Apple hari ini telah meningkatkan harga langganan bagi beberapa perkhidmatan digital mereka. Tadi telah kami laporkan yang harga berkas langganan Apple One yang menyertakan Apple Arcade dan Apple TV+ meningkat ke RM29.90 sebulan berbanding sebelum ini RM19.90.
Harga langganan platform penstriman video mereka juga iaitu Apple TV+ turut dilihat berlaku peningkatan harga. Ia kini bermula RM29.90 sebulan dan bukan lagi RM19.90 seperti sebelum ini. Untuk harga tahunan pula, ia kini adalah RM299 berbanding RM199.90. Jika anda rasakan harga langganan ini tinggi, Apple One adalah alternatif terbaik atau pelan Apple Music untuk pelajar yang berharga RM8.90 sebulan termasuk dengan Apple TV+.
Apple mengatakan peningkatan harga untuk Apple TV+ ini adalah selari dengan peningkatan katalog penawaran mereka yang semakin berkembang pesat. Peningkatan harga ini bukannya kerana kadar pertukaran mata wang yang semakin meleset.