Sejak adanya platform penstriman Disney+, kandungan Marvel Cinematic Stuuios dilihat mempunyai kualiti yang semakin berkurangan. Banyak siri TV hadir dengan skrip yang tidak cukup mantap, kualiti produksi yang lemah dan membuatkan ramai peminat kecewa. Pada permulaan platform ini diperkenalkan, WandaVision adalah antara yang unik dan menarik.
Tetapi kini nampaknya ia sudah mula berubah dengan harapan aku ia akan kekal menjadi lebih baik untuk masa hadapan, seperti treler Black Panther: Wakanda Forever yang nampak hebat serta filem pendek Werewolf by Night yang pada aku akhirnya ada kandungan MCU yang segar, unik dan lain daripada yang lain.
Werewolf by Night adalah filem seram pendek MCU pertama. Ia bukan sahaja seram tetapi turut menyertakan elemen ganas dan ngeri yang boleh dikatakan kali pertama ia hadir dalam MCU. Mungkin perkara ini boleh diluluskan oleh eksekutif Disney kerana filem pendek ini hadir dengan warna hitam dan putih? Konsep seram dalam MCU sudah bermula sejak Doctor Strange in the Multiverse of Madness dan kini ia diteruskan kerana Kevin Feige menyatakan filem pendek ini adalah permulaan untuk pengenalan dunia baharu yang penting dalam MCU.
Dalam filem ini, selepas kematian Ulysses Bloodstone iaitu ketua kepada kumpulan pemburu raksasa dengan permata Bloodstone yang memberi kuasa dan perlindungan daripada raksasa – pemburu-pemburu dikumpul untuk mencari pewaris kepada permata ini. Antara yang dijemput adalah Elsa Bloodstone iaitu anak kepada Ulysses yang sudah bertahun meninggalkan keluarga tetapi masih mahukan permata ini. Jack Russell antara pemburu hebat turut dijemput, tetapi tiada siapa tahu rahsia di sebalik kehebatan beliau.
Filem pendek dengan durasi kurang satu jam ini kemudiannya memperlihatkan setiap pemburu mula memburu antara satu sama lain kerana ingin mendapatkan hak kepada permata tadi. Tetapi mereka turut perlu menewaskan Man-Thing iaitu raksasa yang dilihat paling ganas mereka semua pernah hadapi.
Bermula dari sinilah, identiti sebenar Jack didedahkan yang beliau adalah serigala jadian. Filem yang pendek ini turut mempunyai aksi yang hebat, ngeri dan cukup ganas – kali pertama dalam MCU selepas kali terakhir ia berlaku dalam siri TV The Falcon and the Winter Soldier.
Werewolf by Night juga adalah yang paling unik, segar dan menarik saya pernah tonton setakat ini. Ini kerana filem ini menggunakan warna hitam putih dengan tema seakan filem seram klasik 1930-an ke 1940-an. Ia memberi satu pengalaman menonton yang menyeronokkan dan sedikit mendebarkan. Walaupun ia hitam dan putih, butiran yang diberikan adalah baik sekali. Kemudian, cara filem ini dirakam seperti fokus kepada raksasa atau satu pembunuhan membuatkan aku rasa teruja dan teriak kegembiraan.
Kesan visual dalam filem ini juga banyak menggunakan kesan praktikal, seperti raksasa nampak bukan CGI dan adalah kostum dan solekan yang realistik. Ia juga nampak menarik dan ngeri, tetapi tidak geli. Mungkin kerana warna hitam dan putih jadi menonton filem ini tidak seteruk filem seram ngeri lain.
Filem diarahkan oleh Michael Giacchino, menjadikan debut pertama beliau sebagai seorang pengarah filem. Michael Giacchino adalah komposer terkenal untuk Marvel, Rogue One dan banyak lagi dan dalam Werewolf by Night beliau turut menjadi komposer. Ini turut menjadi faktor unik lain, kerana beliau sebagai seorang pengarah dan komposer tahu di mana ingin masukkan muzik dan runut bunyi sesuai mengikut adegan. Hasilnya turut mendebarkan dan membuatkan aku tidak sabar untuk saksikan beliau hadir dengan projek MCU lain.
Dalam filem ini, ia tidak menyertakan banyak pelakon. Hanya beberapa tetapi semua memainkan peranan yang cukup baik walaupun ada yang masa skrin mereka hanya pendek. Watak utama Jack dan Elsa juga aku tidak begitu kenal mereka, tetapi prestasi mereka cukup mantap dan meyakinkan.
Pelakon lain adalah Al Hamacher sebagai Billy Swan, Eugenie Bondurant sebagai Linda, Kirk Thatcher sebagai Jovan yang agak melucukan, Leonardo Nam sebagai Simon, Maya sebagai Jake Gomez, dan juga Daniel J. Watts.
Filem ini memang menarik, tetapi durasi kurang sejam membuatkan aku kecewa sedangkan ia mempunyai potensi yang bagus dan aku tidak kisah jika ia menjadi filem penuh dengan durasi dua jam. Aku sanggup tonton kerana sudut pandangan pengarah yang berbeza, penggunaan kamera yang memberi pengalaman menonton filem seram klasik di dunia moden.
Mereka yang berminat dengan raksasa dan ingin lihat konsep aksi nyata dalam dunia MCU, ini adalah filem yang cukup baik. Filem ini akan disiarkan bermula hari ini, di Disney+ Hotstar. Perlu diingatkan filem ini sedikit ngeri dan ganas dan sesuai untuk tontonan mereka yang berusia 16 tahun ke atas.
Tonton di sini: Werewolf by Night di Disney+ Hotstar Malaysia