Ulasan Mythic Quest Musim 2 – Adakah Ini Pengakhiran?

Apple TV+ adalah platform penstriman video yang menarik. Ya, aku tahu kandungan tidak begitu banyak jika dibandingkan dengan yang lain. Tapi langganan percuma sehingga Julai, jadi tidak salah langgan dan layan semua yang ada. Sebagai peminat siri TV Silicon Valley, siri Mythic Quest telah menarik perhatian aku. Masa awal disiarkan, aku tidak terasa untuk tonton walaupun ramai sarankan dan skor ulasan kebanyakan orang ramai positif.

Tahun ini, musim kedua keluar. Jadi aku putuskan untuk tonton dan maratonton kesemua musim pertama dan kedua, termasuk kedua-dua episod khas bersempena pandemik.

Sebelum aku ulas musim kedua dan berikan sedikit pendapat untuk episod khas Everlight serta pendapat musim pertama, aku cerita sedikit latar belakang siri TV ini. Secara asasnya, ia menggunakan konsep seakan Silicon Valley – iaitu pasukan pembangun perisian (siri ini permainan video) bersama-sama fokus menjayakan syarikat sambil mempertontonkan isu antara setiap watak. Tetapi untuk Mythic Quest, penyampaian cerita adalah lebih ringkas.

Siri ini fokus kepada permainan video MMORPG Mythic Quest, di mana musim pertama menceritakan mengenai pembangunan peta baharu – Raven’s Banquet. Pengarah kreatif permainan video ini adalah Ian Grimm yang sering bertengkar dengan Ketua jurutera pembangunan Poppy Li. Sambil itu, kisah di dalam pejabat antara setiap pekerja seperti Brad, C.W. Longbottom, David dan ramai lagi mempunyai masalah masing-masing yang menjadikan siri ini menarik.

Pencipta siri TV ini adalah Charlie Day, Megan Ganz, dan Rob McElhenney. Ia dihasilkan oleh RCG Productions, 3 Arts Entertainment, dan juga Ubisoft Film & Television. Semua elemen pembangunan permainan video dan demo yang dipertontonkan adalah antara usaha Ubisoft untuk menjadikan siri TV ini kelihatan lebih realistik.


Plot

Kuarantin berakhir, semua pekerja pasukan Mythic Quest kembali ke pejabat. Kali ini mereka fokus untuk hadir degan peta baharu permainan mereka, tetapi Ian dan Poppy mempunyai idea yang berbeza. Sambil itu, kisah CW diceritakan seperti asal-usul beliau, sejarah anugerah beliau, bagaimana beliau diupah bekerja dan banyak lagi. David pula akhirnya ingin cuba mengubah perwatakan beliau untuk membuktikan beliau seorang yang berkebolehan.

Jo pula kini semakin gila dan taksub kepada mentor yang beliau ikuti, di mana hasad dengki beliau memakan diri apabila dimanipulasi oleh Brad. Brad dalam musim ini kita akan dapat tahu adakah selama ini beliau acah-acah hebat atau ada udang di sebalik batu?

Musim kedua adalah musim di mana setiap watak diberikan penekanan dan mempunyai cerita masing-masing yang lebih mendalam.

Penyampaian Jalan Cerita

Okay, musim pertama sangat ringkas dengan penyampaian yang lancar dan agak pantas. Jadi seronok untuk tonton. Ian dan Poppy bertengkar, masalah dalam pejabat antara semua watak dan rahsia penstrim permainan yang ada hasad dengki didedahkan menjadikan siri TV ini unik dan seronok. Episod Quarantine hanya satu kaedah mempromosikan Face Time, dan menekankan trend panggilan video berkumpulan. Manakala episod Everlight adalah selepas kuarantin tamat, di mana trend pejabat menyambut dengan bertempur antara pekerja dengan tema permainan video mereka.

Musim pertama dan kedua-dua episod khas adalah kegemaran aku.

Baiklah, untuk musim kedua – pengalaman menonton secara keseluruhan adalah berbeza. Ia lebih kepada drama dan bagi aku sedikit meleret. Kalau musim pertama aku boleh maratonton, musim kedua aku tidak boleh dan mudah rasa mengantuk. Bukan itu sahaja, musim kedua pun rasa seakan satu musim yang 100% baharu seakan tiada kaitan dengan musim pertama pun. Banyak plot hole musim pertama tidak diceritakan dan harapan untuk lihat sambungan langsung tiada. Boleh kata yang musim kedua terasa macam prekuel berbanding sekuel.

