidup secara bertualang kerana sukar untuk diterima keluarga kecuali adik beliau.

Sepanjang filem ini, ia menceritakan bagaimana Maren bertemu dengan Lee serta bagaimana eater atau kanibal ini meneruskan kehidupan mencari makanan. Adakah sanggup membunuh atau hanya makan yang sudah mati? Sehinggalah suatu hari mereka jatuh cinta.

Filem ini ditulis oleh David Kajganich (Suspiria) dan diarahkan oleh Luca Guadagnino (Suspiria).

Pengalaman Menonton

Aku pada mulanya tidak ingin langsung tonton filem ini. Kerana aku tidak tahu apa-apa mengenainya. Sehinggalah Warner Bros. Malaysia menjemput Aksiz dan aku mula tonton treler. Dalam treler ia memperlihatkan satu kisah cinta yang ganas, ngeri dan nampak unik dengan pelakon Taylor Russell serta Timothée Chalamet yang amat berbakat.

Tetapi sayang sekali, aku terpedaya dengan treler. Filem ini bukan apa yang aku sangkakan dan saat filem ini mula bermain, aku sudah mula tidak sedap hati kerana ia mempunyai vibe yang ia adalah satu filem yang perlahan dan bosan.

Filem ini bukan sebuah filem yang ringkas, sebaliknya ia adalah satu filem dengan penceritaan yang mendalam dengan perkembangan watak yang sangat terperinci. Pada pandangan aku, ia adalah seakan sebuah filem yang bosan dan sangat penat untuk dihadapi. Hakikatnya, ia adalah satu filem drama yang cantik dan penuh dengan emosi mengenai kesengsaraan setiap watak utama. Filem ini dirakam dengan cantik, disunting dengan baik dan memaparkan suasana yang tenang yang menyenangkan hati.

Bones And All turut tidak terhad kepada dua orang eater sahaja dan memperkenalkan beberapa yang lain seperti Sully. Beliau kononnya sudah berpengalaman lama dan mempunyai kemampuan menghidu eater lain pada jarak yang amat jauh. Sully adalah watak misteri yang mencurigakan yang cuba memancing Maren dan sentiasa ada di mana-mana sahaja. Lakonan Mark Rylance adalah mantap dan mengerikan.

Bones And All adalah sebuah filem yang ngeri dan sedih. Ngeri kerana ia mempunyai aksi yang dahsyat, melibatkan darah, mayat dan orang makan orang. Ia juga adalah sebuah filem untuk tontonan orang dewasa dan bukan untuk semua orang. Prestasi lakonan dalam filem ini adalah sangat mantap. Taylor Russell sebagai Maren membawakan watak yang penuh emosi yang meyakinkan, nampak seperti tenang tetapi dalam hati jelas derita. Beliau tidak tahu bagaimana dunia ini berfungsi kerana tiada didikan ibu bapa yang baik dan terpaksa bergantung kepada Lee dan sesiapa sahaja yang mereka temui.

Selepas Maren bertemu dengan Lee, mereka cuba menjadikan sifat kanibal ini dikurangkan dan cuba menjadi orang biasa. Namun amat sukar sehingga mereka mula membunuh, bertemu dengan dua eater lain yang jahat dan berperangai setan. Sepanjang penceritaan Bones And All adalah bagaimana Maren jatuh cinta kepada Lee kerana beliau tiada orang lain dalam hidup yang sepi ini.

Masalah utama dalam filem ini adalah, LPF potong banyak bahagian utama yang menjadikan pengalaman menonton lebih menarik. Ada babak pembunuhan yang sangat dahsyat terus dipotong menjadikan jalan cerita terganggu sehingga aku ingat aku terlelap ketika menonton. Disebabkan adegan ini dipotong, ia menjadikan Bones And All sebuah filem cinta yang sangat perlahan kerana elemen kanibal menjadi tidak jelas.

Kesimpulan

Bones And All adalah sebuah filem cinta yang bukan ditujukan untuk semua orang. Ia cantik dan nampak menarik, tetapi untuk aku ia bukanlah satu filem yang menghiburkan. Dengan jalan cerita terganggu kerana dipotong LPF, penyampaian yang perlahan ia bukanlah satu filem yang baik pada aku. Walau bagaimanapun, mereka yang sukakan penceritaan yang mendalam, luahan perasaan yang penuh emosi dan produksi yang cantik – anda mungkin akan suka filem ini jika tidak kisah dengan penyampaian yang slow burn.

Bones And All akan ditayangkan di Malaysia pada 24 November ini. Jika anda ingin tonton sebuah filem romantik yang berbeza dengan memfokuskan kepada watak kanibal – jemput tonton filem ini nanti.

Bones And All
Tayangan Bermula 24 November
Bones and All adalah sebuah filem romantik yang lain daripada lain. Ia memfokuskan kepada Maren lakonan Taylor Russell dan juga Lee lakonan Timothée Chalamet yang merupakan seorang "eater" iaitu kanibal. Filem ini menceritakan perjalanan hidup masing-masing, bagaimana seorang "eater" boleh hidup dan perkembangan watak yang mendalam. Bones and All bukan untuk semua orang kerana mempunyai penceritaan yang perlahan dan visual yang mengerikan.
Positif
Prestasi lakonan yang mantap oleh Taylor dan Timothée
Konsep penceritaan yang menarik dan unik
Negatif
Penyampaian cerita yang agak perlahan
banyak adegan penting dipotong.
5

Sohor Kini