Game of Thrones berakhir dengan nada hambar tiga tahun yang lalu menyebabkan legasinya sebagai antara siri TV dengan jumlah penonton tertinggi dan menjadi fenomena global dilupakan orang ramai. Sehingga kini jika ada orang bertanya perlukan GoT ditonton sekarang di HBO GO aku tidak boleh memberikan jawapan yang muktamad.

Di tangan kanan aku masih percaya lima musim pertama GoT adalah antara yang terbaik pernah diterbitkan. Di tangan kiri pula aku naik saksi bahawa tiga musim terakhir adalah yang paling mengecewakan dalam sejarah TV.

Jadi apabila House of The Dragon diumumkan beberapa tahun yang lalu aku tidak yakin ia langkah yang bijak. Adakah kita memerlukan sebuah lagi siri dari dunia A Song of Ice and Fire selepas kekecewaan menonggeng GoT. Selepas menonton empat episod pertama yang diberikan oleh pihak Warner Media minggu lalu, aku boleh katakan bahawa House of The Dragon berjaya menghapuskan memori buruk tiga musim terakhir GoT seperti mana Tywin Lannister berjaya melupuskan House Rayne di kota Castemere.

House Of The Dragon

House of The Dragon (HoD) ialah adaptasi dari buku Fire and Blood yang juga ditulis oleh George R R Martin. Berita baik di sini ialah tidak seperti siri A Song of Ice and Fire, cerita yang ingin disampaikan oleh Martin sudah ada penamatnya. Maka mereka yang ingin menonton sekurang-kurangnya tidak perlu risau kualiti penulis dan jalan cerita akan hancur menjunam seperti GoT.

Tema kemampuan wanita dipersoal dan tampuk pimpinan harus sentiasa jatuh ke tangan lelaki dari GoT diteruskan dalam HoD. Isu siapa yang layak menjadi pemimpin Westeros berterusan apabila Raja Viserys sendiri tidak mempunyai anak lelaki. Dengan diri semakin berusia, baginda harus memilih pengganti yang paling layak. Haruskah anak baginda Puteri Rhaenyra dilantik sebagai pengganti atau memilih Putera Daemon Targaryen – adik baginda yang dirasakan tidak layak memerintah.

Bermula Dari Sifar

Siri bermula dari sifar kerana kesemua watak yang wujud dalam GoT belum lagi wujud. Apa yang aku sukan dengan HoD ialah ia sebuah cerita yang boleh berdiri dengan sendiri tanpa perlu menonton 8 musim GoT terlebih dahulu. Dalam dua episod pertama, kesemua watak utama dan dinamik antara keluarga-keluarga bangsawan Westeros diterangkan dengan baik.

Seperti GoT, kekuatan siri ini terletak pada dialog dan lakonan yang mantap. Paddy Considine sebagai Raja Viserys, Matt Smith sebagai Putera Daemon dan Rhys Ifan sebagai Sero Otto Hightower adalah tiga watak yang paling menyerlah dalam empat episod pertama.

Rhys Ifan mungkin adalah yang paling mengejutkan kerana selama ini beliau memegang watak kesian dalam Spider Man dan Notting Hill. Dalam HoD, Sir Otto Hightower adalah watak yang paling hampir kepada Littlefinger kerana beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan House Hightower memegang tampuk kuasa bersama House Targaryen.

Milly Alcock sebagai Puteri Rhaenyra jelas adalah pengganti kepada Daenerys Targaryen dalam HoD. Beliau enggan sekadar menjadi seorang puteri yang menanti diri dikahwinkan kepada keluarga bangsawan lain untuk mengukuhkan kuasa House Targaryen.

Masih Ganas

Aktiviti tikam menikam belakang, konspirasi untuk mengukuhkan kuasa, percaturan catur lapan dimensi, aksi ganas dan kesan khas setanding filem blokbuster dijadikan asas oleh HBO bagi menarik peminat GoT untuk memberikan mereka peluang kedua. Selepas empat episod kami boleh katakan formula ini berjaya.

Kerana ia jalan cerita baharu kami boleh menikmati HoD tanpa menyimpan perasaan prejudis. Siri juga jelas diberikan budget yang lebih besar dengan kesan khas nampak lebih kemas dan gah. Kostum juga nampak lebih berkualiti tidak seperti musim pertama GoT yang lebih mirip kualiti produksi siri Xena Warrior Princess.

Kesan khas yang epik dan kemas adalah perlu kerana penonton perlu melihat naga-naga Targaryen ketika masih di zaman kemuncak. Naga dalam HoD adalah lebih besar, lebih ganas dan kelihatan lebih realistik. Dari episod pertama lagi kesan khas dan babak pertarungan yang dipaparkan adalah pada skala yang besar. Babak pertarungan naga menghapuskan sekumpulan musuh di beberapa episod terawal nampak lebih mantap berbanding Battle of King’s Landing di musim akhir GoT.

Bukan sahaja kesan khas yang dipaparkan adalah pada skala lebih besar, keganasannya juga ditingkatkan 10 kali ganda. Ini kami rasakan bersebab kerana tidak seperti siri HBO yang lain, HoD mengurangkan satu resipi penting yang mereka gunakan untuk melakukan siri mereka iaitu seks.

Lebih Ganas Kurang Gelenya

Adalah menipu jika ada yang mengatakan seks bukan antara sebab utama GoT popular di kalangan penonton. Adegan-adegan gelenya pada musim pertama GoT adalah ajinomoto yang menyedapkan lagi jalan cerita yang sudahpun menarik. Tetapi kita kini hidup di dunia pasca #MeToo dan objektifikasi tubuh wanita dan penggunaan adegan seks sebagai pelaris tidak lagi boleh diterima.

HoD masih lagi mempunyai adegan-adegan nakal (ada sebab siri ini diberikan rating 21 tahun ke atas) tetapi ia tidak lagi digunakan sesuka hati sebagai plot device murahan. Jika ada babak dewasa membabitkan pelakon-pelakon utama, ianya dilakukan dengan lebih berseni dengan bukan sekadar untuk menyedapkan nafsu penonton yang gatal.

Syabas kepada HBO kerana lebih sensitif kepada keperluan pelakon selepas Emilia Clarke berkata beliau sebenarnya tidak selesa melakonkan babak berbogel Daenerys dalam siri GoT tetapi terpaksa juga melakukannya kerana beliau masih lagi baru dalam industri pada waktu tersebut.

Perlu Tengok Dan Langgan HBO GO?

Empat episod pertama yang telah kami tonton berjaya membuatkan kami memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh HBO dengan Game of Thrones. House of The Dragon masih lagi menawarkan jalan cerita yang sama mengenai pertikaman bangsawan-bangsawan Westeros tetapi dengan acuan yang lebih kemas, ganas, dan epik.

Bagi peminat Game of Thrones yang kecewa, House of The Dragon berjaya merawat luka di hati seperti seorang Maester dari The Citadel, mengembalikan kepercayaan anda kepada dunia A Song of Ice and Fire seperti The High Sparrow dan paling penting sekali babak ganas yang dipaparkan akan membuatkan anda menyebut seven hells berkali-kali. Tonton House of Dragon di HBO GO bermula 22 Ogos ini. Valar marghulis!

Sohor Kini