Ada sembilan episod secara keseluruhan. Setiap episod memfokuskan kepada watak berbeza, di mana menjadikan musim kedua seakan siri antologi untuk menceritakan kisah setiap watak. Episod pertama fokus kepada Ian dan Oppy yang masih lagi bertengkar dan Poppy pula kini mempunyai tanggungjawab besar. Episod kedua lebih kepada kisah cinta Rachel dan Dana, Episod ketiga fokus kepada David, kemudian kisah Brad, Carol sebagai HR diberi penekanan dalam episod lima, episod keenam dan ketujuh mendedahkan misteri di sebalik watak C.W., episod lapan perubahan mula dilihat seperti Ian dan David ingin teruskan kehidupan ke jalan baharu dan diakhiri dengan happy ending terbuka untuk setiap watak.

Musim kedua bukan gaya atau bentuk penceritaan yang aku gemar. Ia membuatkan aku rasa pening dan keliru. Ada yang menarik memang buatkan aku terhibur, tetapi bahagian bosan memang bosan gila.

Aku suka cutscene dalam musim kedua sebab grafik permainan kelihatan lebih realistik dan cantik berbanding musim pertama. Sinematografi dalam musim kedua mempunyai kualiti yang lebih baik serta muzik yang digunakan juga seronok. Episod khas C.W. yang mempertontonkan kisah silam beliau pada hemat aku adalah seakan satu siri sampingan yang menarik.

Pelakon

Majoriti pelakon masih lagi sama daripada musim pertama dan masing-masing meneruskan peranan mereka.

  • Rob McElhenneyas sebagai Ian Grimm
  • Charlotte Nicdaoas sebagai Poppy Li
  • David Hornsbyas sebagai David Brittlesbee
  • Danny Pudias sebagai Brad Bakshi
  • F. Murray Abrahamas sebagai C.W. Longbottom
  • Imani Hakimas sebagai Dana
  • Jessie Ennisas sebagai Jo
  • Ashly Burchas sebagai Rachel

Memandangkan musim kedua ini seakan antologi menceritakan kisah setiap watak, musim ini ada banyak perkembangan watak yang menarik. Prestasi setiap lakonan adalah memuaskan dan seronok untuk lihat pelakon dalam siri TV ini berbakat. Mampu menyampaikan emosi dengan baik, dan mampu menghidupkan watak masing-masing menjadi lebih nyata.

Walaupun begitu, perwatakan masing-masing masih sama. Perkembangan adalah lebih kepada emosi dan juga bagaimana watak-watak ini boleh diteruskan jika akan ada musim baharu. Disebabkan ia menggunakan penamat yang ada banyak peluang untuk filem, siri sampingan, lagi episod khas – memberi harapan kepada setiap watak-watak ini.

Kesimpulan

Aku tidak rasa kecewa pun dengan musim kedua siri TV ini. Aku cuma tidak suka cara penyampaian, kerana bagi aku ia bosan dan penat untuk tonton. Keseluruhan plot bagi aku baik sahaja. Cuma tidak seronok apabila hal-hal yang berlaku di musim pertama tidak disambung. Malah, rujukan kepada musim pertama pun tidak banyak yang ditekankan.

Dengan sinematografi yang lebih baik, mendedahkan lagi kisah setiap watak – musim kedua seperti aku katakan tadi hanyalah seakan siri antologi. Kesinambungan antara setiap episod juga tidak begitu mantap, membuatkan keseluruhan siri TV ini terasa sedikit serabut.

Walaupun begitu, ia masih lagi satu siri yang menarik dan akan memuaskan hati peminat. Musim kedua sudah pun disiarkan pada 7 Mei lalu di Apple TV+. Langganan di Malaysia adalah RM19.90 sahaja untuk akses semua kandungan sebulan. Tetapi Apple tawar secara percuma sehingga Julai. Pengguna berbayar seperti Apple One akan menerima pulangan rebat RM19.90, dengan kata lain, anda ada lagi dua bulan sahaja untuk akses Apple TV+ secara percuma.

Myrhic Quest Musim 2
Siaran Di Apple TV+ Pada 7 Mei
Pasukan Mythic Quest kembali kem pejabat selepas kuarantin tamat. Dengan fokus kepada peta baharu, Ian dan Poppy bertengkar kerana idea berbeza. Sambil itu, misteri CW didedahkan dan juga Jo, David dan Brad mempunyai penceritaan yang tidak disangkakan
Positif
Setiap watak diberikan lebih banyak penekanandan banyak didedahkan
Sinematografi yang lebih menarik, lebih-lebih lagi pada cutscene
Mempunyai penamat 'Happy Ending' terbuka yang memberi harapan dan peluang lain
Negatif
Penyampaian ceriita yang perlahan dan sedikit bosan
Tidak mempunyai kesinambungan yang baik antara kedua-dua musim
Setiap episod seakan siri antologi/sampingan yang tidak mengikat keseluruhan musim
6.5

Sohor Kini