Selepas apa yang dibawakan oleh Spider-man: No Way Home, Marvel Cinematic Universe secara ‘rasminya’ menggunakan penceritaan multimesta (multiverse), melalui Doctor Strange in the Multiverse of Madness, konsep ini dibawa dengan lebih mendalam yang akhirnya memberikan satu filem yang menarik dan ada masa seronok untuk ditonton akan tetapi selain daripada itu, ia tidak mempunyai penawaran lain terutama dari segi penceritaan yang bagi saya antara paling lemah untuk filem-filem MCU.
Di dalam Doctor Strange in the Multiverse of Madness, ia memfokuskan kepada watak baharu iaitu America Chaves lakonan Xochitl Gomez yang mempunyai kebolehan untuk membuka portal bagi memasuki alam mesta yang berlainan, sesuatu yang adalah mustahil sebelum ini menurut Doctor Strange dan juga Wong.
Oleh kerana kuasa yang dimiliki oleh America, dia diburu oleh satu watak jahat yang inginkan kuasa tersebut untuk dirinya sendiri. Di dalam melarikan diri, dia telah memasuki dunia di mana kejadian-kejadian MCU berlaku sebelum ini, yang secara rasminya dipanggil sebagai Bumi-616. Oleh itu, tugas Doctor Strange kali ini adalah menghalang daripada watak jahat tersebut daripada mendapatkan America dan seperti biasa, masalah menjadi lebih besar.
Secara asasnya ia adalah satu penceritaan yang menarik, akan tetapi ia mempunyai beberapa masalah terutama dari segi perwatakan. Filem ini berusaha untuk membawa watak Doctor Strange sebagai satu adiwira yang lebih daripada apa yang dirinya sebelum ini, akan tetapi saya merasakan ia tidak menjadi dan tidak menjadi watak seperti diinginkan.
Masalah seterusnya bagi Doctor Strange adalah perhubungan dia dengan Christine Palmer lakonan Rachel McAdams, yang bagi saya di dalam filem Doctor Strange yang pertama pengakhiran untuk kedua-dua watak ini tidak membawa kepada permasalahan yang berlaku di dalam filem ini, menjadikan perwatakan untuk Doctor Strange dan Christine Palmer terasa sedikit janggal.
Wanda Maximoff lakonan Elizabeth Olsen juga membawa watak yang penting di dalam filem ini, dan satu perkara yang bagi saya adalah penting untuk anda tahu adalah perwatakannya sangat memerlukan ada untuk mengetahui apa yang berlaku kepadanya di dalam siri Disney+ WandaVision. Oleh itu, saya sebenarnya tidak terlalu menyukai kerana ia menyertakan penerusan penceritaan sebegini, kerana jika saya tidak tonton WandaVision, watak Wanda akan menjadi tidak sebaik yang sepatutnya.
Walaupun saya sudah tonton WandaVision, saya masih merasakan watak Wanda tidak dilakukan dengan baik dan terasa sangat memaksa. Secara peribadi, saya juga merasakan ia tidak mempunyai kesinambungan yang kemas berbanding siri tersebut. Adakah anda perlu tonton WandaVision sebelum tonton filem ini? Tidak perlu tetapi saya sangat mengesyorkan kerana ia menjadikan perwatakan Wanda lebih baik.
Manakala watak America Chaves pula mempunyai masalah yang sama dengan bagaimana Captain Marvel diperkenalkan sebelum ini, ia terasa terlalu memaksa dan tidak sempat untuk hadir dengan satu perwatakan ataupun penceritaan yang baiknya untuknya. Seperti kita sedia maklum, Captain Marvel menerima kisah asal usul kemudian, sesuatu yang saya berharap untuk watak baharu ini akan menerima perkara yang sama, kerana bagi saya ia adalah satu penambahan yang baik untuk MCU.
Plot dan susunan penceritaan pula bagi saya dilakukan dengan baik sahaja, ia tidak menarik dan tidak juga membosankan, walaupun mempunyai pelbagai elemen yang boleh menjadi rumit akan tetapi ia masih disampaikan dengan kemas dan mudah untuk diikuti. Namun, saya boleh katakan yang rungutan utama adalah banyak adegan di mana ia berlaku secara “jalan mudah” ataupun convenient untuk sesuatu yang penting itu berlaku.
Perkara yang positif mengenai penceritaan adalah visual dan juga pelbagai elemen yang kita tidak pernah lihat di dalam filem-filem MCU sebelum ini. Sam Raimi benar-benar menjadikan filem ini sebagai filem dia sendiri, seperti mana Taika Waititi menjadikan Thor: Ragnarok sebagai satu filem yang berbeza. Seperti filem Doctor Strange sebelum ini, ataupun setiap kali tibanya ada penggunaan kuasa olehnya memerlukan kesan visual yang pelbagai dan di kebanyakan tempat ia dilakukan memuaskan walaupun ada beberapa tempat yang dilakukan dengan kurang kemas.
Sebelum ini, Marvel ada mengatakan yang Doctor Strange in the Multiverse of Madness akan menjadi filem ‘seram’ dan saya boleh katakan elemen tersebut disertakan dengan baik tetapi tidak mencukupi, terutama jika anda berharap sesuatu yang lebih menyeramkan. Namun, ia mencukupi untuk menjadikan ia satu filem MCU yang terasa segar.
Sebagai filem yang memfokuskan kepada multimesta, ia sudah semestinya akan memasuki pelbagai dunia berbeza dan seperti visual, ia dilakukan dengan baik walaupun saya kecewa dengan beberapa penampilan watak yang mengejutkan ataupun yang sudah dijangka, ia menyeronokkan untuk beberapa minit akan tetapi terasa setiap watak-watak tersebut hadir secara permukaan sahaja, sangat berbeza dengan apa yang dilakukan di dalam Spider-man: No Way Home contohnya.
Akhir kata, saya masih merasakan yang Doctor Strange in the Multiverse of Madness mempunyai keunikan tersendiri yang akan menjadikan ia satu filem yang yang berlainan dengan filem-filem MCU sebelum ini. Ia juga mempunyai penceritaan yang menarik, menjadi permulaan untuk sesuatu yang lebih besar di masa hadapan akan tetapi penulisan untuk kebanyakan watak-watak utama terasa sangat memaksa dan sukar untuk saya menerima motivasi ataupun perasaan watak-watak tersebut.
Masalah tersebut menjadikan filem ini tidak mempunyai watak protagonis ataupun watak antagonis yang kuat. Walaupun mempunyai penceritaan yang menarik tetapi jika ia tidak di bawa oleh perwatakan yang baik sukar untuk saya mengatakan ia adalah satu filem yang berkualiti.
Oleh itu, ia masih lagi satu filem yang anda perlu tonton jika benar-benar mengikuti kisah MCU akan tetapi jangan mempunyai harapan terlalu tinggi agar anda tidak kecewa seperti saya.