Hari ini di Singapura, Disney mengadakan acara Disney Content Showcase bagi mengumumkan pelbagai kandungan dan projek baharu untuk disiarkan di Disney+ Hotstar. Pengumuman pertama adalah mengenai kandungan Marvel Studios.

Pertama sekali yang dikongsi adalah treler baharu filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania. Ia adalah treler lebih kurang sama dengan apa yang dikongsi sebelum ini, cuma ada klip tambahan seperti mendedahkan rekaan MODOK, memperlihatkan Kang the Conqueror yang ganas, Ant-Man yang menderita dan memberikan satu pengalaman menonton yang sangat mendebarkan. Filem ini akan menjadi filem MCU Fasa 5 pertama dan akan ditayangkan pada 16 Februari 2023.

Treler Guardians of the Galaxy Vol. 3 juga dikongsi di acara ini. Ia mempunyai elemen lucu James Gunn yang kita semua kenal dan memperlihatkan ia mungkin adalah penamat kepada pasukan Guardians of the Galaxy kerana Adam Warlock lakonan Will Poulter adalah sangat ganas dan kuat melawan pasukan GotG. Turut kelihatan adalah kembalinya Gamora dengan kisah cinta bersama Peter serta ada saat sedih mengenai Rocket Raccoon. Filem ini akan ditayangkan pada 4 Mei 2023 tahun hadapan.

Sebelum mendedahkan perkara terakhir, Disney mengingatkan kepada semua mengenai betapa pentingnya siri TV Secret Invasion yang akan disiarkan pada awal 2023 nanti. Siri ini akan berkait rapat dengan filem The Marvels yang melibatkan Captain Marvel, Ms. Marvel serta Maria Rambeau. Tiada treler baharu dikongsi, tetapi tarikh tayangan masih kekal pada 28 Julai 2023 nanti.

Yang terakhir untuk Marvel Studios adalah treler Loki musim kedua. Kali ini dilihat memfokuskan lebih pengembaraan antara Mobius lakonan Owen Wilson bersama dengan Tom Hiddleston sebagai Loki. Treler tidak mendedahkan banyak perkara baharu selain TVA versi lain. Ada tiga Loki diperlihatkan dalam treler ini dan mereka semua mungkin akan memerangi masa dengan ada juga sut seakan untuk ke angkasa lepas. Loki musim kedua dijadualkan untuk disiarkan di Disney+ Hotstar pada sekitar pertengahan tahun 2023 nanti.

Sayang sekali, tiada gambar dan treler yang boleh kami kongsi daripada video-video yang dipertontonkan. Teruskan ikuti Aksiz untuk berita lanjut mengenai kandungan yang akan diumumkan di Disney Content Showcase 2022.

Sohor Kini