Marilah mari kita mengundi tunaikan kewajipan pada negara. Ini lirik dari lagu mengundi yang amat popular di dekad 80an dahulu. Dengan PRU15 akan berlangsung pada 19 November ini. Kami tahu ada di kalangan anda yang tidak peduli. Lebih baik tengok Black Panther di panggung wayang daripada mengundi.

Jadi koleksi 10 filem, siri dan dokumentari di bawah kami harap akan dapat menimbulkan kesedaran untuk membabitkan diri dalam proses demokrasi bagi menetapkan hala tuju negara untuk lima tahun akan datang.
1. Mandela (2021) – Filem
Kami ulas filem Mandela tahun lalu kerana ia adalah filem yang sangat relevan bagi golongan yang merasakan satu undi tidak akan mengubah situasi. Tetapi menggunakan data dari PRU14, dalam majoriti kerusi jumlah mereka yang tidak membuang undi cukup besar untuk mengubah keputusan. Setiap undi adalah bernilai dan Mandela ialah cerita komedi serius yang kami sarankan di tangga teratas.
Mandela ialah seorang tukang gunting rambut dari kasta bawah di dalam kampung yang penduduknya memilih pemimpin berdasarkan kasta. Bukan pada kemampuan, bukan pada manifesto dan bukan kerana super bakat seperti Sakuragi Hamanichi. Apabila ketua kampung jatuh sakit, pilihanraya dilakukan untuk memilih ketua yang baharu. Mandela ialah satu-satunya penduduk kampung yang undinya masih belum berjaya dibeli oleh calon.
Sepanjang filem kita melihat bahaya politik kasta, politik kronisme, pembodohan orang awam, dan kotornya amalan rasuah semasa berkempen. Sebagai rakyat Malaysia mungkin kita tidak boleh relate dengan Mandela kerana pilihanraya di Malaysia suci lagi bersih. Dengan menonton Mandela anda akan menyedari setiap undi adalah penting walaupun dalam negara sempurna seperti Malaysia. Filem Mandela boleh distrim di Netflix
2.The Great Hack – Dokumentari
Seterusnya ialah The Great Hack yang menceritakan kisah di sebalik skandal Cambridge Analytica. Bagaimana dataraya yang dikumpul secara percuma daripada ratusan juta pengguna Facebook dijadikan senjata untuk menjayakan kempen propaganda licik Brexit dan Presiden Donald Trump.
Skandal ini menyebabkan imej Facebook sebagai platform media sosial utama dunia tercalar. Mengubah cara kita berkongsi data dengan syarikat teknologi untuk perkhidmatan “percuma” dan menjadi domino pertama ke arah Facebook kini kehilangan 70% nilai saham dalam masa 18 bulan.
Di negara Trinidad & Tobago pula Cambridge Analytica digunakan untuk memulakan kempen jangan mengundi di kalangan anak muda. Malaysia tidak terlepas dengan kepakaran mereka digunakan juga untuk menarik minat golongan muda. Kenapa perlu peduli tentang politik dan mengundi? Kerana undian dari anak muda boleh mengubah landskap politik sesebuah negara. Tonton The Great Hack di Netflix sekarang.
3. Game of Thrones/Hose of the Dragons – Siri TV
Tak lengkap koleksi kandungan bertemakan politik jika Game of Thrones dan prekuelnya House of The Dragons tidak dimasukkan ke dalam senarai. Siri kultus ini menunjukkan tidak semua yang baik itu bersih dan tidak semua yang jahat itu kotor. Dunia yang kita hidup sekarang dipenuhi individu kelabu. Terletak di tangan anda untuk menerima ketua kelabu seperti teh Earl Grey atau kelabu seperti tahi anjing.
Walaupun ianya berasaskan karya fiksyen George R R Martin, GoT dan HotD mengambil banyak inspirasi dari sejarah silam ratusan tahun yang lalu. Siri ini akan mengajar anda kenapa kadang kala untuk berurusan dengan insan yang kejam, anda juga perlu kejam dan tidak boleh terlalu berhati kudus seperti Goku menaiki awan guling. Dalam situasi yang serius, hanya hembusan dracrys boleh mengosongkan semula papan catur.
