Google Memperkenalkan Permainan Mini FIFA Melalui Google Search

FIFA World Cup 2022 kini sedang berlangsung di Qatar. Sempena menyambut acara sukan perlawanan bola sepak yang diadakan setiap empat tahun ini, Google memperkenalkan permainan mini melalui enjin carian mereka.

Untuk cuba bermain, anda hanya perlu menaip world cup atau world cup 2022 pada bar carian dan tekan ikon bola yang muncul di bahagian bawah laman web. Selepas tekan akan ada tiga tab dipaparkan iaitu Results yang memaparkan keputusan permainan anda, Play untuk bermain dengan memilih pasukan perlawanan serta Standings yang memperlihatkan pasukan mana paling hebat setakat ini.

Sebaik sahaja anda tekan Play, akan ada animasi dimainkan dan Google akan mengarahkan anda memilih pasukan yang anda ingin wakili. Kemudian akan ada ikon bola yang besar untuk anda tatal ke atas memasukkan bola ke dalam gol dengan mengelak penjaga gol haiwan yang bergerak semakin pantas.

Penjaga gol haiwan ini akan mengejek anda jika gagal atau menangis jika anda berjaya menggolkan banyak bola. Pilihan untuk kongsi ke media sosial turut disediakan. Permainan mini ini boleh diakses melalui peranti mudah alih Android atau iOS dan percuma kepada semua.

Sohor Kini