Pencipta La Casa De Papel atau Money Heist, Esther Martínez Lobato dan Álex Pina masih tidak inginkan siri TV ini tamat begitu sahaja. Oleh yang demikian mereka bakal hadir dengan Berlin, iaitu siri sampingan prekuel memfokuskan kepada watak kegemaran yang dilakonkan oleh Pedro Alonso.

Berlin akan memulakan penggambaran bulan ini dan skripnya akan ditulis sambil penggambaran dilakukan. Tidak banyak yang mereka kongsi mengenai siri prekuel ini, tetapi ia akan mempunyai tema romantik komedi sambil mengekalkan elemen rompakan, penculikan dan aksi seperti Money Heist.

Minggu lepas Netflix telah umum senarai pelakon yang akan menjadi geng perompak Berlin. Malam tadi, mereka kongsi video memperlihatkan rekaan setiap watak;

Walaupun siri ini memfokuskan watak Berlin dan berlaku dalam dunia sama Money Heist, ia tidak akan berkait rapat kerana kisah dalam siri TV ini berlaku bertahun sebelum beliau menyertai La Casa De Papel.

Berikut adalah senarai geng perompak baharu;

  • Michelle Jenner sebagai Keila, jurutera elektronik.
  • Tristán Ulloa sebagai Damián, seorang profesor yang dermawan dan kawan baik Berlin.
  • Begoña Vargas sebagai Cameron, seorang kamikaze yang sukakan aksi/ganas/pengembaraan.
  • Julio Peña Fernández sebagai Roi, pembantu Berlin.
  • Joel Sánchez sebagai Bruce, orang kuat dalam geng.

Tiada tarikh siaran lagi buat masa ini, tetapi ia akan mempunyai 8 episod sahaja. Sama-sama kita nantikan informasi lanjut.

Sohor Kini