The Walt Disney sedang mengadakan acara tahunan mereka di mana mereka menyambut kejayaan, mengumumkan pelbagai filem baharu dan mendedahkan pelbagai informasi menarik – D23.

Berikut adalah apa yang menarik diumumkan;

Hocus Pocus 2

Selepas 30 tahun meninggalkan Salem, adik-beradik ahli sihir Sanderson kembali menghuru-harakan keadaan. Semua ini berpunca kepada tiga wanita yang menyeru mereka secara tidak sengaja.

Bette Midler, Sarah Jessica Parker, dan Kathy Najimy kembali sebagai adik-beradik Sanderson, Doug Jones juga kembali sebagai Billy Butcherson si zombi. Hocus Pocus 2 akan disiarkan di Disney+ pada 30 September.

Disenchanted

Siapa sangka filem Enchanted pun boleh ada sekuel? Selepas 15 tahun, , Giselle, Robert, dan Morgan berpindah ke bandar. Tetapi komuniti tempat tinggal mereka diketuai oleh Mavlina Monroe yang ada niat jahat. Untuk hidup bahagia seperti sebelum, Giselle berhajat – tetapi hidup beliau menjadi terancam bersama-sama dengan Kingdom of Andalasia.

Filem ini akan disiarkan di Disney+ pada 24 November akan datang.

Peter Pan And Wendy

Peter Pan kembali! Kali ini dalam bentuk aksi nyata, di mana filem ini akan beri fokus kepada Peter dan Wendy seakan mempunyai dua cerita. Ia akan bermula dengan Wendy yang ke Neverland, bertemu dengan the lost boys yang mana kini turut mempunyai the lost girls.

Alexander Molony dan Ever Anderson akan berlakon sebagai Peter dan Wendy, Yara Shahidi sebagai Tinker Bell, Jude Law sebagai Captain Hook, Jim Gaffigan sebagai Mr. Smee, Alan Tudyk sebagai George Darling, dan Molly Parker sebagai Mary Darling.

David Lowery iaitu pengarah filem ini mneyatakan dalam satu podsiar, Peter and Weny adalah seakan filem The Revenant dengan kanak-kanak terbang. Filem ini akan disiarkan di Disney+ pada tahun 2023 nanti.

Mufasa: The Lion King

Kami pernah melaporkan mengenai perkara ini. Filem “aksi nyata” The Lion King akan menerima filem kedua. Ketika itu, tiada maklumat jelas mengenai filem ini selain Barry Jenkins sebagai pengarah, Kelvin Harrison Jr. dan Aaron Pierre sebagai Scar dan Mufasa.

Filem ini adalah filem prekuel The Lion King. Dalam filem ini nama Scar adalah Taka, disebabkan itu juga Chiwetel Ejiofor tidak berlakon sebagai watak ini dan James Earl Jones tidak kembali sebagai Mufasa – kerana mereka berdua masih di usia muda.

Filem ini akan tiba pada tahun 2024, sama-sama kita nantikan maklumat lanjut.

The Haunted Mansion

Daripada permainan di taman tema Disneyland, kini ia diadaptasi menjadi filem aksi nyata. Filem seram Disney yang mengisahkan seorang doktor bersama anak lelaki beliau (Rosaria Dawson dan Chase Dillon) berpundah ke sebuah rumah agam mampu milik di New Orleans.

Mula menerima gangguan, seorang paderi lakonan Owen Wilson cuba membantu bersama dengan pakar paranormal lakonan LaKeith Stanfield, pakar fizik lakonan Tiffany Haddish dan pakar sejarah lakonan Danny DeVito. Winona Ryder dan Dan Levy juga dikatakan akan terlibat dengan filem ini. Justin Simien akan menjadi pengarah filem.

Filem ini adalah olahan semula, kerana tahun 2003 ia sudah diadaptasi menjadi filem seram komedi dengan Eddie Murphy sebagai pelakon utama. Untuk olahan semula ini, masih tidak pasti bila ia akan ditayangkan.

The Little Mermaid

Disney teruskan lagi usaha mereka dalam mengolah semula filem animasi klasik ke adaptasi aksi nyata. Dengan Pinocchio yang baru sahaja disiarkan di Disney+, di acara D23 Disney kongsi treler filem aksi nyata The Little Mermaid.