4. Sivaji The Boss – Filem
Lagi filem dar India kerana for some unknown reasons, negara inilah yang paling banyak menghasilkan filem-filem berunsur politik yang paling menusuk kalbu dengan landskap Malaysia. Mungkin kerana kita dijajah oleh negara yang sama, dikhianati oleh kelas yang sama dan dipecah perintah dengan teknik yang sama.
Tiada babak yang mengajak anda mengundi dalam filem Sivaji The Boss. Filem ini pada hemat kami ialah wish fulfilment setiap manusia di muka bumi yang jika diberikan wang infiniti, hati yang kudus, nyawa sepanjang Highlander dan kemampuan bergusti seperti Rajinikanth akan juga melakukan perubahan di kampung halaman.
Tetapi apabila korupsi menjadi lumrah harian, Sivaji tiada pilihan lain untuk bergelumang dalam selut yang sama dengan khinzir bagi mencapai matlamat. Adakah niat menghalalkan cara? Benarkah ahli politik jahat boleh dikalahkan dengan menari secara berkumpulan? Kenapa graviti di India melanggar hukum fizik Isaac Newton? Jawapannya dalam Sivaji The Boss yang boleh ditonton di Netflix.
5. Malaya Votes (1955) – Dokumentari
Kenapa perlu peduli dengan proses mengundi? Kerana ia hanya tiga generasi dahulu ia adalah hak yang dinafikan oleh penjajah British. Pilihanraya Umum pertama 1955 ialah langkah pertama ke arah kemerdekaan supaya Malaysia ditadbir oleh Bangsa Malaysia. Bukan dijaja bangsa Oxford High Street yang menghambakan bangsa selama ratusan tahun.
Melihat dokumentari Malaya Votes dari tahun 1955 menunjukkan betapa terujanya nenek moyang kita dahulu untuk mengundi. Mungkin sama teruja seperti kita kali pertama menonton filem MCU. Kita sekarang sudah masuk ke Phase 15 Malaysia Political Universe. Untuk menyedari betapa pentingnya ini semua, kita kembali semua yang pertama untuk mengetahui kenapa kita perlu PEDULI.
6. The Patriot Act – Siri TV
Fakta – anak-anak muda tidak sukar diceramah dan ditarbiah mengenai isu serius oleh orang-orang tua. Penyampaian perlu pantas, kemas dan nampak menarik barulah dapat menarik perhatian Gen Z. Jika anda inginkan kandungan politik dan fakta semasa yang disampaikan dengan cara yang menarik aku sarankan siri The Patriot Act oleh Hasan Minhaj di Netflix.
Banyak topik dibincangkan seperti Muhammad bin Salman, pencemaran, kenapa generasi Z tidak mampu membeli hartanah, situasi di Xinjiang dan 1MBD diulas serta dikopek oleh Minhaj menggunakan humor serta grafik yang jelas. Penyampaian beliau yang bersahaja membantu membuatkan setiap topik berat yang dibincangkan senang dihadam. Siri ini telah ditamatkan kerana nyawa Minhaj diancam oleh pihak tertentu. Malang sekali kerana tidak ada siri lain di platform lain yang mempunyai penyampaian menarik seperti The Patriot Act.
7. Election – Filem
Filem mengenai politik dan pilihanraya tidak semestinya harus serius. Mesej serius boleh disampaikan dengan cerita yang santai. Ini dibuktikan oleh filem Election oleh Alexander Payne yang mendapat pencalonan Oscar pada tahun 1999. Kisah berkisah mengenai pilihanraya untuk memilih presiden wakil pelajar sekolah menengah.
