Mechamato Movie akan mula ditayangkan pada 7 Disember ini, dan semalam kami telah berkesempatan untuk menghadiri tayangan perdana untuknya dan nantikan ulasan kami tidak lama lagi.

Di acara yang sama terdapat juga sesi temubual bersama dengan Nizam Abdul Razak iaitu Pengasas dan juga Pengarah Urusan untuk Animonsta Studios dan juga Raja Jastina Raja Arshad iaitu Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara.

Di dalam sesi tersebut, Nizam telah berkongsi yang kos keseluruhan untuk siri dan juga filem Mechamato telah menelan perbelanjaan RM30 juta. Ia bukanlah kos untuk filem sahaja, kerana kebanyakan aset-aset yang dihasilkan digunakan bersama di dalam penghasilan siri. Siri Mechamato buat masa ini mempunyai 26 episod untuk musim pertamanya.

Bercakap mengenai sasaran kutipan bagi filem Mechamato Movie, Nizam mengatakan mereka berharap mendapat sekurang-kurangnya kutipan yang sama dengan yang dicapai oleh BoBoiBoy Movie 2 sebelum ini iaitu RM30 juta. Selain pasaran Malaysia, beliau juga berharap yang filem ini akan diterima dengan baik di negara-negara luar terutama di negara-negara Asia Pasifik.

BoBoiBoy Movie 2 juga merupakan kerjasama pertama di antara Animonsta Studios dan Astro Shaw, bagi kerjasama kedua untuk Mechamato Movie ini, Raja Jastina mengatakan yang sangat teruja untuk menerbitkan filem animasi ini. Astro Shaw selaku penerbit bersama, mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap produksi animasi tempatan seperti MONSTA. Mereka mempunyai kredibiliti dan trek rekod yang baik dalam membawa nama Malaysia ke peringkat global. Menerusi Mechamato Movie, MONSTA meletakkan standard baharu sebagai filem berkaliber antarabangsa.

Menyambung mengenai sasaran kutipan Raja Jastina mengatakan yang mereka sentiasa mempunyai sasaran tertentu, akan tetapi oleh kerana Mechamato adalah satu IP yang baharu, mereka berharap ia mendapat kejayaan yang sama dengan filem BoBoiBoy sebelum ini. Tambahan pada itu, mereka juga menyasarkan untuk membawa filem ini ke pelbagai negara lain.

Mechamato Movie akan mula ditayangkan pada 7 Disember 2022 dengan tiket sudah mula dijual. Pada permulaan, filem ini akan ditayangkan di lebih 150 pawagam.

Sohor Kini