Ada banyak siri TV mengenai tempat bekerja yang menarik. Kegemaran aku sehingga hari ini adalah Silicon Valley yang sudah berkali-kali aku tonton. Sejak Apple TV+ diperkenalkan, aku cuba tonton Mythic Quest pula yang mana pada aku ia satu konsep yang menarik – tetapi penyampaian ceritanya agak perlahan. Kini musim ketiga sudah mula disiarkan, adakah ia sehebat musim lepas?

Musim ketiga ini dilihat memfokuskan kepada perkembangan watak untuk memperlihatkan bagaimana setiap watak berubah menjadi lebih matang dan lebih serius dalam bekerja di sebuah studio pembangunan permainan video. Aksiz telah diberi akses untuk tonton musim ketiga sepenuhnya dan ini adalah ulasan kami.

Baca: Temuramah Bersama Para Pelakon Mythic Quest – Ke Arah Penceritaan Yang Penuh Emosi


Plot

Mythic Quest musim ketiga memperlihatkan perjalanan hidup Ian dan Poppy yang kini menubuhkan studio pembangunan permainan video baharu, GrimPop Studios. Dana pula kini menjadi seakan pembantu dalam studio baharu ini. Sementara di Mythic Quest, David adalah bos baharu dengan Jo sebagai pembantu beliau yang kini menjadi lebih setia seakan ada udang di sebalik batu.

Carol yang sebelum ini hanyalah seorang HR, kini memegang jawatan yang lebih tinggi dengan tanggungjawab yang berat. Tetapi dalam dilema kerana tidak tahu cara mengendalikan pejabat dengan suasana yang huru-hara. Rachel pula kini memperlihatkan sisi baharu dengan bantuan Brad yang yang baru sahaja dibebaskan dari penjara.

Penyampaian Jalan Cerita

Sejak awal lagi, entah kenapa aku rasakan Mythic Quest mempunyai penceritaan yang agak perlahan tetapi aku suka tonton untuk menghabiskan masa terluang aku. Pejam celik, sudah pun sampai musim ketiga dan pendapat aku masih tidak berubah – Mythic Quest bukannya siri TV tempat bekerja yang terbaik tetapi masih boleh membuatkan aku melekat dan setia untuk menonton.

Dalam musim ketiga, penyampaian cerita adalah lebih perlahan berbanding biasa. Aku rasa aku lebih suka musim kedua setakat ini. Ini kerana dalam musim baharu ini, ia memfokuskan kepada perubahan personaliti untuk watak-watak dalam Mythic Quest – bagaimana mereka berubah untuk menjadi insan yang lebih berguna.

Ian dan Poppy masih dengan ego masing-masing di dalam studio baharu beliau, yang mana gandingan dua orang ini adalah kegemaran aku – tetapi kali ini mereka kurang memuaskan dan rasa seakan ada yang kurang. Watak David kekal menjadi antara yang paling lucu, sentiasa membuatkan aku tersengih dengan keputusan tindakan yang beliau lakukan.

Mythic Quest kali ini lebih menerokai emosi yang mendalam wujud pada setiap watak. Ada saat yang rasa kesian, ada saat yang rasa bersyukur ada juga saat luahan perasaan yang disampaikan dengan sangat ringkas tetapi mencukupi.

Tiada konflik serius pun antara GrimmPop dan Mythic Quest, tetapi mereka sengaja mewujudkannya agar boleh sentiasa bersama dan meluangkan masa untuk menjadikan cerita lebih seronok. Pengenalan beberapa watak baharu juga menjadikan penceritaan sedikit lebih segar dan seimbang antara bermain dengan emosi dan komedi.

Komedi masih lagi perkara utama, dan apabila ia lucu – ia benar-benar membuatkan aku tergelak cuma kerana ketiadaan seorang watak yang sentiasa menceriakan keadaan membuatkan seakan ada rencah yang kurang dalam resipi pencarian mitos tempat bekerja ini.