Plot yang ringkas tetapi disulami politik kotor, dan pelbagai cara digunakan untuk mengalahkan lawan seperti dunia politik sebenar. Situasi menjadi menarik apabila cikgu sekolah terlibat untuk mensabotaj calon yang tidak digemari. Election ialah kisah mengenai sistem politik yang keji tetapi menyorok di sebalik kisah komedi sekolah.
8. Gadoh – Filem
Tak banyak filem Malaysia yang menyentuh isu politik kerana ia adalah sesuatu yang dianggap taboo. Semua filem mengambil jalan selamat dengan penggunaan bahasa juga disaring supaya melepasi Lembaga Penapisan Filem Malaysia. Oleh sebab itulah aku sarankan filem Gadoh yang diarahkan oleh Namron dan Debra Danker. Barisan pelakonnya juga mantap dengan Zahiril Adzim Amerul Affendi, Namron dan Chew Kin Wah.
Gadoh membincangkan isu hubungan antara kaum, kegagalan sistem pendidikan, kebencian, dan kesilapan ibu bapa menyebabkan negara kita mempunyai kepincangan yang semakin ketara. Seperti Election di atas, sekolah dijadikan surrogate kepada Malaysia yang sejak 13 Mei masih tidak berjaya merawat lupa yang masih bernanah. Gadoh terkenal dengan meme “cina makan babi, melayu bodoh” tetapi filem ini mempunyai mesej yang aku rasakan perlu difahami kerana retorik bangsa yang gemar dimainkan setiap kali pilihanraya diadakan di Malaysia.
Malang sekali filem ini tidak ditawarkan di mana-mana platform penstriman secara halal. Penstriman haram ada tetapi kami tidak boleh berikan pautannya di sini.
9. Hak Se Wui (Election) – Filem
Sebuah lagi filem bertajuk Election tetapi kali ini dari Hong Kong diarahkan oleh Johnnie To yang turut mengarahkan All About Ah Long dan PTU. Filem ini berkisar mengenai pilihanraya yang diadakan oleh kumpulan kongsi gelap di Hong Kong setiap lima tahun sekali. Lok (Simon Yam) ingin mengekalkan operasi kongsi gelap yang aman selepas HK diambil alih oleh China sementara pencabar beliau Big D (Tony Leung Ka Fai) ingin beroperasi seperti sebuah kongsi gelap sebenar yang ganas.
Percaturan dilakukan untuk memenangi pilihanraya dengan pihak polis digunakan oleh Parti Komunis China sebagai penimbang yang memastikan kongsi gelap menyedari siapa yang mempunyai kuasa sebenar di Hong Kong. Filem Election dihasilkan dalam situasi hak demokrasi Hong Kong mula dicabar oleh China.
Untuk pasaran China, babak ditambah untuk menunjukkan semua yang jahat ditangkap dan elemen polis juga boleh lebih jahat daripada kongsi gelap dipotong. Ini mungkin antara filem terakhir dari Hong Kong yang masih boleh menyentuh isu sensitif sebelum dikembirikan oleh lembaga penapisan China sekarang. Anda boleh menonton Hak Se Wui (Election) di Netflix.
10. Dirty Money The Man At The Top – Dokumentari
Kita sekarang di bulan Disember 2022. Bossku sudah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun tetapi masih ada segelintir peminat kipas tegar yang percaya bahawa beliau dianiaya. Ada lagi sekumpulan kecil yang sudah meminta beliau diampunkan oleh YDPA atas sebab jasa-jasa beliau semasa masih menjadi Perdana Menteri. Kepada mereka yang masih merasakan Bossku tidak bersalah dan sesuci salju dari pergunungan Alps, dokumentari Dirty Money The Man At The Top di Netflix perlu ditonton sekarang.
Selamat melakukan kewajipan anda sebagai rakyat Malaysia. Sila pergi mengundi kerana masa depan negara serta generasi seterusnya terletak di tangan anda. Hala tuju negara untuk lima tahun akan datang ditentukan oleh insan-insan yang akan dipilih mewakili kita. Aksiz jarang menyentuh isu politik tetapi setiap lima tahun sekali apa salahnya?