Blumhouse dan Atomic Monster adalah dua syarikat produksi yang amat terkenal menghasilkan pelbagai jenis filem/siri TV seram. Satu di bawah pengawasan Jason Blum dan satu lagi oleh James Wan.

Deadline baru-baru ini melaporkan, Blumhouse dan Atomic Monster dalam perbincangan untuk bergabung menjadi satu syarikat. Jika gabungan ini berjaya, Atomic Monster akan menerima perjanjian jangka masa panjang bersama Universal Pictures yang kini sedang ditawarkan kepada Blumhouse.

Gabungan ini walau bagaimanapun tidak menjejaskan kreativiti masing-masing kerana Blumhouse dan Atomic Monster masih akan bergerak secara sendiri mengikut idea dan strategi masing-masing. Gabungan ini adalah untuk kedua-dua syarikat menambah hasil produksi yang lebih banyak tidak kira dalam bentuk filem, siri TV, audio, permainan video atau pengalaman siaran langsung.

M3GAN adalah filem seram yang akan ditayangkan pada tahun hadapan, antara kerjasama dua syarikat produksi ini. Blumhouse bagi yang tidak tahu adalah syarikat di sebalik filem Purge, Halloween Ends, Happy Death Day, Split, Ouija, Unfriended, The Exorcist, Sinister, The Black Phone dan banyak lagi. Sementara Atomic Monster dengan filem The Conjuring, Insidious, Saw dan kedua-dua filem Aquaman.