Ulasan – M3GAN

Seperti biasa, setiap awal tahun baru pasti akan ada filem seram atau filem ngeri ditayangkan. Minggu ini, filem M3GAN akan ditayangkan dan ini adalah artikel ulasan bagi filem ini. Sudah masuk tahun baru ini juga, aku tidak rasa minat terhadap filem ngeri, seram, psiko dan lain-lain yang berkaitan akan pudar. Tetapi aku akan menjadi lebih ingin tahu apa pula pencipta filem ingin tawarkan pada tahun ini.

M3GAN adalah filem pertama James Wan melalui Atomic Monster yang dihasilkan bersama-sama dengan Universal Pictures, Blumhouse dan juga Divide/Conquer (studio yang menghasilkan Freaky). Ia juga adalah permulaan baharu sebelum Blumhouse dan Atomic Monster bergabung.

Filem in diarahkan oleh Gerard Johnstone dengan skrip oleh Akela Cooper (Luke Cage, Malignant) dan James Wan yang juga merupakan penerbit bersama Jason Blum. Ia adalah satu eksperimen baharu selepas menghasilkan Malignant, di mana Wan ingin menawarkan pengalaman menonton filem seram/ngeri berlainan berbeza dengan The Conjuring Universe.

Selepas dua kali menonton filem ini, apa yang aku boleh katakan ia adalah satu filem satira kepada syarikat permainan dan teknologi serta seakan satu episod Black Mirror yang panjang.


Apa Kisahnya?

Dalam filem ini, seorang pakar robotik yang bekerja dengan syarikat permainan Funki iaitu Gemma telah menghasilkan sebuah robot pengasuh yang dikuasakan kecerdasan buatan berkuasa bagi menjaga anak buah beliau Cady yang baru sahaja kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat kemalangan. Tetapi apakan daya, robot pengasuh yang digelar M3GAN (Model 3 Generative Android) ini mula mempunyai kesedaran sendiri dan menjadi lindung lampau (overprotective) terhadap Cady sehingga sanggup membunuh.

Filem ini memfokuskan kepada watak Cady lakonan Violet McGraw, seorang pelakon kanak-kanak yang berbakat. Anda mungkin pernah lihat beliau dalam filem Black Widow dan siri The Haunting of Hill House sebagai Yelena muda dan Nell muda. Ia turut menyertakan Allison Williams sebagai Gemma, Ronny Chieng pelawak berasal Malaysia sebagai David, serta Brian Jordan Alvarez dan Jen Van Epps sebagai Cole dan Tess kawan dan ahli pasukan robotik Gemma.

Turut jangan terkejut kalau aku katakan, robot M3GAN ini dilakonkan oleh dua orang kanak-kanak berbeza iaitu Amie Donald untuk pergerakan, tubuh dan aksi serta Jenna Davis sebagai suara M3GAN.

Pengalaman Menonton

Filem ini mempunyai penceritaan yang ringkas dan ringan. Ia juga adalah filem pembunuhan bersiri dengan rating PG13 dan tidak begitu ganas dengan melibatkan banyak elemen darah atau aksi ngeri. Ia lebih kepada filem sains fiksyen di mana, teknologi kecerdasan buatan yang berpaling tadah kepada si pencipta. Dalam treler, ia memberitahu penonton yang filem ini adalah sebuah filem seram yang lain daripada lain oleh James Wan. Tetapi hakikatnya, dua kali aku tonton dua kali aku tergelak kerana ia adalah filem komedi.

Jika bukan hasrat pencipta filem menjadikan ia satu kisah lucu, ia boleh dikatakan sebuah satira yang mempersendakan syarikat teknologi seperti Tesla dan juga syarikat permainan seperti Hasbro atau Funko.

Apa yang aku saksikan berada di luar jangkaan, walaupun sudah masuk ke panggung dengan harapan yang sangat rendah. Aku tidak akan tipu, filem ini memberikan aku perasaan yang bercampur kerana aku tidak pasti ingin benci atau suka. Aku pun tidak pasti aku tergelak kerana filem ini mengarut atau kerana ia benar-benar lucu? Apa yang dipaparkan dalam M3GAN bukannya sesuatu yang baru, tetapi cara penyampaian yang ringkas dan mudah faham ini membuatkan ramai boleh terima filem ini walaupun ia mempunyai banyak kekurangan. Aku turut terkejut apabila majoriti media dan penonton tayangan eksklusif semalam turut terhibur dan ketawa.

Penglibatan Ronny Chieng turut menjadikan filem ini sukar untuk dipandang serius kerana beliau adalah seorang pelawak. Tetapi, M3GAN dalam filem ini agak hebat. Beliau adalah robot yang tidak dinafikan amat mengerikan dan aku tidak akan berani berdekatan dengan robot seperti ini jika ia benar-benar wujud. Ganas dan ngeri mana pun robot ini, ia turut masih memberikan satu pengalaman menonton yang memuaskan lebih-lebih lagi apabila ada elemen muzikal diselitkan.

M3GAN mungkin tidak akan menjadi filem menarik jika ia adalah robot CGI atau menggunakan animatronik. Ia menjadi kerana suara Jenna Davis yang sesuai sebagai suara AI dan juga pergerakan yang realistik yang dilakukan oleh Amie Donald (Maya Monkey dalam Sweet Tooth). Prestasi lakonan Violet McGraw juga adalah memberangsangkan. McGraw amat hebat dengan memberikan emosi sebagai seorang kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa. Lakonan beliau amat meyakinkan menjadi antara sebab filem ini mungkin boleh ditonton oleh orang ramai.

M3GAN bukannya filem yang sempurna, kerana memang jelas banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan. Ia mempunyai beberapa adegan kosong yang tidak diperlukan pun tidak mengapa. Susunan cerita juga adalah bagus, dan untuk filem yang melibatkan teknologi kecerdasan buatan – tetapi teknologi itu disampaikan melalui penerangan dengan suara latar dan klip-klip video agak mengecewakan. Pada masa sama pencipta filem bijak, kerana jika ada perkara salah penonton yang pakar dalam bidang ini pasti akan kecam.

Kualiti produksi filem juga nampak baik dan tidak banyak penggunaan CGI. Cuma perkara ikonik James Wan masih jelas kelihatan walaupun filem bukan diarahkan oleh beliau. Suasana filem ini ketika adegan ngeri adalah klise dan boleh baca apa yang berlaku seterusnya. Semasa tayangan, ada beberapa bahagian yang jelas dipotong – tetapi tidak pasti jika ia kerana LPF atau kerana filem ini melalui penggambaran semula untuk mengubah dari rating R atau 18 kepada PG13.

Kesimpulan

Untuk filem Hollywood pertama tahun 2023, ia adalah sebuah filem yang boleh diterima. Mungkin bukan yang terbaik, tetapi sekadar mencukupi. Jika anda adalah peminat James Wan dan ingin lihat idea baharu beliau ini adalah filem untuk anda. M3GAN juga sesuai kepada mereka yang menggemari teknologi, sains fiksyen atau yang pernah menonton siri Black Mirror kerana filem ini adalah seakan satu episod panjang sahaja. Aku hanya harapkan yang filem ini boleh dikembangkan menjadi satu francais baharu, sebagai pengganti kepada The Conjuring Universe yang akan tamat tidak lama lagi.

M3GAN akan ditayangkan kepada umum bermula hari ini 5 Januari 2023.

M3GAN
Tayangan Bermula 5 Januari 2023
Gemma mencipta M3GAN iaitu robot pengasuh kanak-kanak dengan AI yang berkuasa untuk menjaga Cady. M3GAN mula mempunyai kesedaran diri dan menjadi lindung lampau kepada Cady sehingga sanggup membunuh. M3GAN adalah filem pembunuhan yang sepatutnya ganas, tetapi diubah agar menjadi PG13. Ia mempunyai konsep penceritaan menarik dan ada potensi, tetapi tidak memberikan pengalaman menonton yang cukup memuaskan.
Positif
Prestasi lakonan Violet McGraw yang mantap.
Idea cerita menarik yang ada potensi menjadi francais.
Negatif
Cerita yang sukar dipandang serius.
Elemen klise James Wan masih kelihatan.
Tidak cukup ngeri dan ganas.
6

Sohor Kini