Bulan September lepas, acara D23 telah dianjurkan dan pelbagai filem diumumkan yang akan tiba pada tahun 2023 oleh Disney. Hari ini di Disney Content Showcase 2022, mereka berkongsi pelbagai treler dan maklumat mengenai apa yang akan tiba.
The Little Mermaid
Seperti yang kita tahu, Disney sedang mengolah banyak filem animasi klasik kepada filem aksi nyata. Selepas pelbagai filem diolah, kini giliran The Littler Mermaid yang akan menyertakan Halle Bailey berlakon sebagai Ariel, Jacob Tremblay pula sebagai si ikan Flounder, Daveed Diggs sebagai si ketam Sebastian, Melissa McCarthy pula adalah Ursula, Javier Bardem akan menjadi King Triton, dan Jonah Hauer-King pula sebagai Prince Eric.
Di acara hari ini, klip Ariel menyanyi bersama Jacob Tremblay pula sebagai si ikan Flounder diperlihatkan buat pertama kali. Disebabkan ia adalah aksi nyata, Flounder kelihatan agak aneh seperti The Lion King, iaitu haiwan bercakap yang tiada emosi. Tetapi klip menyanyi dalam filem ini nampak sangat menarik.
Haunted Mansion
Filem ini adalah olahan semula, kerana tahun 2003 ia sudah diadaptasi menjadi filem seram komedi dengan Eddie Murphy sebagai pelakon utama. Versi baharu ini mengisahkan seorang doktor bersama anak lelaki beliau (Rosaria Dawson dan Chase Dillon) berpundah ke sebuah rumah agam mampu milik di New Orleans.
Mula menerima gangguan, seorang paderi lakonan Owen Wilson cuba membantu bersama dengan pakar paranormal lakonan LaKeith Stanfield, pakar fizik lakonan Tiffany Haddish dan pakar sejarah lakonan Danny DeVito. Winona Ryder dan Dan Levy juga dikatakan akan terlibat dengan filem ini. Justin Simien akan menjadi pengarah filem.
Treler yang didedahkan agak lucu, dan menggunakan elemen seram yang ringan untuk tontonan bersama keluarga.
Snow White
Filem ini akan menyertakan Rachel Zegler sebagai Snow White dan Gal Gadot sebagai The Evil Queen. Konsep penceritaan besar kemungkinan sama dengan filem animasi asal di mana si permaisuri cemburu dengan Snow White, upah pemburu untuk membunuh beliau, ada epal beracun dan cermin ajaib.
Dalam klip pendek tadi, ia memperlihatkan rekaan Snow White dan The Evil Queen serta epal beracun yang mirip dengan animasi sebelum ini. Tetapi atas isu dengan keadilan bersama orang kerdil sebelum ini, filem ini mungkin tidak akan menyertakan The Seven Dwarfs.
Mufasa
Kami pernah melaporkan mengenai filem ini. Ia adalah prekuel kepada filem “aksi nyata” The Lion King yang diarahkan oleh Barry Jenkins, serta Kelvin Harrison Jr. dan Aaron Pierre sebagai Scar dan Mufasa. Dalam filem ini nama Scar adalah Taka, disebabkan itu juga Chiwetel Ejiofor tidak berlakon sebagai watak ini dan James Earl Jones tidak kembali sebagai Mufasa – kerana mereka berdua masih di usia muda.
Filem ini akan tiba pada tahun 2024. Dalam treler yang dipertontonkan tadi, Mufasa dan Scar seakan dua versi Simba berbeza yang merupakan kawan rapat. Jadi ia mungkin akan memperlihatkan bagaimana mereka menjadi musuh. Turut kelihatan adalah babun Rafiki serta Timon and Pumbaa terlibat dengan filem ini.
Peter Pan And Wendy
Filem animasi klasik Peter Pan ditayangkan pada tahun 1953. Memfokuskan kepada manusia ajaib di Neverland bersama kanak-kanak hilang dan pari-pari Tinker Bell. Kemudian Wendy menziarahi dunia ini kerana dijemput oleh Peter.
Dalam filem Peter Pan and Wendy, ia akan memfokuskan kepada keadilan antara lelaki dan wanita. Ini kerana filem aksi nyata baharu ini, akan memfokuskan kepada Wendy serta menyertakan watak The Lost Girls berbanding sebelum ini kepada Peter dan The Lost Boys.
Pada treler yang dipertontonkan tadi, paling menarik adalah Jude Law sebagai Captain Hook. Tetapi turut diperlihatkan adalah aksi pengembaraan Alexander Molony dan Ever Anderson sebagai Peter dan Wendy, Yara Shahidi sebagai Tinker Bell, Jim Gaffigan sebagai Mr. Smee, Alan Tudyk sebagai George Darling, dan Molly Parker sebagai Mary Darling. Treler nampak seronok dan menarik, tidak sabar untuk ia disiarkan nanti.