Netflix Kini Membenarkan Pengguna Mencipta Nama Dalam Permainan

Netflix sejak kebelakangan ini mula memfokuskan kepada permainan mudah alih, di mana dalam aplikasi platform penstriman video ini mereka mula menawarkan kategori khas untuk permua. Mereka menggelar kategori ini sebagai Netflix Games sebagai langkah awal dalam memasuki arena permainan video.

Mereka baru sahaja membangunkan studio permainan sendiri, seperti yang diumumkan beberapa hari lepas. Mereka juga dilaporkan mungkin akan membangunkan platform penstriman permainan bagi bersaing dengan Amazon Luna, Google Stadia dan lain-lain lagi.

Walaupun mereka ingin fokus kepada permainan video, hanya 1% sahaja daripada jumlah pelanggan mereka dilaporkan mengakses permainan yang ditawarkan. Bulan lepas, mereka menguji ciri Game Handle di mana pengguna boleh mencipta nama dalam permainan. Hari ini Netflix mengumumkan yang pengguna sudah boleh mencipta nama dalam permainan melalui aplikasi.

Pengguna Android boleh terus mencipta nama ini dengan tekan Games pada tab di bawah aplikasi. Sementara pengguna iOS hanya boleh mencipta nama dengan memuat turun permua seperti Rival Pirates dan Lucky Luna sahaja buat masa ini. Game Handle pada netflix Games ini hanya menyokong aksara huruf dan nombor sahaja.

Dengan ciri Game Handle, pelanggan Netflix boleh memilih nama lain yang ingin digunakan ketika bermain secara atas talian. Adalah sudah menjadi kebiasaan peminat permainan video tidak menggunakan nama sebenar ketika bertarung.

Ciri Leaderboard yang dilaporkan sebelum ini dilihat masih belum ada lagi. Akan datang papan skor untuk melihat kehebatan diri dan rakan bermain sesuatu permua mungkin akan ditawarkan. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini