Apple Mengumumkan Sejumlah Filem Dan Siri TV 2023

Apple hari ini telah kongsi senarai filem dan siri TV mereka yang akan disiarkan pada tahun ini. Dalam artikel ini kami senaraikan apa yang kami rasakan menarik untuk ditonton dan mungkin turut akan mengulas jika diberi peluang. Semua kandungan yang bakal tiba ini adalah eksklusif untuk Apple TV+ yang boleh dilanggan pada harga bermula RM29.90 sebulan.

Baca: Senarai Filem Menarik Sepanjang Tahun 2023

Shrinking

Shrinking mengisahkan seorang doktor terapi yang sedang kesedihan lakonan Jason Segel (Marshall Eriksen, How I Met Your Mother). Beliau mula merawati pesakit dengan melanggar segala etika, peraturan dan hanya mengikut apa yang beliau fikir yang terbaik. Kaedah rawatan ini beliau sedari membantu ramai orang termasuk dengan diri sendiri. Menyertai beliau adalah Harrison Ford, Christa Miller, Jessica Williams, Michael Urie, Luke Tennie dan Lukita Maxwell.

Ia akan disiarkan pada 27 Januari nanti.

Hello Tomorrow

Sebuah siri TV yang berlaku di dunia fiksyen retro-futuristik, mengisahkan sekumpulan jurujual yang diketuai oleh Jack lakonan Crudup. Jack amat berbakat dan boleh menjual apa sahaja termasuk menjual tanah dan tempat tinggal di bulan – tetapi dianiaya oleh pelanggan sendiri.

Hello Tomorrow akan disiarkan di Apple TV+ 17 Februari ini.

The Big Door Prize

Sebuah adaptasi dari novel dengan judul sama karya M.O. Walsh, menceritakan kisah sebuah bandar kecil yang menerima sebuah mesin misteri di sebuah kedai – di mana mesin ini mendedahkan potensi kehidupan seseorang memberikan harapan untuk terus hidup atau berubah. Ia adalah siri komedi 30 minit satu episod untuk sepuluh episod.

Tiada tarikh lagi buat masa ini.

Dear Edward

Juga seuah adaptasi dari novel dengan judul sama, kali ini adalah karya Napolitano. Mengisahkan Edward Adler lakonan O’Brien, remaja 12 tahun yang satu-satunya selamat dari kapal terbang terhempas. Siri ini akan mengisahkan bagaimana beliau mencipta semula hidup seorang diri dengan menemui rakan baharu, jatuh cinta dalam penceritaan penuh emosi.

Dear Edward akan tiba pada 3 Februari ini.

Schmicago

Dua tahun lepas, ada kami ulas siri muzikal komedi Apple TV+ Schmigadoon yang menyertakan pasangan kekasih lakonan Keegan-Michael Key dan Cecily Strong sebagai Josh dan Melissa yang memasuki ke dunia muzikal. Musim kedua, mereka masuk ke Schmicago pula. Jika sebelum ini muzikal era 40-an ke 50-an dengan inspirasi dan parodi kepada teater muzikal Brigadoon, kali ini mereka hadir dengan muzik asli inspirasi era 60-an ke 70-an.

Tiada tarikh lagi buat masa ini.

City on Fire,

Sebuah siri Apple Studios diadaptasi dari novel Garth Risk Hallberg dengan judul sama. Mengisahkan Samantha, seorang pelajar kolej yang menghilangkan diri dari kumpulan muzik kawan beliau dengan jani untuk kembali, tetapi tidak. Apabila disiasat, Samantha adalah suspek dalam kes pembakaran dua bangunan.

Tiada tarikh lagi buat masa ini.

Extrapolations

Meryl Streep, Sienna Miller, Kit Harington, Daveed Diggs, Edward Norton dan ramai lagi terlibat dengan siri ini. Sebuah drama yang berlaku tidak lama di masa hadapan dari sekarang mengenai perubahan iklim yang mengubah hidup semua orang. Sebuah siri antologi lapan episod yang menceritakan kisah cinta, kerja, kepercayaan dan keluarga individu berlainan tetapi berlaku dalam dunia yang sama kerana bencana yang sama.

Akan tiba pada 17 Mac akan datang.

The Afterparty Musim 2

Akhirnya, selepas sekian lama menanti siri misteri pembunuhan komedi a.k.a whodunit The Afterparty akan kembali dengan musim kedua. Ia adalah siri ciptaan oleh salah seorang pencipta filem Spider-Verse. Kali ini mengisahkan satu majlis perkahwinan apabila pengantin lelaki dibunuh dan semua tetamu adalah suspek. Tiffany Haddish, Sam Richardson dan Zoë Cha kembali disertai oleh Elizabeth Perkins, Zach Woods, Paul Walter Hauser, Poppy Liu, Anna Konkle, Jack Whitehall, Vivian Wu, John Cho dan Ken Jeong. 

Siri ini akan tiba 28 April nanti.

Sohor Kini