Mythic Quest masih mempunyai keunikan tersendiri. Seperti kualiti produksi yang sangat mantap, peralihan antara adegan dengan klip permainan video berkualiti tinggi oleh Ubisoft, prestasi lakonan yang hebat, lokasi penggambaran yang kreatif serta masih boleh menyertakan elemen-elemen dunia nyata agar apa yang sampaikan dalam siri TV ini menyentuh jiwa penonton.

Pelakon

Musim baharu ini seperti yang aku katakan tadi memfokuskan kepada perkembangan watak, membawa mereka ke perjalanan yang lebih emosi. Masing-masing tidak lagi sama dengan musim lalu, semua sudah lalui pelbagai dugaan dan cabaran untuk membentuk diri menjadi yang lebih baik.

  • Rob McElhenney sebagai Ian Grimm
  • Charlotte Nicdao sebagai Poppy Li
  • David Hornsby sebagai David Brittlesbee
  • Danny Pudi sebagai Brad Bakshi
  • Naomi Ekperigin sebagai Carol
  • Imani Hakim sebagai Dana
  • Jessie Ennis sebagai Jo
  • Ashly Burch sebagai Rachel

Ian Grimm tidak begitu menonjol, tetapi ego beliau itu pasti akan membuatkan penonton rasa berang dengan interaksi beliau bersama Poppy yang cinta sesama sendiri tetapi tidak ingin mengaku. Poppu juga menjadi pembangun yang lebih psikotik dan hyper, tetapi tidak boleh mengawal personaliti diri untuk menerima pendapat orang lain.

David kini semakin matang, tetapi elemen dungu pada diri beliau sentiasa menghiburkan. Brad antara watak kegemaran aku selalu mempunyai dinamik yang hebat merampas perhatian aku agar boleh fokus kepada diri beliau sahaja. Carol yang dulu hanya HR kini dalam dilema untuk bertanggungjawab atas jawatan baharu yang lebih besar – tetapi sangat menarik dengan masa skrin yang lama dan dinanti-nantikan.

Dana dan Rachel masih rapat, tetapi Dana lebih matang dan bersedia untuk menjadi pemimpin dan memegang tanggungjawab besar yang tiada siapa sangka akan berlaku. Rachel pula mendedahkan sisi baharu beliau yang tidak pernah didedahkan sebelum ini – di mana beliau adalah seorang yang genius tetapi dungu pada masa yang sama.

Akhir sekali watak Jo yang sangat menarik, cubaan menjadi watak menggerunkan tetapi sentiasa membuatkan aku tergelak kerana tindakan beliau yang ganas dan tegas menjadikan majikan belau seakan mangsa buli melalui teknik manipulasi.

Kesimpulan

Mythic Quest walaupun sudah musim ketiga, ia masih belum menjadi siri TV tempat bekerja kegemaran aku. Akan tetapi aku masih boleh maratonton kesemua episod tanpa rasa penat atau menjengkelkan. Musim baharu ini kurang komedi dan banyak watak yang pada musim lepas ada banyak masa skrin, kali ini mereka kurang menyerlah – sebaliknya musim ini memberi peluang kepada banyak watak sampingan dan watak pembantu musim lalu lebih masa skrin untuk persediaan di musim baharu.

Mythic Quest musim ketiga adalah satu perjalanan yang penuh dengan emosi, daripada sedih, cinta, kegembiraan dan rasa bersyukur semuanya diberikan. Siri TV ini mungkin bukan untuk semua orang, tetapi jika sekadar ingin tonton sambil makan atau ketika bosan – ia cukup menghiburkan.

Mythic Quest musim ketiga sudah pun disiarkan di Apple TV+ pada 11 November. Ia akan disampaikan secara mingguan untuk 10 episod sehingga Januari akan datang. Ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Apple TV+ berikan kepada Aksiz.

Mythic Quest - Musim Ketiga
Siaran bermula 11 November
Positif
Perkembangan watak yang menarik dan penuh emosi
Persediaan musim baharu yang mengacah sesuatu yang hebat
Negatif
Penyampaian cerita yang lebih perlahan
Tidak cukup lucu berbanding musim lepas
Rasa tidak memuaskan, kerana seakana ada perkara yang kurang
6

Sohor Kini