Star Wars: The Rise of Skywalker yang ditayangkan pada tahun 2019 adalah filem terakhir Star Wars sebelum Disney dan Lucasfilm fokus pada siri TV di Disney+. Filem baharu pertama yang sepatutnya ditayangkan pada Disember 2023 iaitu Rogue Squadron telah pun dibuang dari jadual tayangan. Tetapi ini tidak bermakna tiada lagi filem Star Wars, kerana masih banyak dalam perancangan – antaranya adalah filem yang akan diarahkan oleh Taika Waititi.

Beberapa hari lepas, Deadline melaporkan yang terdapat satu filem rahsia Star Wars dalam fasa pembangunan. Filem ini akan ditulis oleh Damon Lindelof, iaitu penulis siri TV Watchmen dan filem World War Z. Filem ini akan diarahkan oleh Sharmeen Obaid-Chinoy iaitu pengarah siri TV Ms. Marvel.

Masih tiada sebarang informasi mengenai filem ini, selain skrip yang sedang ditulis. Ada laporan menyatakan watak kegemaran dalam Star Wars mungkin kembali dalam filem ini, tetapi masih belum disahkan lagi. Apa yang pasti nanti adalah, filem-filem Star Wars akan datang akan memulakan penceritaan baharu di luar kisah Skywalker.

Sohor Kini