Ada meme yang popular di forum, dan media sosial mengenai komik Barat dan manga Jepun. Seorang peminat bertanyakan soalan “komik manakah perlu saya baca untuk memahami dunia watak X”. Peminat manga menjawab “baca komik #1” sementara peminat komik Barat akan memberikan jawapan berbeza bergantung kepada berapa kali komik dirombak semula ke bilangan pertama. Sebagai pembaca komik Barat ketika masih muda remaja, saya disarankan membaca X-Men #1 oleh Jim Lee and Chris Claremont dan bukan X-Men #1 oleh Jack Kirby dan Stan Lee.
Terlalu banyak lore yang perlu dibaca oleh mereka yang ingin terjun ke dalam dunia komik barat sehingga menjadikan semuanya sukar untuk diikuti tanpa membaca beberapa puluh artikel Wikipedia.
Ini ialah masalah komik Barat yang kini sudah merebak ke dunia Marvel Cinematic Universe lebih-lebih lagi selepas tamatnya Fasa 3. Setakat ini Fasa 4 adalah amat mengecewakan dengan tidak ada satupun filem pada hemat aku benar-benar menarik. Thor terus menjadi filem komedi gampang, Dr Strange menjadi filem seram Sam Raimi dan Eternals ialah filem buang masa seperti sebuah episod filler dalam anime Naruto.
Semua filem seakan cara marba tanpa arah tujuan yang jelas. Pembaca komik akan mengatakan ini tidak mengapa Fasa 3 membina asas untuk jalan cerita Secret Wars dan Young Avengers. Tetapi seperti yang aku sudah tulis sebelum ini, untuk menikmati siri TV dan filem moden aku sudah tidak pedulikan sumber asal.
Ini adalah untuk mengelakkan kehampaan apabila jalan cerita diubah mendadak seperti Marvel Civil War dan Watchmen. Keduanya pula ialah sebuah plot filem yang bagus perlu berdiri dengan sendiri serta ditunjukkan dengan jelas di layar perak tanpa peminat perlu mendengar 10 podcast rasmi, 5 dokumentari pendek di YouTube, dan 1 bebenang Twitter dari pengarah/penulis selepas filem boleh dimuat turun di YIFY.
Masalah dengan MCU sekarang ialah mereka cuba menawarkan pelbagai genre komik dalam versi siri TV Disney+. She Hulk misalnya ialah siri sitcom yang sangat self aware sehingga dilihat terlalu experimental untuk tatapan peminat MCU. What If? ialah eksperimentasi dunia berbeza. Moon Knight pula dicampak dari langit tanpa sebarang cameo dalam filem-filem terdahulu.
Ini adalah perkara normal dalam dunia komik sejak zaman berzaman. Pembaca boleh memilih untuk membeli komik Spawn yang ganas, Superman yang berhati kudus, Vampirella yang menggatal dan Groo untuk jalan cerita kelakar santai. Terdapat pasaran yang besar untuk pelbagai genre komik dengan jalan penceritaan yang berbeza.
MCU tidak mempunyai kebebasan yang sama kerana peminat PERLU menonton kesemua filem-filem serta siri-siri TV untuk memahami jalan cerita utama yang cuba disampaikan. Ada ramai yang merungut kurang faham dengan plot The Multiverse of Madness kerana belum menonton Wandavision. Aku meramalkan ramai juga mungkin akan hilang arah tuju dengan filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania kelak kerana belum menonton atau dalam majoriti kes tak minat langsung menonton siri Loki Disney+.
Sebelum ini untuk memahami Avengers : Endgame penonton perlu menonton 21 filem dalam masa 11 tahun. Sekarang mereka perlu menonton 7 siri TV dengan 45 episod kesemuanya dalam masa 19 bulan dan 6 filem dalam masa 12 bulan untuk mengikuti jalan cerita kompleks yang ingin disampaikan.
Crossover untuk satu jalan cerita yang besar adalah perkara normal dalam komik tetapi Marvel kini berharap golongan yang tidak membaca komik untuk mempunyai kesetiaan yang sama seperti golongan pembaca komik.
Idea MCU pada awalnya membuahkan hasil kerana tidak memerlukan komitmen yang tinggi. Tonton satu filem setiap empat bulan dan tunggu yang seterusnya. Kini ada sahaja siri baharu dengan watak yang ramai tidak peduli (siapa yang peduli dengan Hawkeye dan Moon Knight sebenarnya?) perlu ditonton setiap minggu sehingga memenatkan.
Kegagalan DCEU disebabkan Zack Snyder, isu Warner Bros. Discovery dan masalah Ezra Miller mungkin adalah perkara yang positif kerana pada waktu ini formula MCU yang menjadi templat kini jelas tidak boleh bertahan lama. Pelakon semakin tua dan jalan cerita semakin berselirat seakan yang berlaku kepada Sacred Timeline dalam siri Loki.
Tetapi penonton tidak perlu risau kerana jika masalah MCU adalah sama seperti masalah komik Marvel sekarang, penyelesaiannya juga boleh dijumpai pada komik. Reboot semula dengan pelakon baharu dan jalan cerita baharu. Siri filem Batman masih sihat walafiat dengan enam orang pelakon Batman yang berbeza dan direboot lima kali. Jangan terkejut jika filem X-Men dan Fantastic Four diumumkan selepas Fasa 5 dengan ia tidak lagi di bawah panji MCU.