Kita sekarang hidup di zaman keemasan kandungan penstriman dengan terdapat banyak platform boleh dilanggan dengan kandungan asli yang bermutu. Sejak dari zaman awal pembikinan filem lagi, buku telah diadaptasi. Filem seperti Dracula, Frankenstein, dan Robin Hood menjadi pilihan kerana studio tidak perlu membayar royalti kepada keluarga penulis.

Dengan kejayaan siri Lord of The Rings, Games of Thrones, Twilight, Godfather, Jurassic Park, Hunger Games dan Marvel Cinematic Universe studio kini mengambil jalan pintar mengambil karya lebih moden untuk diadaptasi tanpa perlu memikirkan idea asli mereka sendiri. Sungguhpun begitu tidak kesemua perubahan yang dilakukan dari buku ke layar perak akan diterima oleh peminat.

Ini membuatkan aku terfikir, untuk menikmati karya adaptasi moden cara yang terbaik mungkin ialah dengan tidak mengambil tahu langsung karya asalnya. Aku menulis ini berdasarkan pengalaman termasuk dalam golongan peminat yang kecewa dengan versi filem yang dihasilkan.

Antara karya pop culture yang aku rasakan mengecewakan ialah filem adaptasi komik X-Men, buku Ryanverse Tom Clancy, komik Spawn, dan Game of Thrones. Terdapat pelbagai masalah kecil dan besar pada kesemua karya ini. Kecil seperti melompat terus ke pertengahan cerita tanpa permulaan yang jelas (X-Men) dan pengakhiran siri yang berserabut kerana buku belum habis ditulis (GoT).

Pada waktu yang sama aku kecewa dengan adaptasi-adaptasi ini, aku tidak pula kecewa dengan adaptasi Jupiter Ascending, Lord of The Rings, Hunger Games, Avatar The Last Airbender, Stephen Kings-verse, dan Marvel Cinematic Universe yang aku akui tidak pernah baca sumber asalnya.

Siri dapat dinikmati dengan tenang tanpa perlu mendengar teori peminat yang akan muncul di media sosial 0.005 saat selepas episod berakhir. Tak perlu peduli terlepas pelbagai telur Easter yang diletakkan oleh penerbit siri. Tak perlu bergaduh dengan peminat yang lain apabila Wolverine tak akan buat yang di buat keran dalam Alpha Flight #5 muka surat 5 dia pernah berkata begini-begitu-begini. Apa yang dihidangkan di depa mata diterima seadanya.

Malahan dalam beberapa kes seperti Forrest Gump, The Godfather, Shawshank Redemption dan LA Confidential, versi filem adalah jauh lebih baik berbanding karya asal. Aku boleh sarankan anda menonton siri Movies That Made Us di Netflix untuk melihat kesemua perubahan besar yang dilakukan dari buku bagi menghasilkan Forrrest Gump.

Contoh paling terkini berlaku semasa menonton siri Foundation di Apple TV+. Siri dari buku Foundation dari Isaac Asimov yang dikatakan mustahil untuk diadaptasi. Dari episod awal aku dapat melihat peminat meraung apabila perubahan dilakukan pada masa, warna baju, warna mata, etc etc pada watak yang kini dilakonkan oleh manusia sebenar. Aku dapat menikmati Foundation yang sinematik, serebral, kemas dan mengambil masanya sendiri untuk menerangkan dunia Galactic Empire yang luasa kepada aku setiap minggu.

Jadi kepada pembaca Aksiz yang inginkan ketenangan untuk menikmati filem-filem di pawagam dan siri-siri di TV, aku sekali sarankan anda semua jangan terlalu invested dengan sumber asal. Seperti yang kita dapat lihat dari siri Mandalorian, Star Wars Vision, dan Animatrix bebas dari sebarang expectation yang meninggi dapat meningkatkan kenikmatan menonton. Oleh sebab itulah aku akan ke panggung Khamis ini untuk menonton Dune tanpa membaca buku Frank Herbert atau menonton filem David Lynch. Doakan aku akan dapat menikmatinya dengan tenang. For once, ignorance IS bliss.

Sohor Kini