Halle Bailey berlakon sebagai Ariel, Jacob Tremblay pula sebagai si ikan Flounder, Daveed Diggs sebagai si ketam Sebastian, Melissa McCarthy pula adalah Ursula, Javier Bardem akan menjadi King Triton, dan Jonah Hauer-King pula sebagai Prince Eric.

Treler tidak mendedahkan banyak perkara, tetapi kita boleh nampak Flounder dan dengar Ariel menyanyi. Rob Marshall (Mary Poppins Returns) adalah pengarah filem ini dan memandangkan filem ini akan melibatkan banyak elemen muzikal, lagu-lagu dalam filem asal pada tahun 1989 akan dikekalkan dengan memilih Alan Menken dan Lin-Manuel Miranda untuk lirik lagu baharu.

Filem ini akan ditayangkan pada 26 Mei 2023 akan datang.

Elemental

Kalau filem Inside Out adalah mengenai perasaan dalam manusia sebagai watak, Elemental pula adalah elemen-elemen alam semula jadi sebagai watak seperti api, air, angin dan tanah.

Filem ini mengisarkan Ember dan Wain iaitu api dan air lakonan Leah Lewis (Nancy Drew) dan Mamoudou Athie (Jurassic World Dominion). Setiap elemen ini hidup di kawasan yang sama, ada yang secocok ada yang tidak. Ia adalah filem animasi, apa jadi kalau setiap elemen ini hidup?

Filem ini akan tiba pada 16 Jun 2023 di pawagam.

Inside Out 2

Inside Out pun akan kembali! Inside Out 2 adalah filem sekuel mengenai perasaan manusia sebagai watak. Ini menjadikan filem Inside Out sebagai filem keenam Pixar yang mempunyai sekuel selepas Cars, The Incredibles, Finding Nemo, Toy Story, dan Monsters, Inc.

Filem ini akan memfokuskan sekali lagi perasaan dan emosi Riley yang kini sudah remaja. Itu sahaja yang didedahkan dan filem ini akan ditayangkan pada musim panas 2024. Amy Poehler kembali sebagai Joy dan filem ini diarahkan oleh Kelsey Mann.

Elio

Disney dan Pixar juga sudah bersedia untuk filem animasi blockbuster mereka tahun 2024. Elio adalah filem sains fiksyen pengembaraan di angkasa oleh seorang kanak-kanak 11 tahun. Olga iaitu ibu Elio bekerja di satu agensi khas, Elio kemudiannya mengembara ke galaksi dan ada yang sangka beliau adalah duta planet bumi.

Filem ini akan diarahkan dan diterbit oleh mereka yang terlibat dengan Coco iaitu Adrian Molina (penulis, pembantu pengarah Coco) dan Mary Alice Drumm. Filem ini akan ditayangkan pada musim bunga 2024.

Snow White

Snow White pun nampaknya akan diolah menjadi filem aksi nyata. Tahun ini sahaja Disney sudah hadir dengan Pinocchio, kongsi treler The Littler Mermaid, umum Mufasa dan kini Snow White pula yang akan ditayangkan pada sekitar tahun 2024.

Filem ini akan menyertakan Rachel Zegler sebagai Snow White dan Gal Gadot sebagai permaisuri kejam. Memandangkan ini diadaptasi dariapda animasi lebih 80 tahun lalu, konsep penceritaan mungkin sama di mana si permaisuri cemburu dengan Snow White, upah pemburu untuk membunuh beliau, ada epal beracun dan cermin ajaib.

Tidak banyak yang didedahkan lagi mengenai filem ini. Tetapi dijangka, tujuh orang kerdil tidak akan disertakan dalam filem ini kerana isu konflik.

Wish

Akhir sekali adalah filem animasi mengenai bintang hajat yang telah menunaikan banyak hajat yang dipinta oleh watak-watak Disney. Ia adalah sebuah filem animasi muzikal dengan Ariana DeBose sebagai Asha, directed dan akan diarahkan oleh Chris Buck & Fawn Veerasunthorn.

Filem ini akan ditayangkan pada November 2023 tahun hadapan.

Sohor Kini