FIFA telah mengumumkan bukan satu tetapi empat permainan bola sepak baharu bersempena dengan kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung akhir bulan ini. Ini adalah antara permainan pertama yang diumumkan selepas mengesahkan tamatnya kerjasama dengan EA.

Jika anda mengharapkan permainan yang boleh mencabar permainan bola sepak oleh EA, anda terpaksa menunggu lebih lama kerana keempat-empat permainan yang diumumkan adalah berdasarkan Web 3.0 yang melibatkan rantaian blok.

Permainan pertama yang diumumkan adalah AI League iaitu permainan bola sepak 4 lawan 4 di mana pemain akan menggunakan watak yang dibina menggunakan rantaian blok. Watak yang mengambil pelbagai reka bentuk termasuk haiwan, boleh dihias menggunakan pelbagai barangan kosmestik yang juga adalah rantaian blok.

Semasa sesi permainan, setiap watak akan bergerak secara sendiri dengan pemain hanya boleh menyertakan beberapa arahan sahaja. Sebagai satu rantaian blok, watak dan juga pakaian tersebut berkemungkinan boleh dijual beli.

Bersempena dengan Piala Dunia, pemain boleh membuat ramalan pasukan yang akan menang untuk setiap perlawanan dan akan mendapat ganjaran berdasarkan ramalan tersebut. Pemain boleh dapatkan perkakas seperti laptop dan juga watak untuk digunakan di dalam AI League ini.

Laman Rasmi: https://fifaworldcupaileague.com/

Selain itu, mereka juga telah mengumumkan FIFA World Cup Qatar 2022 in the Upland Metaverse, Upland merupakan penyedia metamesta berdasarkan rantaian blok yang membolehkan pengguna untuk membeli dan menjual barangan digital. Melalui kerjasama ini pengguna boleh mengumpul rangkuman sesuatu perlawanan dan juga barangan digital berkait yang lain.

Seterusnya adalah FIFA World Cup Qatar 2022 on Phygtl iaitu kerjasama dengan Phygtl yang merupakan aplikasi mudah alih untuk peminat dan akhir sekali Matchday Challenge: FIFA World Cup Qatar 2022 Edition yang dikatakan cara untuk peminat bola sepak melakukan ramalan dengan lebih interaktif dan secara sosial, maklumat lanjut mengenainya masih tidak dikongsikan lagi.

Sumber: VGC

Sohor Kini