Apple Arcade telah mengumumkan permainan-permainan yang akan disertakan di dalam perkhidmatan tersebut pada bulan ini. Terdapat 4 permainan yang akan disertakan memulakan penawaran bagi tahun 2023.

Permainan pertama adalah Episode XOXO oleh Pocket Gems yang akan disertakan pada hari Jumaat ini. Ia adalah permainan susulan kepada permainan interaktif penceritaan Episode: Choose Your Story. Di peringkat awal ia akan menyertakan lima penceritaan dan akan ditambah lagi dari semasa ke semasa.

Seterusnya, pada 13 Januari 2023, permainan tekaria oleh Border Leap iaitu Illustrated akan disertakan. Ia adalah permainan tekaria dalam bentuk jigsaw dan juga perkataan. Setiap tekaria ini akan mempunyai penceritaan tersendiri.

Game Freak iaitu pencipta siri Pokemon pula akan membawa permainan mereka iaitu Pocket Card Jockey: Ride On pada 20 Januari 2023. Ia adalah permainan baharu untuk Pocket Card Jockey yang sebelum ini dikeluarkan untuk Nintendo 3DS, ia menyertakan tatamain yang menggabungkan lumba kuda dan kad.

Akhir sekali, yang akan dikeluarkan pada 27 Januari 2023 adalah satu lagi permainan tekaria iaitu Squiggle Drop oleh Noodlecake yang merupakan permainan tekarian fizik dan memerlukan pemikiran yang kreatif untuk menyelesaikannya.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM29.90 untuk pelan individu dan RM39.90 untuk pelan keluarga.

Baca: 10 Permainan Menarik Di Apple Arcade (Bahagian 2)

Sohor Kini